Nasi Ayam Mudah

Monday, March 10, 2014



Assalamualaikum & Salam Sejahtera, 

Sejak jumpa resepi ni, saya selalu buat nasi ayam menggunakan resepi yang sama. Ringkas serta kena dengan tekak dan selera. Cik HB dan anak pun turut suka. Dari mana resepi ni sebenarnya saya memang betul-betul lupa sumbernya, tapi yang pastinya semasa mula menggunakan resepi ni, saya cuma ikut dari telefon bimbit sebab masa tu nak cepat dan tak tahu apa nak dimasak untuk makan malam. Terus google dari telefon saja.
Sebaik jumpa saya tertarik dengan resepinya yang ringkas, apatah lagi bahan-bahannya semua ada masa tu , jadi terus je masak. mengikut apa yang tertera di telefon. Lepas tu cari balik tak jumpa dah, tapi bahan-bahannya memang saya ingat.

Bahan Rebusan Ayam ( untuk 3 orang)
1/2 ekor ayam - potong dan cuci
3 batang daun ketumbar-buang akar dan cuci bersih saja, tak perlu potong
1 biji bawang besar - potong 4
1 kiub ayam Knor
1 kulit kayu manis
3-4 ulas bawang putih
Halia setengah ibu jari
Air secukupnya untuk sop dan untuk masak nasi 
Garam secukupnya

Masukkan kesemua bahan (kecuali halia) ke dalam periuk dan rebus selama setengah jam atau hingga ayam empuk . Keluarkan ayam dari periuk. Asingkan air rebusan secukupnya untuk masak nasi. Masukkan halia dan terus renehkan lebihan sop di dalam peiuk dengan api perlahan.

Untuk Nasi Ayam

2 cawan beras - cuci dan toskan
3 biji buah pelaga*
3 biji bunga cengkih*
2 ulas bawang putih*
2 ulas bawang merah*
2 sb butter
2 sudu minyak masak
Garam secukupnya
1 kiub  ayam Knor
2 tangkai daun ketumbar - bersihkan, tak perlu potong
Air dari rebusan ayam secukupnya

Panaskan minyak dan masukkan butter hingga cair. Tumis bahan *. Masukkan beras dan goreng sebentar dalam 5 minit. Alihkan beras ke dalam periuk dan masukkan air dari rebusan ayam tadi secukupnya serta daun ketumbar. Perasakan dengan garam. Teruskan masak nasi seperti biasa.

 Ayam Goreng

3 sb kicap manis
2 sb kicap masin
1 sb sos tiram
 sedikit serbuk lada hitam

Lumurkan bahan-bahan di atas ke seluruh ayam dan goreng dengan api sederhana hingga keperangan. Tak perlu goreng lama sebab ayam dah cukup masak.

Sos Cili

5 biji cili merah - belah dan buang biji
3 ulas bawang putih 
Garam dan gula secukupnya
2 sb jus limau

Kisar semua bahan di atas. Seimbangkan rasa. ( nak masak sekejap atas api pun boleh )

Kicap

1 senduk air rebusan ayam
1 sb kicap masin 
1 sb kicap manis
1 sdt  sesame oil 
2-3 ulas cili api - racik (optional)

Siap! Sedia untuk hidangkan nasi ayam bersama potongan timun, salad dan tomato.
 
Selamat Mencuba!

No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas komen yang segar

 
copywrite@2015 MyMintroomDESIGNER BLOGS