Showing posts with label MINUMAN. Show all posts
Showing posts with label MINUMAN. Show all posts

Mocha Smoothies...nyaman...

Tuesday, March 04, 2014



Assalamualaikum & Salam Sejahtera, 

Panas betul cuaca kebelakangan ni. Petang-petang selalunya enak kalau dapat tidur tapi dek teriknya cuaca, terus bangun cuba menggodak sesuatu buat melegakan dahaga ni sedikit.

Recipe book ni saya dapat sewaktu membeli blender jenama Panasonic beberapa tahun lepas. Ada pelbagai jenis resepi untuk minuman di dalamnya. Belek punya belek, resepi yang mempunyai bahan-bahan di pantri hanyalah resepi Mocha Smoothies ini. Saya pun bingkas ke dapur dan terus membuatnya. Dapat dua gelas tinggi buat saya dan si Bujang. Sedap kata si Bujang macam kat kedai. Dua-tiga kali teguk dah habis diminumnya.

Mocha Smoothies
Bahan ( untuk 2 gelas )

1 sb serbuk koko (unsweeten)
1 sb krimer
1 sdt Instant Coffee Powder ( saya guna satu peket nescafe 3 in 1)
2 sb serbuk glukos atau boleh ganti dengan 2 sb gula -( saya ganti dengan 2 sb air gula)
1 sb yogurt - saya ommit
10 ml coffee concentrate ( 4 sdt serbuk kopi + 40ml air panas didih ) - saya ganti dengan pati Cappuccino + air panas didih
70 ml susu segar @ susu full cream - saya letak 100 ml
10  ketul ais atau lebih

Masukkan semua bahan ke dalam pengisar dan kisar hingga halus. Taburkan serbuk koko atau boleh juga paipkan whip cream di atasnya. Sedia dinikmati.

Note: Lain kali saya nak letak sedikit serbuk cayenne pepper untuk rasa lebih kick.

Selamat Mencuba!

Teh Ais Kaw!Kaw! & Roti Jala Inti Kentang

Saturday, December 29, 2012


Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Ini namanya entri kelam-kabut sikit. Tapi nak share gak ngan teman semua sebab tersangatlah sedapnya teh ais kaw!kaw!ni...


Sebenaqnya ini juadah minum petang kami baru sat tadi kata oghang utara.
Roti jala inti kentang ni guna inti lebihan buat  Murtabak Roti tempoh hari.
Tak tahu nak buat apa jadi saya buat inti untuk roti jala ni.


Yang ini pulak Teh Ais Kaw!Kaw!. Rasanya macam 3 Layer Tea tapi saya pun kurang pasti resepinya sama ke tidak tapi memang sodapppp!!


Teh Ais Kaw!Kaw!
Olahan: mymintroom

2 buku gula merah @ gula melaka
4 sudu gula 
**Masak gula di atas bersama 2 cawan air hingga agak pekat. Ketepikan.
Susu cair secukupnya

Masak  8 uncang teh dan 2 kuntum bunga lawang bersama 3-4 cawan air hingga didih. Biarkan sejuk.

Masukkan 4 sb campuran gula merah, 3 sb susu cair dan air teh-O secukupnya. (Semua bahan saya agak-agakkan saja ikut citarasa masing-masing). Kacau dan masukkan kiub ais. Sedia diminum.

Wassalam...

Bazaar Ramadan 14 - Tertunai hasrat di hati....

Saturday, August 04, 2012


Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Apa khabar semua? Semalam Tok Imam baca do'a qunut pada solat witir, rupa-rupanya dah masuk hari ke 15 puasa. Sekejap je kan. Kita di Malaysia ni memang rasa sekejap aje waktu berlalu, lagi pun tempoh berpuasa cuma 13 jam. Nun yang duduk di negara Barat macam di Finland @ di Kutub Utara dimana waktu siangnya 20 jam, mak aii..dugaan betul. Semoga umat Islam  di sana akan terus tabah menjalani ibadah puasa.

Mana yang nak balik beraya ke kampung dengan menaiki bas atau keretapi pasti dah lama tempah tiket masing-masing. Tunggu nak menapak naik aje. Tak sabo-sabo le tu.


Semalam seperti biasa saya gi beli stok dapur, nampak mangga kat tempat buah-buahan. Minggu lepas teringin nak minum Mango Lassi. Bila nampak buah mangga tu, terus je sambar 3 biji. Lepas tu cari yogurt. Susu ada lagi dalam fridge. 2 biji saya buat Mango Lassi, lagi sebiji simpan dulu. Lepas Maghrib, terus minum. Aduss, nikmatnya. Alhamdulillah, tertunai hasrat di hati sejak minggu lepas. Resepi ni saya ambil dari
blog Simplyrecipes.


MANGO LASSI
Sumber: Simplyrecipes

Bahan: dapat 3 gelas kecil

2 cwn yogurt (yang plain)
1 cwn susu 
2 cwn mangga yang di potong kiub
8 sudu teh gula
1 sudu teh serbuk kulit kayu manis (optional)

Cara:

Blend semua bahan di atas dan sejukkan dalam peti ais. Tahan disimpan dalam peti ais selama 24 jam.


Pisang Abu banyak lagi. Saya buat Sira Pisang seperiuk besar ni pas tu sedekah kat jiran-jiran. Lebihnya kami buat dessert lepas Tarawih. Makan ngan aiskrim macam kat bawah ni sedap gak. Macam banana split lak.

Saya tak pernah pun buat Sira Pisang ni. Surprise!
Resepi nya saya skodeng dari blog MakNgoh Selamoh.





  
Sira Pisang


Bahan-bahan-:
 
Pisang (ikut suka le pisang apa) 
Gula melaka atau gula batu atau gula biasa
Daun pandan
Beberapa kuntum bunga cengkih
Sedikit madu (optional)
Kapur makan
Secubit garam
Air

Cara:

 
Pisang dibelah dua. Kemudian direndamkan dalam air kapur lebih kurang setengah jam.
Bersihkan pisang yang telah direndamkan air kapur tu dan toskan.
Masukkan air ke dalam periuk. Banyak air bergantung kepada citarasa anda.
Masukkan gula. Gula tu ikut suka anda nak pakai jenis gula yang mana. Saya letak gula batu dan gula melaka.
Masukkan secubit garam. 
Biarkan mendidih. Kemudian masukkan pisang yang telah ditoskan tadi. Masukkan madu.
Masukkan bunga cengkih dan daun pandan yang telah diracik-racik.
Biarkan seketika dan angkat.


Mee Ladna ni dah lama tak makan. Last sekali masa umur saya 18 tahun makan di Kuantan. Lepas tu tak pernah buat dan tak pernah beli pun. Tapi bila mee ada lagi separuh bungkus lebih buat Mee Hailam kelmarin, saya pun buat le Mee Ladna ni.  Saya kata kat suami, dua jenis mee ni ( Mee Hailam & Mee Ladna ) saya memang lama tak makan dan teringin nak buat, lagi pun bahan semua ada. Dia kata wokey.
Resepi Mee Ladna ni saya ambil dari blog QasequQuinnie dimana beliau rujuk dari Kakpah@Ibundo.


Mee Ladna
Sumber : QasehquQuinnie
Rujukan : KakPah@Ibundo

Bahan:

1 bungkus mee kuning ( saya buat 1/2 bungkus)
6 ekor udang sederhana besar (tak letak)
2 ekor sotong dipotong bulat (tak letak)
1 ketul dada ayam dipotong nipis
1 keping fish cake
5 biji fish balls dibelah dua
2 helai kobis cina
setangkai sawi
sedikit cauliflower
sedikit capsicum hijau dan merah dipotong dadu - saya letak cili merah yg dihiris
1 sudu teh lada putih
2 ulas bawang merah dihiris
1 ulas bawang putih dihiris
2 sudu besar tepung jagung dibancuh dengan sedikit air
2 cawan air 
1 kiub stok ayam - saya letak 1/2
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos ikan - saya tambah
Cili api ketuk - saya tambah

Cara:

Panaskan sedikit minyak di dalam kuali. Masukkan mee kuning  dan sos tiram.  Goreng sebentar sehingga sos sebati dengan mee.  Angkat. dan masukkan ke dalam mangkuk.
Tambah sedikit minyak lagi di dalam kuali. Tumis bawang merah dan bawang putih. Bila naik bau, masukkan ayam.  Goreng sebentar dan masukkan fish balls dan fish cake.
Masukkan dua cawan air dan biarkan mendidih. Bubuh stok ayam dan lada putih.
Masukkan pula sayur-sayuran dan tepung jagung.  Rasakan garam.
Kalau kuah kurang pekat, tambah sedikit lagi tepung jagung.  Kalau air terlalu sikit, tambah air.  Ikut selera sendiri.
Bila masak, curahkan ke atas mee di dalam mangkuk tadi. (saya masukkan meenya terus dalam kuah sebab terlupa hi hi)





Ini kuih yang paling kerap buat bila-bila masa bulan Ramadan;  sebab yang pertama ianya senang dan sebab yang kedua semua pun suka. Selalunya saya buat 1 1/2 cawan tepung pulut aje.









Wassalam...

Bazaar Ramadan 11

Wednesday, August 01, 2012



Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Semalam dah berceloteh banyak sangat, jadi hari ni terus je ke menu iftar kami untuk semalam. Sebenarnya ada permintaan dari suami untuk buat sop macam Sop Kambing yang pernah saya buat dulu. Tapi sebab kali ni sop ni nak dimakan dengan bihun jadi saya kena alter sikit lah resepinya supaya rempahnya tak kuat dan kuahnya tak pekat sangat.


Bihun Sop Tulang Lembu

Bahan:

Tulang rusuk 400g
Ekor lembu   400g
Kulit kayu manis 1
Halia 2 cm
Bawang putih 3 bj - tumbuk halus *
Bawang merah 5 bj - tumbuk halus *
Bunga cengkih 4 *
Bunga lawang 1 *
Buah pelaga 3 *
Jintan putih  1 sudu teh - kisar halus *
Jintan manis  1 sudu teh - kisar halus *
Serbuk lada hitam - 1 sudu teh *
Celery 1 btg - potong ikut suka
Lobak 1 btg - potong ikut suka
Garam, gula secukup rasa

Bahan dimakan bersama:
Bihun - di rebus dalam air didih 
Sawi 2 btg - potong dan celur dengan air panas
Fishball/fishcake 
Tahu goreng
Daun sop
Cili merah

Cara:
Rebus tulang bersama 1 kulit kayu manis dan 2 cm halia hingga daging kat tulang tu empuk. Tambah air kalau masih belum empuk. Kalau guna "pressure cooker" lagi cepat dan senang. Lagipun tak banyak guna air dan boleh kekalkan rasa daging pada air rebusan. Bila dah empuk ketepikan. Boleh terus renehkan dengan api perlahan sementara menyediakan bahan tumis.
Tumiskan bahan bertanda * hingga naik bau. Kemudian masukkan ke dalam sop tadi bak kata orang tumis darat.  Perasakan garam dan gula. Masukkan celery dan lobak dan terus didihkan hingga sayur lembut. Boleh tambah ciliapi kalau nak pedas sikit.
Bolehlah di makan dengan bihun bersama sawi, tahu goreng dan fishball/fishcake bersama taburan daun sop & cili merah. Boleh juga perah sedikit jus limau untuk lebih segar.



Sengaja saya tinggalkan 3 biji keledek lebih dari buat Kuih Cek Mek Molek  hari tu untuk buat kuih Keria. Memang ada plan nak buat kuih Keria ni. Resepi memang dah ada dalam simpanan tapi tak ada rekod tuan punya resepi. Biasalah dulu mana ambik pot benda-benda ni sebab niat nak rujuk untuk diri sendiri aje dalam hardcopy kan.
Resepinya sama macam yang biasa saya buat tapi dalam sira gula tu saya campurkan serbuk kulit kayu manis. Alah, macam yang orang biasa buat kat kuih donut tu. Bukan apa, banyak sangat makan benda manis bulan puasa ni. Jadi kalau ada serbuk kulit kayu manis tu tak adalah rasa "guilty" sangat kan hi hi. Serbuk kulit kayu manis ni pun ada banyak khasiatnya, antaranya untuk mengurangkan kadar kolestrol, membantu proses penghadaman, untuk sakit gigi, sakit perut dan berbagai lagi khasiat lain. Kalau nak tahu lebih lanjut tanya je makcik Google. Dia ada jawapannya.

Oleh kerana gulanya saya campur serbuk kulit kayu manis, maka saya namakan dia Kuih Keria Berempah. Amacam, boleh lah kan.



Kuih Keria Berempah

Bahan ( dapat 15 biji kuih):

500 gm keledek (saya guna keledek merah 3 bj dan ubi kentang 1 bj)
1 cawan tepung gandum
1/4 cawan tepung ubi kayu

Bahan untuk sira:

1/4 cawan gula untuk menyira dan sedikit air
1 sudu teh serbuk kulit kayu manis
1 sudu besar tepung gandum


Cara:

Keledek dikupas, dibelah dua dan direbus hingga empuk.
Toskan keledek dan lecek hingga lumat
Campurkan sedikit-sedikit tepung gandum dan tepung ubi bersama keledek dan uli hingga sebati.
Ambil sedikit adunan tepung, dibulat-bulatkan, dijadikan seperti gelang dan buat lubang ditengahnya.  Atau boleh juga jadikan doh seperti bentuk sosage selebar 5 cm dan dipotong kecil selebar  2 cm untuk dapatkan saiz yang sekata. Kemudian bulat-bulatkan dan buat lubang ditengah-tengah.
Panaskan minyak secukupnya dengan api yang sederhana besar. Goreng kuih hingga masak dan kuning. Toskan minyaknya.
Terlebih dahulu campurkan sebati serbuk kulit kayu manis dengan gula yang hendak disira.
Di dalam kuali berasingan, panaskan campuran gula & serbuk kayu manis bersama dengan sedikit air. Kacau hingga likat dan kemudian masukkan kuih yang telah siap digoreng tadi. Kacau rata-rata serta balik-balikkan  hingga gula melekat dikuih. Bila dah rata gula, tabur dengan tepung gandum bagi  menjadikan gula yg disira tahan lama dan tak mudah cair.  Padamkan api dan bolehlah diangkat. 




Buat penghilang dahaga pulak, saya sediakan Sirap Limau Asamboi. Didihkan 1 cawan air bersama 1 cawan gula. Bila dah sejuk tambah air secukupnya dan campurkan Asam Boi dan limau Kasturi secukup rasa. Simpan dalam fridge. Bila berbuka, air ni pun dah dingin dan menyegarkan...

Okay...jumpa lagi esok Insyaallah...

 



Bazaar Ramadan 8 - Jauhnya gi berbuka!!

Sunday, July 29, 2012



Lenggang lenggok kanan dan kiri
Joget Kelate nama diberi
Pusing kanan dan pusing kiri
Luar gebu dalam manis sekali
Kuih Cek Mek Molek nama diberi
Make molek-molek deh, lidah terbakar nanti


Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Bertemu lagi di pagi Ahad. Semoga terus ceria dan sihat sejahtera hendaknya agar dapat meneruskan ibadat puasa dengan lancar dan sempurna. Kalau bukan bulan puasa ada yang plan nak hayun kayu golf di pagi Ahad ni. Tapi kalau di bulan puasa ni, emm, cari bantal lagi syiok kot...

Semalam saya ke sebuah kedai Cina kerana nak membeli sesuatu. Lama jugak masa saya habiskan di kedai tu. Akhirnya dapat juga barang yang saya idamkan. Bila tiba masa nak bayar di kaunter (kaunternya dijaga oleh anaknya dan tauke kedai tu berdiri di sebelah anaknya), selesai saja mebuat bayaran, bila anaknya menyerahkan barang yang dibeli dan baki wang, dia berkata " Saya jual ya  kak "? Aik, jawab saya, "You pun tahu nak cakap apa?"
Budak tu senyum aje tapi bapa dia (tauke kedai) mencelah, "Mestilah, nanti jual-beli tak sah".
Saya senyum aje dan terus beredar. Tapi dalam hati berkata, emm, "Inilah indahnya Malaysia & indahnya Islam kerana agamanya cukup mudah."

Okeylah, iftar semalam biasa-biasa saja. Tapi jauh juga saya merantau untuk berbuka semalam hi hi. Bukan senang. Kuihnya di Kelantan, makan di S'pore dan minum di Bandung.

Jom gi Kelate dulu deh. Kenapa agaknya ya, namanya Cek Mek Molek. Resepinya cukup simple. Makan satu dah terasa kenyang.  Ini makanan gantian nasi masa zaman Jepun dulu gamaknya. Saya tengok ada beberapa versi untuk mengadun kuih ni, ada yang suruh lecek & adun sebaik saja ubi empuk maksudnya masa masih panas-panas lagi & ada juga yang suruh adun selepas ubi tu sejuk. Ada juga yang suruh adun aje tapi tak cakap pun masa panas atau masa dah sejuk.Terpulanglah pada yang empunya diri. Saya pula ikut resepi dari blog Lina.

KUIH CEK MEK MOLEK  
Sumber: Lina
Bahan: (dapat 10 biji Cek Mek Molek)

400-450gram ubi keledek (2 cawan keledek lecek)
1 cawan tepung gandum @ secukupnya
Gula putih
Minyak masak untuk mengoreng
   
Cara:

Ubi keledek direbus hingga empuk ( masukkan sedikit garam ).Biarkan ubi keledek rebus sejuk,kemudian lecek halus.
Masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit, adun hingga boleh dibentuk (jangan masukkan terlalu banyak tepung, nanti kuih akan menjadi keras).
Bahagikan adunan kepada 10 bahagian, bulat-bulat (besar sikit dari bola pingpong), leperkan masukkan setengah sudu kecil gula di tengah.
Kemudian bentukkan seperti kuih cekmek molek.
Goreng dengan api sederhana hingga kuning keemasan.
 

Note:

Pastikan ubi keledek betul-betul sejuk,barulah masukkan tepung.kalau masih suam-suam akan menambahkan penggunaan tepung. Nanti kuih keras pulak.
Jika adunan masih melekat ditangan, sapukan tangan dengan tepung supaya kuih boleh dibentuk.
Berhati-hati kalau makan cekmek masa masih panas sebab gula cair masih panas di dalam..nanti melecur pulak lidah.


Dah sampai S'pore. Yang ni lak kenapa orang panggil Mihun S'pore. Ada siapa-siapa tahu? Cer citer cer citer. Resepi dah lama dalam simpanan tapi tak tahu pulak siapa yang empunya. Rasanya, saya copy dari kengkawan dulu.


Mihun Singapore

Bahan: 

1 bungkus bihun - direndam dulu
300g daging - dipotong kecil (kalau daging yang liat, rebus dulu dan air rebusan bolehlah diguna semasa menggoreng mihun untuk melembutkannya)
3-4 keping fish cake
sayuran campur - boleh guna lobak, kobis, terpulang
3 sudu makan cuka
6 ulas bawang putih
1 sudu makan lada hitam / lada putih
2 biji tomato - potong nipis atau belah 4 pun boleh
garam dan gula secukupnya
cili api- potong nipis atau kisar kasar-kasar + kicap sebagai sos 
 

Cara: 
Lada hitam bersama bawang putih ditumbuk halus
Panaskan minyak, goreng daging hingga lembut, bubuh air jika masih liat. Kalau guna daging yang dah rebus, tak payah goreng lama-lama. 
Masukkan fish cake, dan goreng lagi. Kemudian masukkan lada dan bawang putih yang dikisar tadi, goreng hingga naik bau, boleh di tambah sedikit air atau air rebusan untuk melembutkan bihun nanti. Kemudian masukkan cuka.
Kemudian masukkan pula sayuran campur dan gaul. Masukkan gula dan garam secukup rasa.
Masukkan bihun, gaulkan hingga bihun masak.
Apabila bihun masak, tabur tomato, gaul sekejap dan tutup api.
Sedia dihidang bersama sos kicap (sambal kicap).


Dah kenyang makan, rasa nak minum pulak. Jom gi Bandung nak?  Masa beli barang kat kedai Mamak depan taman macam biasa, ternampak cincau yang terletak kat depan kedai tu, berkilau hitamnya dan melambai-lambai je pada saya. Saya beli seketul.  Bila balik rumah, terus masak air gula letak pewarna merah sikit & daun pandan. Pastu letak susu sejat sebab air gula dah manis tak leh pakai susu pekat. Lepas tu masuk dalam fridge. 


Emm, merata saya pergi semalam untuk berbuka. Alhamdulillah...
Jumpa lagi....Wassalam.

Bazaar Ramadan 7

Saturday, July 28, 2012


Ayam berkokok di pagi hari
Alangkah indahnya suasana
Tak lama lagi Aidil Fitri
Sambutlah dengan sederhana


Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Apa khabar semua? Sabtu datang lagi. Wah, mana yang bekerja dan “off” di hari Sabtu tentu akan mengambil kesempatan untuk membuat sedikit persiapan awal bagi menyambut Aidil Fitri yang bakal menjelma. Pusat tumpuan membeli-belah dah tentu sesak lagi hari ni. Mana yang ambil upah menjahit tu, tentulah masa akan terus di habiskan dengan menjahit baju. Teringat pada arwah bonda dulu, masa aktif menjahit, sebaik saja sahur, terus menjahit sampai tiba waktu memasak untuk berbuka bagi mencari pendapatan lebih untuk belanja raya. Begitu jugalah yang mengambil tempahan kuih raya. Ada yang dah berhenti mengambil tempahan supaya boleh fokus pada melunaskan tempahan pulak.  Jadi, tak adalah masalah tak sempat nak buat kan? Ha, para pesara pulak, mesti masa di habis kan pagi ni dengan berkebun di persekitaran rumah. Tak pun, hari Sabtu atau hujung minggu ni lah anak-anak dan cucu-cucu akan balik untuk berbuka bersama kan? 

Saya cadangnya nak balik kampong hari ni, tapi suami masih sibuk pulak dengan kerja, tambahan pulak kurang sihat, macam nak demam tu, jadi mungkin terpaksa dibatalkan cadangan tu. Tapi tak tahu lah kot saat-saat akhir dia ajak balik pulak. Lagi pun bukannya jauh, 40 minit perjalanan aje.


 Sedapnya rasa Tepung Pelita
Kuih tradisi kesukaan semua
Sudah seminggu kita berpuasa
Tak lama raya menjelma


Wah, baru seminggu puasa dah sibuk nak raya saya ni kan? Apa-apapun mood kena ada, barulah meriah dan ceria sentiasa. Tak gitu?

Setiap hari saya pasti takkan lepas dari melawat blog Cik Azlita  masammanis untuk mengintai apakah juadah yang sesuai untuk disediakan. Kalau ikutkan juadah yang dipamirkan dalam blog beliau semuanya bukan saja menarik tapi nampak sedap (memang sedap pun). Tepung pelita ni memang dah lama teringin nak makan. Selalunya saya dapat merasa yang “homemade” kalau kami balik kampung berbuka di rumah mak @ kakak ipar di Perlop, Sg Siput. Kakak ipar ni Puan Razilah memang pakar masak. Apa aje yang dimasaknya mesti sedap. Resepi semuanya dalam kepala aje. Tepung pelita ni pulak kami akan buat banyak-banyak dan gotong royong untuk buat sampannya. Supaya bentuk sampannya sekata, kami gunakan blog kayu empat segi atau kotak mancis pun boleh. Lepas tu “staple” aje, tak payah guna lidi.


Semalam sewaktu saya jenguk blog Cik Azlita, aduss…walaupun Tepung Pelitanya cuma dalam bekas kaca kecil, tapi tetap nampak “menggiurkan” hi hi. Lepas tu jenguk pulak blog Kak Jee, emm, ni tak boleh jadi ni. Mana aci, saya pun nak jugak, tapi kalau beli kat bazaar belum tentu kena dengan selera. Bazaar yang jual ni yang betul-betul sedap pun nun…di Sg. Siput, yang jual tu pun  kawan kepada kakak ipar saya Puan Razilah jugak. Saya tengok santan kat dalam fridge masih ada ngan-ngam secawan. Bahan-bahan yang lain memang ada stok.  Dan saya pun tak ada kuih lain yang dibuat semalam, jadi saya pun terus cuba buat resepi ni dapat betul-betul 3 gelas kecil cukup lah untuk kami 3 orang. Lepas sejuk terus masuk fridge. Memang menyentuh qolbu betullah;  lemak,  dingin pas tu bila makan cair dalam mulut..cubalah tuan-tuan & puan-puan resepi ni pasti tidak mengecewakan walaupun bukan resepi Tepung Pelita yang ori. 

TEPUNG PELITA 

Dari: Azlita (masammanis)
By: Rina Mohd Dom, Kajang
Rujukan : Kak Jee

Lapisan hijau

1 cawan tepung beras
1 sudu besar tepung jagung
1 cawan gula
7 cawan air daun pandan
sedikit pewarna hijau ~ kalau warna daun pandan tidak mencukupi

Larutkan bahan2 atas hingga sebati 
kemudian jerang atas dapur guna api sederhana sehingga mendidih dan berkilat. 
Padam api dan curahkan bancuhan dalam bekas2 atau sampan daun pisang. 
Tepikan.

Lapisan Putih (Santan)

¾ cawan tepung beras
½ sudu besar tepung jagung
7 cawan santan
½ sudu kecik garam

Larutkan bahan2 dan jerang atas api sederhana sehingga mendidih dan berkilat. 
Padam api dan curahkan atas lapisan hijau. 
Sejukkan seketika sebelum dimasukkan ke dalam fridge.

Bahan-bahan ni memang boleh dapat banyak, tapi saya buat tak sampai separuh pun sebab santan cuma 1 cawan je ada. 


 
Stok Mihun pun ada banyak. Memang mihun ni saya selalunya ada stok. Bila tengok resepi Mihun Goreng Ciliapi kat dalam blog masammanis lagi, apa lagi saya pun terus nak cuba. Memang sedap resepi ni walaupun simple dan mudah disediakan. Tak sampai setengah jam siap. Setuju betul dengan Cik Azlita kita. Terimakasih Ita kerana memudahkan kerja masak saya semalam untuk 2 resepi yang menarik dan ringkas. Tapi maaf ya...sebab C&P aje resepi, biasalah orang rajin ;.


MIHUN GORENG CILI API
Dari:masammanis
By : Chef Hanieliza
Rujukan : Buku masakan 1 Hari 1 Resepi



Bahan:
 

1 bungkus bihun ~ direndam dengan air dan toskan
200 gm sotong ~ dihiris nipis (saya guna ayam)
100 gm udang ~ dibuang kulit
200 gm sawi ~ dipotong pendek (saya guna salad sebab tak ada stok sayur)
200 gm kobis ~ diracik ( saya tak letak, tiada stok )
1 batang lobak merah ~ dipotong halus (
saya tak letak, tiada stok )
3 keping tauhu ~ digoreng dan hiris nipis ( saya tak letak, tiada stok )
1/2 cawan air
3 sudu makan minyak masak
Garam secukup rasa - saya letak gula sedikit

Bahan Hiris atau Kisar
 

20 biji cili api - kalau tak suka pedas sila kurangkan
3 biji cili merah
2 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
3 sudu makan udang kering


Cara:

Panaskan minyak dan tumiskan bahan yang dikisar sehingga wangi
Masukkan sotong dan udang, kacau rata
Apabila masak masukkan garam dan air
Masukkan kubis, lobak merah,sawi dan mihun
Kacau rata hingga sebati
Gaul rata sehingga mihun lembut
Rasakan garamnya
Semasa menghidang taburkan hirisan daun bawang dan cili merah.
 

Makan Mihun aje pun tak syiok jugak. Dalam mihun dah ada ayam dan udang & saya cuma letak sayur salad (potong nipis-nipis supaya nampak macam kobis hi hi).  Terpaksa buat macam ni sebab nanti ada yang tension nak asingkan sayur masak makan. Jadi saya pun buat lah Mix Salad supaya lengkap nutritisi nya cewah.Simple aje. Saladnya suka hati lah nak letak sayur dan buah-buahan yang anda suka, jangan letak pucuk ubi ngan buah doyan udah le. Yang saya buat ni, kombinasi salad, brokoli,tomato ceri &  strawberi. Saya tambah cili merah dan cili hijau untuk pedas. 

Mix Salad Dressing

2 sudu teh olive oil
1 sudu besar cuka
3 sudu besar mayonis
      2 sudu besar sos tomato
      Sedikit serbuk lada hitam & garam kalau suka.



Iftar 6, saya berpesta dengan buah epal. Semalam saya berpesta dengan buah tembikai lah pulak. Masa ke supermarket, tak tahu nak beli buah apa, bila terpandang buah tembikai, saya tengok ada yang comel lote sesuai lah untuk keluarga kecil macam kami.  Saya pun terus beli. Saya pernah kongsikan fakta tentang khasiat buah tembikai Di Sini. Setengah dari buah tu saya juskan dan lagi setengah saya jel kan dia untuk santapan lepas Tarawih. Maka jadilah dia, jus & jelly. Resepi Jelly Tembikai ni saya pinjam dari JuwitaFariz yang dimuatkan oleh beliau dalam Kongsi Resepi.


Jelly Tembikai
Oleh: Juwita Fariz

Bahan Lapisan Bawah:

4 g serbuk agar-agar ( jika inginkan lebih lembut boleh buat 3g)
400 ml air
3 sudu besar gula ( mengikut kemanisan masing-masing dan kemanisan buah tembikai)
100 ml jus tembikai yang ditapis dari buah tembikai ( ditapis ambil air sahaja hampasnya jangan buang)
sedikit pewarna merah

Cara :
 Masukkan air, gula dan serbuk agar-agar didalam periuk.
* Setelah sebati masukan jus tembikai yang telah ditapis dan pewarna jika warna kurang terang.
* ketepikan sehingga sejuk sedikit dan dimasukkan kedalam acuan yang bersesuaian.

Bahan Lapisan Atas:
2 g serbuk agar-agar
50 ml air
250 ml hampas tembikai yang ditapis
3 sudu besar gula ( mengikut kemanisan masing)

Cara:

* Masukkan air, gula dan serbuk agar-agar didalam periuk.
* Setelah sebati masukan hampas tembikai .
* Masak sebentar dan ketepikan sehingga sejuk sedikit.
* Apabila lapisan bawah didalam acuan telah keras sedikit boleh lah dimasukkan lapisan ini.
* sejukkan didalam peti sejuk.
 

 Akhir kata salam penuh keceriaan dari saya dan semuga hari-hari yang mendatang akan menjanjikan hari yang penuh dengan kemanisan buat anda semua.

Wassalam....


Bazaar Ramadan 6

Friday, July 27, 2012


Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

      Sedang buat apa tu? Kepada yang bekerja..., selamat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi disamping meneruskan ibadah puasa. Para penjawat awam pulak mesti bersemangat sebab dapat bonus raya nanti...ringan lah sikit beban tu kan.
      Diam tak diam dah masuk hari ke 7 kita berpuasa. Esok dah masuk minggu ke 2. Para ibu-bapa pulak ada yang dah mula berkira-kira budget untuk buat persiapan raya, beli baju raya untuk anak-anak dan diri sendiri. Tak ada lah terburu-buru nanti. Tapi ada jugak yang lebih suka beli di saat-saat akhir untuk dapatkan harga rendah. Saya, awal-awal lagi 2 hari sebelum puasa dah beli baju melayu untuk Kiki sebab nanti kalau tunggu puasa, kesian dia ke sana ke mari nak pilih-pilih baju. Puasa, tentu letih, mulalah buat muka monyok. Tu sebab kami lebih suka beli 2-3 hari sebelum puasa. Untuk kami, kemudian pun tak apa. Kuih raya? Saya dah lama tak buat sendiri kuih raya. Tak tahu lah pulak kot tahun ni nak buat balik. Tunggu dan tengok mood lah jawabnya.
     Semalam, iftar kami simple aje..Nasi Goreng Pattaya. Semua bahan dah ada tak payah beli. Itu yang betulnya. Resepinya saya pilih dari Kongsi Resepi oleh Reen Khan.

    
Nasi Goreng Pattaya 


Bahan-bahan :

Sepinggan nasi putih sejuk ( Saya buat untuk 3 orang makan dalam secawan nasi beras Herbal Ponni, jadi kena adjust bahan-bahan yang lain ikut sukatan nasi)
1 sudu besar minyak masak
1 biji bawang merah besar + 3 ulas bawang putih diblend
1 mangkuk kecil isi ayam
3 sudu besar sayur campur 
3 tangkai cili padi diketuk
1 sudu kecil serbuk lada hitam
1 sudu kecil kicap 
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos cili
2 biji telur ayam - untuk bungkus nasi
Garam & kiub ayam secukup rasa

Cara untuk nasi goreng :

1.Panaskan minyak
2.Tumis bawang yang diblend hingga naik bau
3.Masukkan isi ayam, kacau hingga masak
4.Masukkan sos tiram, kicap, sos cili
5.Masukkan garam & gula secukup rasa
6.Masukkan sayur campur & cili padi
7.Masukkan nasi
8.Taburkan serbuk lada hitam & kacau hingga sebati
9.Angkat

Proses membungkus nasi dengan telur:

1.Gunakan kuali berasingan dari kuali yang diguna untuk menggoreng nasi.
2.Panaskan kuali dan masukkan 1 sudu besar butter
3.Ratakan butter hingga keseluruh permukaan kuali
4.Bila butter betul-betul panas, masukkan 2 biji telur yang telah di pukul.letak sedikit garam dan  secara berpusingan bermula dari atas hingga ke tengah kuali. Pastikan telur rata dan menipis di dalam kuali. Proses ini mengambil masa yang amat singkat.
5.Masukkan nasi yang digoreng tadi ke bahagian tengah telur yang masih  dalam kuali.
6. Hujung telur dilipat menjadi 4 penjuru. Proses ini sama seperti menbuat murtabak
7. Ambil pinggan kosong, telungkupkan di atas telur dan terbalikkan kuali dan sambut nasi goreng yang berbungkus nasi secara berhati-hati.

   

     Sejak puasa ni rasa macam kami kurang makan sayur-sayuran dan buah-buahan. Jadi semalam, surf punya surf ternampak resepi ni - Kerabu epal yang menggunakan Epal Hijau. Apa-apa pun resepi yang menggunakan epal hijau mesti sedap kan..., mengingatkan rasanya yang masam-masam tu pun dah terkecur air liur ni. Jadi nak tak nak kena buat lah jugak walaupun kena start enjin kereta untuk ke mart.  Penyediaannya amat mudah. Racik-racik, perah jus limau, boh gula dan garam. Kalau ada "food processor" lagi cepat. Resepi ni guna bunga kantan, tapi kalau tak ada bunga kantan pun tetap sedap kot. Resepinya saya intip dari Kongsi Resepi jugak oleh Lina,yang mana sumbernya dari Kak Nor yang mendapatkan resepi asalnya dari Hanieliza. Memang sedap kerabu ni.  Resepi ini guna 2 biji epal tapi tak dinyatakan saiz epal tu. Saya buat 3 biji epal, dapat 3 mangkuk kecil, satu untuk suami dan satu untuk saya. Kiki tak makan kerabu-kerabu ni jadi ada lebih semangkuk. Balik surau, saya belasah lagi sampai habis mangkuk yang ke-3. Memang sodappp & terangkat!! Saya sarankan pada yang belum cuba...cubalah resepi ini. Pasti tak mengecewakan.

KERABU EPAL HIJAU  
 

Bahan:

2 bj epal hijau
1/2 btg lobak merah
5 biji tomato ceri dibelah
2 bj cili merah (saya letak 1 bj)
2 bj cili hijau (saya letak 1 bj)
1/2 labu bwg besar
1 kuntum bunga kantan
1 batang serai (linapg tambah)
1 pokok daun ketumbar - saya tak letak sebab tiada stok
1 bj lemon (diambil jusnya)- saya guna limau nipis
1 sudu kecil gula
garam secukup rasa

Cara:

Epal dan lobak merah disagat atau diracik panjang.
Semua bahan lain dihiris.
Gaulkan semua bahan dan tuangkan jus limau kasturi
Kacau rata dan rasakan masamnya
Sedia dihidangkan


     
      Epal ada lebih dari buat kerabu, jadi saya juskan saja buat minuman berbuka. Buat awal-awal dan simpan dalam fridge jadi tak payah guna ais kiub. Blend 3-4 biji epal dengan 3 gelas air, tapis,& tambah gula sucukup rasa. Masuk dalam fridge.


          Pemanis mulut ni makan lepas balik Tarawih. Tengok gambo Puding Strawberi ni dalam Kongsi Resepi yang disumbangkan oleh DapurIbundo agak simple dan menarik. Coklat tu sepatutnya gelap lagi tu tapi sebab kamera congkiakan jadi coklatnya nampak tak berapa gelap.


PUDING STRAWBERI 

Lapisan bawah:
 
Agar-agar serbuk satu peket (100 gm)
(Pastikan beli yang ada logo halal jakim)
Susu segar perisa strawberi 1 liter
Air 2 liter
Gula  1 cawan.
Strawberi beberapa biji ikut suka

Blender strawberi dengan sedikit air (ambil sedikit daripada 2 liter air itu). Masukkan ke dalam periuk bersama bahan yang lain.  Masak sehingga agar-agar dan gula larut. Matikan api. Apabila agak suam, masukkan ke dalam bekas.

Lapisan atas:
 
1 liter susu segar
100 gm coklat masakan
2 sudu besar agar-agar serbuk

Masukkan semua ke dalam periuk dan biarkan larut.  Matikan api bila dah masak.  Letak atas lapisan strawberi yang dah keras tu.  Jangan lupa cakar sikit lapisan bawah tu dengan garpu.

Kandungan bahan dalam resepi ni agak banyak, jadi saya buat cuma anggaran cukup untuk kami 3 orang.


“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka” (Riwayat Muslim).


“Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan”. (Surah al-`Araf:31).

Sumber: Dr Maza.


 
copywrite@2015 MyMintroomDESIGNER BLOGS