Nasi Himpit & Kuah Kacang

Monday, August 27, 2012


Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Apa khabar semua? Hari ni ramai yang dah mula bekerja rasanya walaupun masih dalam mood raya. Pasti ramai yang mengambil masa untuk mengembalikan ataupun nak tune balik dari mood raya kepada mood kerja. Dan pasti ramai juga yang harus menghadap kerja yang bertimbun-timbun dan fail yang bersusun di atas meja tunggu untuk disemak. Maklumlah, pasti ramai yang menyambung cuti hingga seminggu kan. Apa nak buat. Mungkin situasi begini adalah rutin biasa yang harus ditempuh selepas bercuti panjang. Ada juga yang keletihan kerana terlalu lama berada di jalanraya dek angkara trafik yang memang tentunya sesak kerana masing-masing berasak-asak nak kembali semula bertugas.

Kami agak beruntung kerana setiap kali raya kami berada di arah yang tidak mengalami kesesakan kerana kami pulang ke NS dahulu untuk beraya dan selalunya kami memilih untuk bertolak selepas Isya atau selepas Tarawih. Jadi bila sampai di KL pada tengah malam atau awal pagi, trafik arah ke Selatan sudah beransur reda. Begitu juga tahun ini kami bertolak dari Ipoh ke NS jam 11.45 malam dan sampai di KL lebih kurang jam 2 pagi. Waktu ini trafik ke Selatan memang sangat reda. Sampai di kampung hampir 4 pagi...sedang eloklah waktu untuk bersahur. Lepas Suboh, kami tidur hingga 9-10 pagi sebelum bersiap-siap untuk kerja seterusnya iaitu memasak di hari mantai dan mengemas sedikit sebanyak rumah pusaka peninggalan arwah ibu. Begitulah rutinnya setiap kali raya tapi rasanya tetap bahagia dan meriah.

Pada pagi raya, sebaik saja selesai solat Sunat Hari Raya, tibalah waktu untuk bermaaf-maafan dan bersalaman dengan adik-beradik dan anak saudara. Lepas tu terus menziarahi  ke rumah bapa-saudara hinggalah ke petang raya, masing-masing akan bergerak ke destinasi seterusnya. Saya ke Perak semula dan yang lain-lainnya ke rumah keluarga mertua masing-masing. Di Perak, rutinnya hampir sama juga ziarah menziarahi sanak saudara...Pejam celik, dah pun lebih seminggu beraya. Jadi, last destination dirumah sendiri lah pulak.

Ini menu pertama sekembali dari kampung setelah seminggu beraya. Nasi himpit dan kuah kacang. Saja saya buat kot-kot ada yang datang bertandang tanpa di duga.


    Resepi buat kenangan saya kongsikan di sini;

    Kuah Kacang
    Sumber : DayangJack
   
   
Bahan :

500 g kacang tanah (digoreng tanpa minyak dan dikisar)
2 1/2 senduk cili giling
gula melaka @ gula pasir @ gula apong secukupnya
2 batang serai (diketuk)
minyak masak (lebihkan sedikit)
air secukupnya
4 biji buah keras (ditumbuk hancur) - optional
Air asam jawa secukup rasa

Bahan kisar:

2 batang serai
10 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1 labu bawang besar
1 inci lengkuas
1 inci halia
Segenggam udang kering - rendam dan kisar

Cara:
Satukan kacang tanah bersama air secukupnya di dalam periuk dan jerangkan dengan menggunakan api sederhana. Sentiasa kacau perlahan-lahan supaya ia tidak berketul-ketul. Jangan risau jika terlebih air dan nampak cair. Biarkan ia masak lebih lama (tetapi sentiasa dikacau). Kuah itu sendiri akan menjadi pekat (tetapi tidak kembang). Apabila sudah mendidih dan kelihatan pekat, tutupkan apinya sebentar.

Sementara itu, tumis bahan-bahan kisar bersama serai titik hingga terbit bau. Kemudian masukkan cili giling diikuti buah keras (jika suka). Tumis lagi hingga pecah minyak. Masukkan air asam jawa. Setelah masak, tutupkan api.

Kemudian bahan-bahan tumis tadi dimasukkan ke dalam periuk kuah kacang.
Masukkan juga gula dan garam secukup rasa. Nyalakan semula apinya dengan menggunakan api kecil. Kacau perlahan-lahan hingga nampak sebati dan mesra. Masak lama sedikit hingga keluar minyak. 
Setelah itu tutupkan api. Bolehlah dihidangkan panas-panas bersama satay, nasi impit, rendang dan sebagainya.





Nasi Himpit
Sumber : Koleksi sendiri

Bahan:

2 cawan beras
6 cawan air
daun pandan
garam
daun pisang (optional)

Cara :

Basuhkan beras dan masukkan semua bahan kecuali daun pisang dalam periuk biasa atau rice-cooker.
Masakkan seperti masak nasi biasa.
Bila nampak nasi telah kering masukkan dalam loyang yang dilapikkan daun pisang. Kalau tiada daun pisang, boleh guna plastik.
Tekan sampai padat dengan potato mash.
Lapikkan semula dengan daun pisang dan tindihkan dengan bahan yg berat saperti lesung batu atau periuk kecil yg berisi air.
Biarkan semalaman atau 5 -6 jam.
Bila dah sejuk potong dan hidangkan dengn kuah lodeh atau kuah kacang.

Salam Aidil Fitri...

Wasslam...

No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas komen yang segar

 
copywrite@2015 MyMintroomDESIGNER BLOGS