Bazaar Ramadan 13 - Ingat masa kecik-kecik dulu?

Friday, August 03, 2012


Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Pejam celik celik pejam dah masuk hari ke 14 kita berpuasa.  Esok hari ke 15 bermakna masuk minggu ke tiga puasa. Kejap aje kan. Masa kecik-kecik dulu bila puasa ni punya lah lama rasanya. Apa taknya dok tunggu je bila nak buka, bila nak buka. Tapi sekarang sebab sibuk dengan aktiviti maka tak sedar masa tu berlalu. Baru nak gi belakang rumah  siram pokok bunga dah nak azan Maghrib hi hi.

Setiap orang mesti ada cerita sendiri tentang puasa masa kecil dulu kan. Saya tak terkecuali. Salah satu nya, pernah kebas kuih bahulu yang mak tengah buat masa dia tak nampak lepas tu bawak lari makan sembunyi-sembunyi. Lepas tu dengan bangganya mengaku puasa. Bila tiba waktu berbuka,  selamba je pulun makan macam orang puasa. Lagi satu, minum dan makan dalam bilik air. Bila mak tanya mati hidup balik pun takkan mengaku. Tapi bila tiba raya, lebih dari orang puasa penuh. Ada hati nak duit raya lebih lak tu.Kalau diingat balik gelihati rasanya.

Semalam iftar kami ialah mee hailam. Kali terakhir saya makan mee Hailam ni saya pun tak berapa ingat.  Semalam bila skodeng Echo's Kitchen ni ternampak Mee Hailam tu macam sedap je dan macam memanggil-manggil pulak. Mee pun memang selalu ada dalam stok. Begitu juga dengan bahan-bahan perlu yang serupa dengannya. Jadi apa tunggu lagi kan. Tak yah pening-pening kepala. Kalau bab menu yang ada terlibat dengan kicap-kicap ni memang bebudak pun suka.Saya on je lah. Resepi nya saya rujuk dari Echo's Kitchen jugak tapi saya adjust ikut bahan dan citarasa saya.



Mee Hailam
Rujukan :Echo's Kitchen

Bahan
 
1  peket mee kuning
Dada ayam – potong kecil
Udang size M - 10 ekor
3  bebola daging/ikan, kepingan ikan - hiris
3-4  tangkai sayuran hijau (sawi, kobis panjang, kobis – atau ikut suka)
1/2 lobak  hiris
3 biji bawang putih – cincang halus
½ kiub ayam
2 ½ cwn air
2 sudu besar tepung jagung
2 sudu besar minyak untuk menumis

Perasa

 
1 sudu besar sudu teh sos tiram
1 sudu besar kicap pekat
1 sudu besar kicap cair
Garam secukupnya
½ sudu teh serbuk lada putih

Bahan untuk ditabur  – Cili merah, daun sop

Panaskan minyak & masukkan bawang putih. Bila naik bau, masukkan ayam, udang dan bebola daging/ikan serta kepingan ikan. Udang  saya keluarkan semula sebab kalau lama sangat dia keras.  Kacau sebentar dan masukkan air serta kiub ayam dan didihkan. Selepas itu masukkan semua bahan perasa dan kacau sedikit lagi. Masukkan pula, sayuran dan mee. Tutup kuali dan masak dalam 2-3 minit.
Selepas itu masukkan tepung jagung ( bancuh dulu dengan sedikit air) , masukkan semula udang dan kacau sehingga kuah pekat. Sedia untuk dihidang dengan bahan taburan.


Selain Mee Hailam ialah Sop Tulang yang macam dah jadi menu wajib kami lak untuk buka puasa tahun ni. Ya lah, kami tak ambil nasi. Jadi sesuailah tu makan sop dengan mee dan sebagainya. Sop ni ulangan resepi yang pernah di masak sebelum ni Di Sini . Tiga mangkuk sop ni untuk sorang satu hi hi.


Dua tiga hari lepas suami ada tebang pokok pisang sebab buahnya dah nak masak. Pisang Abu. Nak kena let go pisang ni. Siapa nak makan setandan tu. Semalam buah yang di peram dah masak betul, saya pengatkan sikit buat pemanis mulut. Resepi ni ada dalam koleksi hard copy saya.




Pengat Pisang

Bahan:

6 biji pisang – potong senget
300 ml santan pekat
300 ml air ( kalau nak pekat kurangkan )
1/2 cwn sago – di basuh & rendam selama 20 minit
6  tbsp gula
4  tbsp gula merah/gula melaka
Secubit garam
Sehelai daun pandan disimpul

Cara :

Didihkan air dengan daun pandan.
Masukkan  gula dan gula merah hingga gula cair.
Masukkan pisang & sago dan kacau hingga sago kelihatan jernih dan pisang empuk.
      Masukkan santan , kacau dengan perlahan didih. Berhati-hati kacau supaya santan
      tak pecah minyak.


Ha, yang di bawah ni bukan menu iftar kami tapi Kari Ayam tanpa Santan yang resepinya saya skodeng dari dapur Mat Gebu  ni untuk sahur for the next 3 days. Bila dah masak, saya sejukkan dahulu sebelum masuk dalam bekas-bekas kecil ni. Lepas tu masuk ke dalam freezer. Malam sebelum sahur saya akan defrost supaya senang nak panaskan bila tiba sahur nanti. Bukan apa, buat kami tiga beranak kari memang jalan aje waktu sahur. Sahur pagi kelmarin, saya goreng ayam kicap buat cair-cair pun Kiki makan nasi tak habis. Kalau kari macam ni memang dia boleh makan nasi dengan selera. Nak-nak saya goreng telur dadar sekali. Emm, gerenti tak ada masalah. Kari tanpa Santan memang sesuailah kalau nak simpan untuk sahur buat 2-3 hari. Hari tu saya buat yang sama tapi Kari Daging tanpa Santan--resepi sendiri tapi tak letak pes tomato. Resepi dari Mat Gebu ni okay gak letak pes tomato.. ada masam-masam sikit. Terimakasih Mat Gebu for the recipe.


Kari Ayam Tanpa Santan 
Sumber : Mat Gebu

Bahan:

800 gram ayam potong ikut suka, buang kulit, cuci bersih dan toskan
3 biji kentang, kupas belah 4 setiap satu dan rendam
2 biji tomato, belah 2 setiap satu - saya tak letak
1 keping asam gelugor
1 camca besar pes tomato - saya guna tomato puree
1 1/2 camca besar cili kisar (nak pedas sila tambah)
4 camca besar penuh rempah kari daging Baba's
Air secukupnya
1 kiub pati ayam "MAGGI" (optional) - saya letak setengah
Garam dan gula secukup rasa

Bahan Kisar Halus:

1 biji bawang besar
6 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
1/2 inci kunyit hidup

Bahan Tumis:

2 tangkai daun kari, dilurut
3 biji bawang merah, hiris halus
2 ulas bawang putih, hiris halus
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
6 kuntum bunga cengkih

CARA:
  1. Panaskan minyak dalam periuk. Masukkan bahan tumis dan tumis hingga harum, tambah cili kisar dan pes tomato, tumis hingga garing, guna api kecil. Masukkan Bahan kisar halus + rempah hari tadi. Kacau rata dan tumis hingga rempah garing dan terbit minyak. Kacau selalu.
  2. Masukkan ayam, gaul rata dan biar ayam kecut dengan rempah tadi. Masukkan kentang (toskan). Gaul. Tuang air secukupnya. Biar mendidih. Masukkan kiub pati ayam jika guna. Tambah asam gelugor dan masak hingga kentang empuk.
Tambah garam secukup rasa da sedikit gula. Masak sekejap lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Masukkan tomato belah dan biar sekejap hingga tomato masak dengan wap panas. Boleh hidangkan bersama nasi, roti jala, lempeng atau pun roti.

No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas komen yang segar

 
copywrite@2015 MyMintroomDESIGNER BLOGS