Showing posts with label Kuih-muih. Show all posts
Showing posts with label Kuih-muih. Show all posts

Karipap Pusing

Monday, September 14, 2015



Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Saya selalu buat karipap frozen di rumah. Selain disukai oleh kami sekeluarga, mudah kalau tiba-tiba ada tetamu mengejut dan tiada apa untuk dijamu. Karipap frozen jadi penyelamat. Resepi yang saya selalu guna untuk karipap frozen ada Di Sini. Tapi hari ni saya bukan nak kongsi pasal karipap frozen. Saya nak kongsikan resepi kulit karpap pusing. Saya bukan peminat karipap pusing sebab bagi saya ia terlalu "heavy". Maklumlah penggunaan margerin agak banyak juga untuk menghasilkan kulit yang berlapis-lapis tu. Selalu juga saya ternampak rakan-rakan FB menayang karipap frozen di wall FB tapi saya langsung tak minat nak cuba Tapi bila saya ternampak resepi yang dikongsikan oleh Mas Cotek di FB, siap dengan ilustrasi cara penyediannya, terus saya teruja nak mencuba.
Inti dari karipap frozen yang saya buat pun ada berbaki, jadi saya terus mencuba karipap frozen pulak.

 Alhamdulillah. cubaan pertama menjadi. Anak dan suami pun kata sedap. Tapi saya makan setengah biji saja, sebab saya memang tak minat. Saya suka mencuba saja. Terimakasih Mas Cotek atas perkongsian resepi ini. Okay, jom  intai resepinya. 


Karipap Pusing 
Sumber: Mas Cotek


Doh minyak
1/4 cwn myk dipanaskan
2 ½ cwn tepung
secubit garam
air secukupnya
sebatikan,berhenti masuk air bila
doh x lekat di tgn

Doh margerin
1 ½ cwn tepung
2 sdm shortening
1/2 cwn margerin/atau lebih 
sebatikan hingga jd doh (tambah margerin hingga jadi doh)

Bulatkan doh minyak dan doh margerin sama banyak.
Leperkan sedikit doh minyak masukkan doh margerin di dalamnya dan tutup. Rehatkan 5 minit.
Ambil satu bahagian dan canai. Selepas tu sapu air
sedikit saja..calit-calit lebih kurang, jangan banyak ye nanti doh lembik pulak nak bagi kelopak dia melekat bila nak goreng nanti. Gulung, canai memanjang pula. Gulung lagi. Buat sehingga habis. Kemudian potong anggaran 1/2 inci atau lebih.  Canai macam nak isi inti,
sebelah bawahnya nanti yang akan kita isikan inti. Isi inti, klimkan, buat hingga habis dan goreng dengan api yg betul-betul panas.

(Di sini saya sekalikan cara penyediaan doh berserta ilustrasinya yang  saya C&P dari FB Mas Cotek)

(Sumber: FB Mas Cotek)

(Ilustrasi ni saya C&P dari FB Mas cotek jugak untuk rujukan)

Selamat Mencuba!

Karipap Inti Keledek yang paling saya suka!

Thursday, May 07, 2015



Assalamualaikum & Salam Sejahtera,  

Lama tak mengkaripap. Pernah berkongsi resepi Disini dan Di Sini. Selepas tu pun ada juga buat beberapa kali tapi tak kan nak siaran ulangan resepi pulak kan.
Tapi memang setiap kali buat karipap mesti teringat arwah Mak. Mula belajar mengelim karipap di Tingkatan 1 bila tolong arwah Mak berjualan kuih-muih di markas Polis dulu. Karipap yang arwah Mak buat memang sedap. Selalunya banyak yang masuk ke mulut saya dulu sebelum sempat dihantar ke tempat jualan. Bila arwah Mak nampak, cepat-cepat saya cabut lari. Bila teringat, mulalah  saya tersenyum sendiri...


Bila buat karipap selalunya saya buat banyak-banyak lepas tu saya frozenkan sebab bagi saya, mengkaripap ni agak renyah dan meletihkan. Sebab tu bila buat saya akan buat 2-3 adunan lepas tu frozen kan untuk diulang-ulang makan. Anak bujang pun suka karipap yang saya buat menggunakan resepi yang satu ni. Sedap katanya.
Resepi yang saya paling suka sekali ialah resepi  dari Blog Hairul kiriman Puan Mekar,  yang saya olah sedikit resepi intinya untuk disesuaikan dengan selera kami. Lepas tu saya terjumpa pulak di FB resepi untuk kulit karipap frozen dan cara-cara untuk frozenkan karipap, tapi lupa pulak nak dicatatkan dari siapa. Saya akan kongsikan di sini juga.  Untuk inti pulak saya lebih suka guna keledek oren campur daging atau ayam. Kalau tak ada, ikan bilis atau udang kering pun saya bedal jugak. Tetap sedap jugak rasanya ditekak ni. Untuk kali ini saya gunakan Resepi 2 untuk kulit karipap. 

Resepi Karipap Inti Keledek

Resepi Kulit 1

Bahan:
500 g tepung gandum
120g margerin
160 ml air biasa @ air peti sejuk
Secubit garam

Masukkan semua bahan dan uli sehingga adunan tak melekat di tangan.
Boleh terus dicanaikan untuk buat karipap. (Saya masukkan dulu dalam peti sejuk selama 30 minit, baru guna)

Bahan inti:-
5 bj keledek anggaran sekilo - kupas kulit, basuh dan potong kiub
1 pkt kari daging
1 sdb cili serbuk - saya tambah
5 bj bawang merah - cincang *
2 bj bawang putih - cincang *
1 batang kulit kayu manis *
2 inci halia - tumbuk *
1 tangkai daun kari - lurutkan dari batangnya
Ayam/daging - saya letak 2 keping dada ayam yang di dadu kecil
Daun bawang - saya tambah
Garam secukup rasa
1 kiub stok ayam/daging
Air secukupnya - untuk empukkan ubi keledek

Tumis bahan bertanda * hingga naik bau.
Masukkan rempah dan serbuk cili yang telah dibancuh (saya tak bancuh sebab dah biasa tumis serbuk kari terus..sebab lagi cepat kari tu terbit minyak. Tumis selama 3-5 minit).
 Masukkan daun kari. Masukkan ayam/daging dan ubi keledek.
Seimbangkan rasa garam.
Masukkan air agak-agak tenggelam ubi dalam kuali, dan masak dengan api sederhana hingga ubi empuk dan air kering. Jangan lupa kacau sekali-sekala untuk mengelakkan keledek hangus dan melekat di dasar kuali. Masukkan hirisan daun bawang, balik-balikkan sebentar.
Ketepikan dan sejukkan dulu sebelum digunakan.

 Resepi Kulit 2: Sesuai untuk Frozen
Sumber: Facebook

Bahan:
250g Tepung Gandum
50g Tepung Jagung @ Tepung Ubi
50g Tepung Beras
50g Margerin
50 ml Minyak masak 
Secubit garam
130ml Air sejuk 

Cairkan mentega bersama minyak. Ketepikan.
Campurkan dan gaul rata semua bahan kering. Ketepikan.
Masukkan campuran minyak/mentega ke dalam tepung. Gaulkan hingga membentuk macam serbuk roti. Masukkan air sedikit demi sedikit dan uli hingga doh tak melekat di tangan. Bungkus dengan cling wrap dan simpan dalam peti sejuk selama setengah jam. Keluarkan dan boleh terus di canai.

Untuk frozen:-
Ada banyak cara untuk frozenkan karipap tapi saya paling senang dengan cara ini.
Selepas siap di klim, susun atas loyang yang ditabur dengan tepung macam dalam gambar di atas. Bakar selama 10-15 minit pada 100-130C. Sejukkan sebelum di bungkus. Jangan tindihkan antara satu sama lain, nanti melekat. Masukkan bungkusan dalam freezer. Bila nak goreng tak perlu dinyahbekukan. Terus goreng dengan api sederhana untuk elakkan kulit karipap menggerutu. Senangkan...paling senang di bulan puasa buat banyak-banyak dan bekukan.


Karipap yang saya goreng ni agak menggerutu pulak kulitnya, sebab gorengan pertama
minyaknya terlalu panas.


Yang ni tak menggerutu kulitnya sebab minyak sederhana panas aje. Jom kita makan
karipap!

Selamat Mencuba!

Apam Gula Melaka

Wednesday, September 24, 2014



Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Apabila kegilaan mengapam melanda...satu lagi jenis apam yang dibuat dua minggu sudah rasanya. Gambar pun lama terperap kat folder. Resepi dari blog Kak Nor Secubit Garam. Saya kongsikan di sini pulak ya. Sedap, lembut dan gebu kejadiannya, Alhamdulillah, En. HB pun suka. Dia yang dok perabih pun. Kalau dimakan dengan secangkir kopi panas, memang pergh!!


Apam Gula Melaka

Bahan:

* 1 cwn air
* 1/2 cwn gula melaka yg telah diracik halus
* sehelai daun pandan

2 cwn tepung
1 sk dry yeast
3/4 cwn air
3 sb gula pasir ( boleh kurang atau tambah ikut kemanisan yang disukai)
secubit garam

Masak bahan bertanda* hingga gula melaka larut dan dibiarkan sejuk.
Campurkan semua bahan dan air gula yg telah sejuk dan gaul rata.
Seeloknya campuran tadi di masukkan didalam bekas besar. Tutup dan bibiarkan selama 40min atau sehingga adunan naik hingga 3x ganda.
Tuangkan adunan kedalam loyang yg telah dilengserkan minyak. Biar sekejap dlm 5 min.
Kukus adunan selama 30-35 min atau bila dicucukkan lidi, lidi keluar bersih.
Sedap dimakan dgn kelapa parut yg digaul dgn sedikit garam.



Selamat Mencuba!

Apam Gula Hangus

Friday, September 19, 2014



Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Beberapa hari lepas teringin betul tekak ni nak makan Apam Gula Hangus atau Apam Karamel. Resepi ni memang dah lama tersimpan dalam fail. Mudah aje nak buatnya, tapi tak pernah buat pun apam ni...jakun betul kan? Teringin punya pasal, pagi-pagi lagi dah menggodak tepung nak buat.

Alhamdulillah, teksturnya gebu dan moist, rasanya lemak-lemak manis tapi tak terlalu manis. Sedang-sedang aje. Resepi ni pun sikit aje adunannya. Kejap aje dah selesai..:) Kalau nak cuba, saya tempek resepinya di sini ya.


Apam Gula Hangus

Bahan:

Untuk gula hangus (karamel):

1/2 cawan (penuh)  gula pasir
1/2 cawan air panas
1/2 cawan butter (113gm)
  3 sdb susu pekat campur dengan air sehingga menjadi 220 ml
1/2 sudu kecil vanilla esen

Cara:

Dalam kuali, hanguskan gula pasir hingga perang.
Masukkan air sedikit demi sedikit sehingga gula hangus larut sebati.
Masukkan butter.padamkan api. kacau hingga butter cair.
Masukkan susu cair dan vanilla.
Ketepikan.

Bahan apam:

1 1/2 cawan tepung gandum*
1 sudu kecil baking powder*
1/2 sudu kecil baking soda*
2 biji telur


Acuan kecil yg telah di sapu minyak.

Cara:

Panaskan kukusan.balut tudung pengukus dengan kain bersih
Ayak bahan bertanda *.ketepikan
Pukul telur hingga gebu
Satukan bahan campuran gula hangus dengan bahan tepung yg di ayak tadi hingga sebati
Masukkan telur yg telah di pukul.
Kaup balik hingga sebati.
Sudukan adunan dalam acuan yg telah di sapu minyak.
Kukus 15-20 minit dengan api besar hingga masak.
(Saya kukus dalam loyang selama 40 minit dan tutup loyang dengan aluminium foil)



Selamat Mencuba!

Apam Dewa

Wednesday, September 17, 2014



Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Sejak akhir-akhir ni saya teruja membuat pelbagai jenis apam. Masa tengah menaip ni kat dapur tu baru aje selesai mengukus sejenis lagi apam. Yang tu kita kongsi kemudian. Hasil google saya, Apam Dewa ni pernah mencetuskan fenomena di sekitar tahun 2011-2012. Tapi akhir-akhir ni saya lihat di FB Apam Dewa ni seakan timbul kembali. Ternampak beberapa orang berkongsi status di FB dengan kesedapan dan kegebuan Apam Dewa yang mereka buat. Saya turut teruja nak mencuba., bahannya pula cukup mudah. Jom cuba!


Apam Dewa

Bahan:

3 biji telur
1 sdu mkn ovallate
1/2 cwn gula
1 sk esen vanilla
1 cwn tepung gandum – ayak dahulu

Cara:

Panaskan periuk kukusan. Griskan loyang dengan planta.
Pukul telur, ovelette, essen vanila dan gula hingga kembang dan putih berkrim menggunakan mixer.
Masukkan tepung sikit demi sedikit sambil digaul rata.
Bahagikan ke dua bahagian.
Titiskan warna kesukaan dan gaul rata.
Masukan secara berselang-seli adunan ke dalam loyang yang digriskan tadi dan kukus selama 30 minit.
Pastikan tudung kukus dialas dengan kain supaya air tak menitik ke dalam adunan.
(Saya tutup loyang dengan aluminium foil)
 
Selamat Mencuba!

 
copywrite@2015 MyMintroomDESIGNER BLOGS