Bazaar Ramadan 8 - Jauhnya gi berbuka!!

Sunday, July 29, 2012



Lenggang lenggok kanan dan kiri
Joget Kelate nama diberi
Pusing kanan dan pusing kiri
Luar gebu dalam manis sekali
Kuih Cek Mek Molek nama diberi
Make molek-molek deh, lidah terbakar nanti


Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Bertemu lagi di pagi Ahad. Semoga terus ceria dan sihat sejahtera hendaknya agar dapat meneruskan ibadat puasa dengan lancar dan sempurna. Kalau bukan bulan puasa ada yang plan nak hayun kayu golf di pagi Ahad ni. Tapi kalau di bulan puasa ni, emm, cari bantal lagi syiok kot...

Semalam saya ke sebuah kedai Cina kerana nak membeli sesuatu. Lama jugak masa saya habiskan di kedai tu. Akhirnya dapat juga barang yang saya idamkan. Bila tiba masa nak bayar di kaunter (kaunternya dijaga oleh anaknya dan tauke kedai tu berdiri di sebelah anaknya), selesai saja mebuat bayaran, bila anaknya menyerahkan barang yang dibeli dan baki wang, dia berkata " Saya jual ya  kak "? Aik, jawab saya, "You pun tahu nak cakap apa?"
Budak tu senyum aje tapi bapa dia (tauke kedai) mencelah, "Mestilah, nanti jual-beli tak sah".
Saya senyum aje dan terus beredar. Tapi dalam hati berkata, emm, "Inilah indahnya Malaysia & indahnya Islam kerana agamanya cukup mudah."

Okeylah, iftar semalam biasa-biasa saja. Tapi jauh juga saya merantau untuk berbuka semalam hi hi. Bukan senang. Kuihnya di Kelantan, makan di S'pore dan minum di Bandung.

Jom gi Kelate dulu deh. Kenapa agaknya ya, namanya Cek Mek Molek. Resepinya cukup simple. Makan satu dah terasa kenyang.  Ini makanan gantian nasi masa zaman Jepun dulu gamaknya. Saya tengok ada beberapa versi untuk mengadun kuih ni, ada yang suruh lecek & adun sebaik saja ubi empuk maksudnya masa masih panas-panas lagi & ada juga yang suruh adun selepas ubi tu sejuk. Ada juga yang suruh adun aje tapi tak cakap pun masa panas atau masa dah sejuk.Terpulanglah pada yang empunya diri. Saya pula ikut resepi dari blog Lina.

KUIH CEK MEK MOLEK  
Sumber: Lina
Bahan: (dapat 10 biji Cek Mek Molek)

400-450gram ubi keledek (2 cawan keledek lecek)
1 cawan tepung gandum @ secukupnya
Gula putih
Minyak masak untuk mengoreng
   
Cara:

Ubi keledek direbus hingga empuk ( masukkan sedikit garam ).Biarkan ubi keledek rebus sejuk,kemudian lecek halus.
Masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit, adun hingga boleh dibentuk (jangan masukkan terlalu banyak tepung, nanti kuih akan menjadi keras).
Bahagikan adunan kepada 10 bahagian, bulat-bulat (besar sikit dari bola pingpong), leperkan masukkan setengah sudu kecil gula di tengah.
Kemudian bentukkan seperti kuih cekmek molek.
Goreng dengan api sederhana hingga kuning keemasan.
 

Note:

Pastikan ubi keledek betul-betul sejuk,barulah masukkan tepung.kalau masih suam-suam akan menambahkan penggunaan tepung. Nanti kuih keras pulak.
Jika adunan masih melekat ditangan, sapukan tangan dengan tepung supaya kuih boleh dibentuk.
Berhati-hati kalau makan cekmek masa masih panas sebab gula cair masih panas di dalam..nanti melecur pulak lidah.


Dah sampai S'pore. Yang ni lak kenapa orang panggil Mihun S'pore. Ada siapa-siapa tahu? Cer citer cer citer. Resepi dah lama dalam simpanan tapi tak tahu pulak siapa yang empunya. Rasanya, saya copy dari kengkawan dulu.


Mihun Singapore

Bahan: 

1 bungkus bihun - direndam dulu
300g daging - dipotong kecil (kalau daging yang liat, rebus dulu dan air rebusan bolehlah diguna semasa menggoreng mihun untuk melembutkannya)
3-4 keping fish cake
sayuran campur - boleh guna lobak, kobis, terpulang
3 sudu makan cuka
6 ulas bawang putih
1 sudu makan lada hitam / lada putih
2 biji tomato - potong nipis atau belah 4 pun boleh
garam dan gula secukupnya
cili api- potong nipis atau kisar kasar-kasar + kicap sebagai sos 
 

Cara: 
Lada hitam bersama bawang putih ditumbuk halus
Panaskan minyak, goreng daging hingga lembut, bubuh air jika masih liat. Kalau guna daging yang dah rebus, tak payah goreng lama-lama. 
Masukkan fish cake, dan goreng lagi. Kemudian masukkan lada dan bawang putih yang dikisar tadi, goreng hingga naik bau, boleh di tambah sedikit air atau air rebusan untuk melembutkan bihun nanti. Kemudian masukkan cuka.
Kemudian masukkan pula sayuran campur dan gaul. Masukkan gula dan garam secukup rasa.
Masukkan bihun, gaulkan hingga bihun masak.
Apabila bihun masak, tabur tomato, gaul sekejap dan tutup api.
Sedia dihidang bersama sos kicap (sambal kicap).


Dah kenyang makan, rasa nak minum pulak. Jom gi Bandung nak?  Masa beli barang kat kedai Mamak depan taman macam biasa, ternampak cincau yang terletak kat depan kedai tu, berkilau hitamnya dan melambai-lambai je pada saya. Saya beli seketul.  Bila balik rumah, terus masak air gula letak pewarna merah sikit & daun pandan. Pastu letak susu sejat sebab air gula dah manis tak leh pakai susu pekat. Lepas tu masuk dalam fridge. 


Emm, merata saya pergi semalam untuk berbuka. Alhamdulillah...
Jumpa lagi....Wassalam.

No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas komen yang segar

 
copywrite@2015 MyMintroomDESIGNER BLOGS