Showing posts with label DAGING. Show all posts
Showing posts with label DAGING. Show all posts

Kurma Daging (tanpa santan)

Thursday, October 02, 2014



Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Agak lama jugak tak masak kurma ni. Sesekali timbul keinginan nak makan bukan boleh ditahan-tahan kan. Bulan ni dah dua kali saya masak kurma daging. Kali pertama saya campurkan  daging kambing yang sedikit bertulang bersama telur rebus. Kali kedua daging saja. Tapi kedua-duanya saya tak letak santan. Memang dah lama saya tak menggunakan santan dalam masakan kari atau kurma. MLCP tu kena letak lah kan tapi kat rumah ni walaupun saya berasal dari NS saya kurang masak MLCP sebab anak tak berapa suka. Maklumlah semasa saya bekerja dulu sebahagian besar usia kecilnya diasuh oleh pengasuh yang berketurunan mamak. Memang mamak piau punya kata orang utara. Masa tu kami masih menetap di Kulim. Jadi dia dah biasa dengan masakan ala-ala mamak atau senang cerita masakan kari. Sesekali kalau saya teringin nak makan MLCP, barulah saya buat, tapi memang jarangggg.

Kurma Kambing + Telur
 Saya suka menggunakan resepi ini setiap kali masak kurma tak kiralah kurma  daging, ayam atau kambing. En. Suami dan anak pun suka. Bila ada kuah yang lebih jangan buang tau, frozenkan aje nanti boleh rebus telur dan jadilah ia kurma telur :)


Kurma Daging (tanpa santan)

Bahan:

600g daging - hiris tebal, cuci dan toskan - (saya gunakan daging lembut yg ada sedikit lemak)
2 biji kentang - kupas dan potong 4 setiap satu, rendam
2 biji tomato – belah 4
Cili merah dan cili hijau – belah 2 jgn sampai putus
3 camca besar penuh rempah kurma Faeza
1/2 camca besar gula melaka
1/2 camca besar lada hitam biji - kisar halus
Minyak untuk menumis secukupnya
Garam secukup rasa
Air secukupnya

Bahan kisar:

1 biji bawang besar – belah 4
2 biji buah keras
1 inci halia
2 ulas bawang putih

Bahan tumis:

7 biji bawang merah - hiris halus
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
4 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
1 camca teh jintan halus
1 camca teh jintan halus
1 sdb ketumbar biji kisar halus
Cara:

Masukkan daging yang telah dipotong dan dibasuh ke dalam periuk , masukkan air sama paras dengan daging serta sesudu kecil garam dan rebus sehingga sedikit empuk. Bila dah empuk, toskan dan buang air rebusan tersebut sebab ia penuh dengan lemak aje. Ketepikan daging.
 
Panaskan sedikit minyak. Masuk bahan-bahan tumis dan tumis hingga harum. Tambah bahan kisar halus dan masak hingga pecah minyak, guna api kecil dan kacau selalu.
Masukkan tomato dan rempah kurma, kacau rata dan masak lagi hingga rempah garing. Masuk daging, gaul rata dan biar hingga daging mesra dengan rempah. Tuang air secukupnya, kacau dan biar mendidih. Masak hingga daging empuk. Masukkan lada hitam dan kentang. Kacau rata.

Terus memasak hingga kentang empuk. Tambah cili merah dan cili hijau. Perasakan dengan garam dan gula melaka. Kacau perlahan dan masak sekejap. Jika rasa dah seimbang, matikan api. Hidangkan bersama nasi dan sebagainya.

Nota: Kalau guna daging yang liat, boleh guna pressure cooker atau rebus daging berasingan hingga lembut dan ikut kaedah yang sama.
 

Kurma Kambing + Telor
Selamat Mencuba!


Daging Goreng Jintan

Monday, September 22, 2014

 

Assalamualaikum & Salam Sejahtera, 

Nak masak apa hari ni? Tak tahu nak masak apa, boleh cuba Daging Goreng Jintan ni. Saya buat sedikit berkuah sebab tiada lauk lain yang berkuah. Kalau nak goreng sehingga agak kering pun okay. Dua-dua pun tetap sedap, in sha allah.

Daging Goreng Jintan
Resepi Asal:  Rahayu Hassan
C&P dari : Zalieda
300g daging dipotong nipis

Bahan A:
 
*1 sudu teh jintan manis biji
*1/2 sudu teh lada hitam biji
*1 sudu jintan putih biji
*1 sudu teh ketumbar biji
*Cili Padi ikut suka banyak mana
*2 ulas bawang Putih
*1/2 biji bawang Besar
*1 inci halia (bahan * di kisar)

Bahan B:

1 tangkai cili merah dipotong
1 biji bawang besar dipotong bulat
1 tangkai daun sup
1 tangkai daun bawang
2 sudu minyak untuk menumis
sedikit cuka
sedikit kicap - saya campur kicap pekat masin dan manis
sos tiram
Garam + perasa secukupnya - saya tak letak perasa

Tumis Bahan A sampai garing dan naik bau. Masukkan daging dan semua bahan,masak dengan api perlahan hingga daging empuk..Boleh dihidang kan dengan nasi putih.
 
Selamat Mencuba!

Kerabu Mangga & Daging Masak Kicap Blackpepper

Monday, May 19, 2014



Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Ini entri yang dah lama tertunggak, maknanya hidangannya pun dah lama jadi sejarah.
Asalnya ke dapur memang nak masak menu lain untuk makan malam, alih-alih menu ini yang keluar. Apa-apapun memang sedap...licin kami bedal. Alhamdulillah...rezeki Allah.

Kerabu Mangga
Olahan : Marsita
Print Recipe 



Bahan:
 
2 - 3 biji mangga muda saiz sederhana
1 biji tomato, belah 4, buah bahagian tengahnya dan hiris - tak letak sbb tak ada
1 biji bawang besar, mayang halus
1 genggam kacang tanah - goreng tanpa minyak, buang kulitnya dan tumbuk kasar
1 genggam  udang kering -  rendam, cuci dan toskan, tumbuk kasar.
4 biji cili padi, hiris halus
1 ulas bawang putih, cincang halus
1 1/2 camca besar sos ikan
2 camca besar penuh gula perang @ secukup rasa - kalau tak ada gula biasa pun ok
Secubit garam
1 biji limau nipis, perah jusnya
3-4 tangkai daun ketumbar - cincang kasar

Cara:

Kupas mangga muda, basuh dan racik halus. Masukkan ke dalam mangkuk bersama bawang, daun ketumbar dan tomato yang telah dihiris tadi. Gaul rata. Ketepikan.
Satukan sos ikan, garam, gula, bawang putih, cili padi dan jus limau nipis dalam mangkuk, kacau rata dan curah dalam mangkuk berisi mangga hiris dan bahan yang lain. Gaul rata. Tambah kacang tanah dan udang kering, gaul lagi dan sesuaikan rasa.
Sedia untuk dihidangkan.

 


Daging Masak Kicap BlackPepper
Olahan: Marsita

Bahan:
600 g daging kiub - basuh dan masak dalam pressure cooker - toskan air rebusan dan ketepikan
*5 ulas bawang merah - hiris
*3 ulas bawang putih - tumbuk kasar
*1 inci halia - tumbuk kasar
*Rempah 4 sekawan - bunga cengkih 3, kayu manis 1 btg kecil, buah pelaga 4 biji, 1 kuntum bunga lawang
 1 labu bawang besar - hiris bulat
1 sb lada hitam - kisar halus
Kicap pekat manis dan masin secukupnya
Minyak utk menumis

Cara:
Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan bertanda * hingga naik bau. Masukkan daging tadi. Kacau rata. Masukkan kicap dan lada hitam, biarkan didih dan sentiasa kacau. Bila dah cukup mesra, masukkan bawang besar yang dihiris bulat, balik-balikkan sebentar hingga bawang layu sedikit. Angkat. Sedia utk dihidang.
Kalau tak guna pressure cooker tapi daging tu jenis yang liat, kena masak lama sedikit ye...


Selamat Mencuba!

Daging Api-api yang berapi

Wednesday, January 16, 2013


Assalamualaikum & Salam Sejahtera, 

 Kata orang Nogori.., "Ubek podeh tolan gulo" (ubat pedas telan gula)...emm...macam tu lah kami sekeluarga lepas makan nasi berlaukan Daging Api-api dari Resepi Chef yang tidak asing lagi iaitu Chef Ismail ni. Memang pedas dan panas berapi..bagi yang tak berapa tahan pedaslah kan..Cik Suami makan rileks aje...sebab memang kaki makan pedas. Yang tak tahan Si Bujang tu lah..."Sedap tapi pedaslah mak", katanya.

Kesian dia...tapi nasib baik saya buat pemanis mulut. Lepas makan hilang pedas bila makan dessert:).
Dessert nya saya share kemudian ya.


Azlita (Masam Manis) pun ada buat lauk berapi ni baru-baru ni Di Sini.  Memandangkan saya ada stok daging dalam freezer dan tak ada idea nak masak apa, saya cubalah resepi ni pulak. Memang tak rugi mencuba sebab rasanya memang sedap cukup masin, manis di hujung-hujung, masam  dan yang penting pedasnya.

Bahan-bahan yang diperlukan semuanya yang biasa terdapat di pantri jadi tak susahlah kan. Saya masak untuk 500g daging sahaja, jadi bahan-bahannya saya kurangkan separuh dan 350ml air tu saya gunakan air dari rebusan daging.


Daging Api-api
( Klik!  untuk print resepi)
Rujukan: Azlita Masam Manis
Resepi Asal : Chef Ismail (Kuisin Warisan Melayu)

Bahan:

125 ml minyak masak
2 sudu besar gula
1 kg daging ~ di potong, cuci bersih dan rebus hingga empuk
350 ml air - saya guna air dari rebusan daging
2 sudu besar air asam Jawa
3 sudu besar kicap pekat lemak manis
Garam secukup rasa
Sedikit lada hitam tumbuk kasar ~ untuk ditabur

Bahan Kisar:

30 tangkai cili kering ~ direbus hingga lembut
15 ulas bawang merah
6 ulas bawang putih
1 sudu besar lada hitam

Cara:

Letakkan minyak masak dalam periuk dan panaskan atas dapur
Tumis bahan-bahan yang dikisar sehingga naik bau
Kacau dan kecikan api
Tambahkan gula dan kacau sehingga berkaramel dan kelihatan berkliat
Masukkan daging yang sudah direbus, balik-balikkan dan tambahkan air, air asam Jawa, kicap dan garam secukup rasa.
Masak sehingga kuah pekat.
Angkat setelah masak dan taburkan lada hitam.

Saya tak masak sayur cuma sediakan ulam Terung  dan Peria Katak bersama Sambal Tempoyak. Boleh katakan hari-hari saya makan ulam dengan sambal tempoyak ni tapi tak jemu sebab saya memang peminat tegar sambal tempoyak dan sambal-sambal yang sewaktu dengannya.

Tapi sambal yang saya buat kali ni saya tambah ikan bilis dan jus limau untuk sedikit kelainan. Okay jugak rasanya.


Sambal Tempoyak
( Klik! untuk print resepi ) 

Bahan:

10 biji cili api kampung
Segenggam ikan bilis @ dalam 15 ekor
2 SB  tempoyak.
Garam secukup rasa
Jus  dari sebiji limau kasturi  

Cara: 

Tumbuk cili dengan garam hingga hancur, masukkan ikan bilis, tumbuk lagi hingga separuh hancur.  Gaulkan dengan tempoyak hingga sebati. Masukkan jus limau. Gaul lagi. Sesuaikan rasanya. Siap untuk dimakan dengan apa saja ulaman yang digemari.
Sesuai dimakan dengan sayuran @ ulaman seperti timun,kacang panjang,kobis rangup, pegaga, ulam raja, petai, terong, bendi dll.

Wassalam...

Singgang Daging Gee

Friday, November 02, 2012



Assalamualaikum & Salam Sejahtera, 

Dulu masa kecil kalau saya merajuk sayang dengan arwah mak, antara masakan yang selalu arwah sediakan untuk pujuk saya balik ialah lauk singgang ikan. Atau kalau demam pun lauk inilah juga arwah mak selalu masakkan untuk saya. Belum makan lagi dah hilang demam tu. Kalau makan lauk singgang ni saya makan macam makan sop aje..., letak nasi sejemput kat tengah mangkuk, letak lauk sikit je, lepas tu tuang kuah dia sampai penuh mangkuk...hirup kuah dia slurpppp...!!! Tapi kena ada pedas ciliapi, masam mesti nak lebih, cukup masin dan lemak manis kat hujung-hujung...kalau tak pun tuang kicap manis masa nak makan...emmm...apa lagi nak cakap...sehingga menjilat siku lah jawabnya.

Bila tengok lauk Singgang Daging yang terpampang kat rumah Gee beberapa hari lepas teruslah teringin. Tak pernah buat singgang dengan daging. Selalu dengan ikan saja. Terimakasih kepada Gee kerana berkongsi resepi ini. Tapi saya ubah-suaikan sedikit megikut selera kami keluarga.


Singgang Daging
Sumber: Gee
Olahan: mymintroom

Bahan: 

320g daging lembu
5 tangkai cili kering - di potong , ini saya tak letak
1 camca besar ketumbar - saya kisar halus guna pengisar kering
4 keping asam keping
2 batang serai - dititik , ini saya tambah
1/2 inci halia - hiris nipis , ini saya tambah
3-4 helai daun limau purut, ini juga saya tambah
Garam secukup rasa
1 sdt gula- ini saya tambah juga

Bahan kisar:

10 ulas bawang merah
Setengah biji bawang besar - ini saya tambah 
7 ulas bawang putih
1 besar ibu jari kunyit 
1 ½ besar lengkuas
6 biji cili padi - ini saya tambah
1/2 inci halia- ini juga saya tambah

Cara:

Bersihkan daging, kemudian masukkan ke dalam periuk bersama air. Boleh rebus daging dahulu sementara menyediakan bahan kisar.

Tumbuk kasar ( saya kisar halus ) semua bahan-bahan kisar di atas dan masukkan ke dalam periuk tadi. Masukkan juga biji ketumbar yang telah dikisar, asam keping, hirisan halia, serai, daun limau purut dan garam.  

Renehkan dengan api sederhana sehingga daging empuk. Seimbangkan rasa masam dan masin. Bila dah seimbang, bolehlah tutup api. Sedia di hidang bersama nasi panas.         


Musim-musim hujan ni elok le makan cam gini kan. Kiki pun suka. Cik Suami pun kata sedap dan rasanya lebih kurang sama macam resepi Kaeng Som Pla yang saya buat Di Sini baru-baru ni.


Mutiara Kata: 

Nabi Muhammad s.a.w  pernah bersabda: "Apabila tetamu masuk kerumah maka dia masuk dengan rezekinya dan jika keluar, dia membawa pengampunan dosa orang-orang rumah itu" (Riwayat Ad-Dailami dari Anas r.a.)

Wassalam...

Daging Masak Lemak Ciliapi

Friday, October 12, 2012



Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Sekejap dah bertemu Jumaat semula...tengah masak apa tu? Saya dah masak dah...Hi hi, tak adalah. Ini menu makan malam kelmarin.  Daging Masak Lemak Ciliapi. Bukan saja sedap tapi mudah aje nak masaknya. Maaf ye...tak dapat nak sembang banyak....terus aje ke resepinya kat bawah tu...



Daging Masak Lemak Ciliapi

Bahan:

800 g daging – potong kecil, basuh & toskan
1 1/2 cawan santan pekat
2 cawan santan cair
1 keping asam gelugor
4  batang serai - diketuk
2 helai daun kunyit - dibelah/disimpul
3 biji ubi kentang – potong 2
Garam secukup rasa

Bahan Ditumbuk :


12 tangkai cili padi (nak pedas boleh tambah)
1 inci kunyit hidup
½ inci halia
5 ulas bawang merah
3 ulas kecil bawang putih
 
Cara:

Masukkan daging dan bahan tumbuk, serai dan serbuk kunyit (jika kuah tak berapa kuning) ke dalam periuk. Didihkan dan masak hingga daging empuk.

Bila dagingnya dah lembut, masukkan santan cair dan ubi kentang. Teruskan masak hingga ubi empuk dan kuah sedikit surut. Masukkan garam secukup rasa dan santan pekat serta asam keping .

Kacau sekali-sekala dan masak  hingga kuah nampak sedikit pekat. Seimbangkan rasa, masukkan daun kunyit , teruskan masak sekejap lagi dan tutup api.

Sedia untuk dihidang.


"Kita tidak harus mengorbankan harga diri agar disukai orang lain."


Wassalam...

 
copywrite@2015 MyMintroomDESIGNER BLOGS