Kurma Daging (tanpa santan)

Thursday, October 02, 2014



Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Agak lama jugak tak masak kurma ni. Sesekali timbul keinginan nak makan bukan boleh ditahan-tahan kan. Bulan ni dah dua kali saya masak kurma daging. Kali pertama saya campurkan  daging kambing yang sedikit bertulang bersama telur rebus. Kali kedua daging saja. Tapi kedua-duanya saya tak letak santan. Memang dah lama saya tak menggunakan santan dalam masakan kari atau kurma. MLCP tu kena letak lah kan tapi kat rumah ni walaupun saya berasal dari NS saya kurang masak MLCP sebab anak tak berapa suka. Maklumlah semasa saya bekerja dulu sebahagian besar usia kecilnya diasuh oleh pengasuh yang berketurunan mamak. Memang mamak piau punya kata orang utara. Masa tu kami masih menetap di Kulim. Jadi dia dah biasa dengan masakan ala-ala mamak atau senang cerita masakan kari. Sesekali kalau saya teringin nak makan MLCP, barulah saya buat, tapi memang jarangggg.

Kurma Kambing + Telur
 Saya suka menggunakan resepi ini setiap kali masak kurma tak kiralah kurma  daging, ayam atau kambing. En. Suami dan anak pun suka. Bila ada kuah yang lebih jangan buang tau, frozenkan aje nanti boleh rebus telur dan jadilah ia kurma telur :)


Kurma Daging (tanpa santan)

Bahan:

600g daging - hiris tebal, cuci dan toskan - (saya gunakan daging lembut yg ada sedikit lemak)
2 biji kentang - kupas dan potong 4 setiap satu, rendam
2 biji tomato – belah 4
Cili merah dan cili hijau – belah 2 jgn sampai putus
3 camca besar penuh rempah kurma Faeza
1/2 camca besar gula melaka
1/2 camca besar lada hitam biji - kisar halus
Minyak untuk menumis secukupnya
Garam secukup rasa
Air secukupnya

Bahan kisar:

1 biji bawang besar – belah 4
2 biji buah keras
1 inci halia
2 ulas bawang putih

Bahan tumis:

7 biji bawang merah - hiris halus
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
4 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
1 camca teh jintan halus
1 camca teh jintan halus
1 sdb ketumbar biji kisar halus
Cara:

Masukkan daging yang telah dipotong dan dibasuh ke dalam periuk , masukkan air sama paras dengan daging serta sesudu kecil garam dan rebus sehingga sedikit empuk. Bila dah empuk, toskan dan buang air rebusan tersebut sebab ia penuh dengan lemak aje. Ketepikan daging.
 
Panaskan sedikit minyak. Masuk bahan-bahan tumis dan tumis hingga harum. Tambah bahan kisar halus dan masak hingga pecah minyak, guna api kecil dan kacau selalu.
Masukkan tomato dan rempah kurma, kacau rata dan masak lagi hingga rempah garing. Masuk daging, gaul rata dan biar hingga daging mesra dengan rempah. Tuang air secukupnya, kacau dan biar mendidih. Masak hingga daging empuk. Masukkan lada hitam dan kentang. Kacau rata.

Terus memasak hingga kentang empuk. Tambah cili merah dan cili hijau. Perasakan dengan garam dan gula melaka. Kacau perlahan dan masak sekejap. Jika rasa dah seimbang, matikan api. Hidangkan bersama nasi dan sebagainya.

Nota: Kalau guna daging yang liat, boleh guna pressure cooker atau rebus daging berasingan hingga lembut dan ikut kaedah yang sama.
 

Kurma Kambing + Telor
Selamat Mencuba!


1 comment:

  1. OO KURMA PN BLEH X LETAK SANTAN EKK.. INGAT KAN KARI AJE.. KENA TRY NI.. MUDAH PUN YER JUGAK..

    ReplyDelete

Terimakasih atas komen yang segar

 
copywrite@2015 MyMintroomDESIGNER BLOGS