Assalamualaikum & Salam Sejahtera,
Dua tiga hari ni tak ada atvt yang menarik yang boleh dikongsikan. Badan pun tak berapa sedap. Ingat nak puasa tapi ada aral melintang lak (ABC...). Nampaknya kena tangguh dulu niat tu. Dah tak ada apa nak buat, dua tiga hari ni asyik skodeng blog orang je lah pas tu follow & back link dalam blog sendiri untuk rujukan akan datang. Itu je lah koje nye. Jumpa lak artikel ni dalam Makcik Google jadi saya sharekan di sini buat tatapan bersama, berkenaan Hukum menggabungkan Puasa Qada dengan Puasa Sunat Syawal.
Hukum Gabung Puasa Qadha dan Puasa Enam Syawal
Jabatan
Mufti Negeri Perlis telah menerima pertanyaan hukum dari En Zukri
melalui e-mel: mzukri@... Berikut adalah penjelasan hukum yang diberikan
dan telah diperakui oleh S.S. Mufti Dr. Juanda bin Jaya:
Soalan:
Salam,
saya hendak bertanya tentang puasa ganti dalam bulan Syawal bagi wanita.
Bolehkah digandingkan niat ganti puasa Ramadan dengan puasa sunat
syawal sekali? Apakah kita akan mendapat pahala kedua-duanya sekali?
Adakah ada spesifik hari untuk puasa bagi mendapat kedua-dua pahala
inini? jika tidak, amalan bagaimana lebih afdal?
Terima kasih
Jawapan:
Terima kasih kepada saudara yang bertanya. Jawapannya adalah seperti berikut:
Persoalan pertama berkaitan niat puasa ganti Ramadan yang tertinggal adakah mendapat pahala puasa sunat Syawal.
Persoalan ini terdapat khilaf (perbezaan pandangan) di kalangan ulama.
Pendapat pertama:
Sebahagian ulama berpendapat, tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat
dengan niat puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain.
Sekiranya dilakukan, maka puasa itu tidak sah, sama ada bagi yang fardhu
ataupun yang sunat. Pendapat ini bertepatan dengan sabda Nabi SAW:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ صَامَ الدَّهْر
Maksudnya: "Barangsiapa
yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari
bulan Syawal maka seakan-akan ia berpuasa setahun". (HR Muslim)
Bagi
memenuhi maksud hadis ini, dalam usaha memperolehi pahala yang
dijanjikan iaitu pahala berpuasa setahun, maka hendaklah seseorang itu
menyempurnakan puasa Ramadan (yang merupakan puasa wajib) kemudian
ditambah dengan puasa enam hari di bulan Syawal (yang merupakan puasa
sunat). [Syeikh Muhammad Sholih Al-Munajid – www.islamqa.com]
Pendapat kedua:
Di kalangan ulama Syafie ada yang berpendapat bahawa ganjaran puasa
enam Syawal tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha
sekalipun dia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya. Namun, pahala
yang diperolehi itu adalah kurang berbanding seorang yang berpuasa
kedua-duanya secara berasingan. [Fatawa al-Azhar 9/261]
Setelah
diteliti, dapat disimpulkan bahawa pendapat kedua iaitu pandangan ulama
yang membolehkan ‘puasa dua dalam satu’ ini tidak disandarkan kepada
mana-mana nas Al-Quran ataupun Al-Sunnah yang sahih. Mereka juga
mengatakan bahawa amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan
berpuasa qadha pada bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyyatul
masjid dengan solat fardhu (orang yang terus mengerjakan solat fardhu
apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyyatul
masjid)
Timbul
persoalan, yang manakah yang lebih afdal untuk dilakukan bagi
memperoleh pahala kedua-duanya; mendahulukan puasa sunat enam hari dalam
Syawal atau mengqadhakan puasa Ramadan? Dalam persoalan ini terdapat
dua pendapat.
Pendapat pertama: Boleh mendahulukan puasa sunat Syawal, berdasarkan hadis Aishah RA yang menyatakan bahawa:
( كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إلَّا فِي شَعْبَانَ. قال يحيى:الشغل من النبي أو بالنبي )
Maksudnya: “Aku berpuasa di bulan Ramadan dan aku tidak mengqadha kecuali dalam bulan Syaaban”. Kerana sibuk melayani Rasulullah SAW.”
(HR Bukhari:1950, penjelasan “kerana sibuk melayani Rasulullah SAW”
ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin
Said.)
Para
ulama yang mengemukakan pendapat pertama berhujah bahawa sudah tentu
isteri Rasulullah SAW iaitu Aishah RA tidak meninggalkan puasa sunat
enam Syawal. Tindakannya yang mengqadhakan puasa Ramadan pada bulan
Syaaban menunjukkan bahawa adalah dibolehkan untuk berpuasa sunat Syawal
meskipun seseorang itu belum mengqadhakan puasa Ramadan.
Pendapat kedua:
Tidak boleh mendahulukannya, berdasarkan hadis yang menyatakan
kelebihan puasa sunat Syawal tadi. Rasulullah SAW mensyaratkan puasa
Ramadan terlebih dahulu sebelum mengiringinya dengan puasa enam Syawal
bagi mendapatkan ganjaran pahala yang dijanjikan.
"Jika
seseorang tertinggal beberapa hari dalam Ramadan, dia harus berpuasa
terlebih dahulu, lalu baru boleh melanjutkannya dengan enam hari puasa
Syawal, kerana dia tidak boleh melanjutkan puasa Ramadan dengan enam
hari puasa Syawal, kecuali dia telah menyempurnakan Ramadannya terlebih
dahulu." [Fataawa Al-Lajnah Ad-Daa'imah lil Buhuuth wal Ifta', 10/392]
Sekiranya
diteliti dan dihalusi, maka pendapat kedua adalah lebih rajih (kuat)
kerana ia bertepatan dengan dalil puasa sunat Syawal itu sendiri. Selain
itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan daripada memberi
sedekah yang sunat.
Namun,
sekiranya seorang itu tidak berkesempatan kerana keuzuran untuk
melakukan qadha kemudian berpuasa enam, tetapi dia berkeyakinan bahawa
akan sempat mengqadhakannya sebelum Ramadan tahun berikutnya, maka
pendapat yang pertama tadi boleh diterima, berdasarkan apa yang
dilakukan oleh Aishah RA.
Manakala berkaitan hari-hari yang tertentu pula, dinyatakan bahawa:
"Hari-hari
ini (berpuasa dalam bulan Syawal) tidak harus dilakukan langsung
setelah Ramadan. Boleh melakukannya satu hari atau lebih setelah hari
raya, dan mereka boleh melakukannya secara berurutan atau terpisah
selama bulan Syawal, mana-mana yang lebih mudah bagi seseorang. ... dan
ini (hukumnya) tidaklah wajib, melainkan sunnah."
[Fataawa Al-Lajnah Ad-Daa'imah lil Buhuuth wal Ifta', 10/391]
[Fataawa Al-Lajnah Ad-Daa'imah lil Buhuuth wal Ifta', 10/391]
Imam An-Nawawi RH berkata:
"Sahabat-sahabat kami berkata: Adalah dianjurkan untuk berpuasa 6 hari Syawal. Dari hadis ini mereka berkata: Sunnah mustahabah melakukannya secara berurutan pada awal-awal Syawal, tapi jika seseorang memisahkannya atau menunda pelaksanaannya hingga akhir Syawal, ini juga dibolehkan, kerana ia masih berada pada makna umum dari hadis tersebut. Kami tidak berbeza pendapat mengenai masalah ini dan inilah juga pendapat Ahmad dan Abu Daud." [Al-Majmu' Syarh Al-Muhazzab]
Adalah dianjurkan untuk menyegerakan dan berlumba-lumba dalam melakukan puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah Taala:
وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ
Maksudnya: “Dan
bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amalan yang baik untuk mendapat)
ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan
bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.” [Surah Ali Imran:133]
Wallahu a’lam.
Sumber : Mufti Perlis
No comments:
Post a Comment
Terimakasih atas komen yang segar