Friday, August 31, 2012

Ayam Masak Hitam, Dalca & Nasi Kukus



Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Dah beberapa hari tak post entri yang berkaitan ngan masak-memasak. Bukan bermakna tak masak pulak tapi masak menu yang simple yang biasa dikongsi di blog ni..so malas lah nak ulang tayang pulak.

Raya ke tiga yang lepas, kami berkunjung beramai-ramai ke rumah kakak ipar (Puan Mazari) di Taiping. Salah satu menu yang dihidangkan ialah Daging Masak Hitam. Memang menu ni rajin disediakan oleh beliau hampir setiap kali raya dan jika ada kenduri. Mungkin salah satu sebabnya resepi ni tak menggunakan  santan. Malah beliau juga pernah masak resepi ni untuk seekor lembu untuk kenduri kawin. Mak ai banyaknya...Salah satu topik yang kami sembangkan masa beraya kat rumahnya hari tu pun pasal resepi ni lah. Dulu beliau cuma beli aje rempahnya bila nak buat rendang ni tapi tahun ni dia menyediakannya sendiri.
Jadi dia sempat juga memberikan kepada kami resepinya. Tapi sebab cakap mulut je...saya pun tak berapa pasti sukatannya secara tepat. Nak call dia pun heh heh, malas lak rasanya, tapi rasa macam nak buat jadi sayapun skodenglah kat Makcik Google lalu terjumpalah resepi yang agak hampir dengan resepi tersebut. Saya dapat resepi yang sewaktu dengannya dari blog  Aidah June  di mana beliau rujuk pula dari Kak Jee. Dan saya adjust resepi ni supaya tak lari dari resepi dari kakak ipar saya tu. Lagipun tak yah lah taip resepinya,  memadai C&P dari Kak Jee lepas tu tambah je lah bahan-bahan lainnya heh heh...penyakit M lah tu...Kita terus je ke resepinya;



Ayam Masak Hitam
Rujukan: Aidah June
Sumber: Kak Jee
Diolah semula : mymintroom

Bahan:
 
1 ekor ayam - saiz sederhana (potong, cuci & toskan)
2 1/2 mangkuk (mangkuk yang isi taufoo faa jual kat pasar mlm tu) bawang yang telah dimayang
Cili kering di goreng ngan sikit minyak & kisar kering (ikut kepedasan yang diperlukan) 
3/4 botol kicap manis (guna cap kipas udang)
2 kayu manis*
10 biji buah pelaga*
 2 bunga lawang*
1/4 sudu teh jintan manis*
1/4 sudu teh jintah putih*
Setengah mangkuk kerisik (mangkuk yang isi taufoo faa jual kat pasar mlm tu)
Air asam jawa - optional.

Cara:

Kisar semua bahan yang bertanda *.  Ketepikan.

Bawang yang telah diricik (mayang) dibuat bawang goreng. Jangan sampai hangus nanti masakan akan jadi pahit. Bila sejuk, kisarkan.

Gaulkan bahan kisar * , bawang goreng yang telah dikisar, cili kering, kicap manis & kerisik bersama ayam tadi dan biarkan/perapkan selama setengah jam. Nak lama sikit pun boleh. Lepas tu boleh lah di masak dengan api perlahan, dan sentiasa kacau. Masukkan air asam jawa jika suka.  Masak hingga terbit minyak.  Boleh makan dengan nasi atau lemang.



Habis, takkan makan nasi ngan lauk ayam ni aje kan. Teringat pulak Kari Dalca yang kali terakhir saya buat ntah tahun bila. Bila buat Dalca ni mesti teringat kat arwah bapa mertua sebab Dalca ni merupakan salah satu favorite arwah. Nak-nak kalau dah disimpan beberapa malam. Lagi sedap. Lemak berkrim disukai ramai heh heh. Gambar kat atas tu Dalca tu tak berapa empuk lagi sayur-sayur nya...saja ambik sementara masih ada cahaya matahari.


Dalca

Bahan:  

Bahan Hiris:

4 ulas bawang putih
1 biji bawang merah
1 cm halia

Bahan tumbuk:

2 ulas bawang putih
1 biji bawang merah
1 cm halia 

Bahan lain:
1 kulit kayu manis
5 biji buah pelaga
5 biji bunga cengkih
minyak secukupnya (lebih sikit pun takpe)
2 sudu besar rempah kari daging
1 1/2 sudu kecil serbuk jintan manis * kisar
1 sudu kecil serbuk jintan putih* kisar
Air asam jawa secukup rasa
beberapa ketul ayam (terpulang pd anda, saya guna kaki ayam)
1/2 cawan kacang dhal (direbus hingga lembut, sebahagian diambil dan ditumbuk hingga hancur, air rebusan jangan buang)
sayur2 spt karot, kacang panjang dan ubi kentang (boleh juga masukkan terung panjang)
santan
garam & gula secukup rasa

Cara:

Hiris semua bahan hiris dan ketepikan. Sediakan rempah-rempah seperti di atas. Potong sayur mengikut kreativiti masing-masing.

Gaulkan rempah kari daging, serbuk jintan manis dan serbuk jintan putih di dalam sebiji mangkuk dan tambah sedikit air.

Tumbuk semua bahan tumbuk dan ketepikan.

Panaskan minyak di dalam periuk. Setelah minyak panas, masukkan bahan hiris dan tumis. Sebelum bahan hiris berubah menjadi kuning, masukkan kulit kayu manis, buah pelaga dan bunga cengkih. Tumis hingga naik bau dan kekuningan.

Masukkan campuran rempah daging yg dicampur air tadi ke dalam periuk dan biarkan seketika. Kemudian, masukkan bahan tumbuk dan kacau. Tambah sedikit air dari air rebusan kacang dhal supaya rempah cair sedikit dan teruskan hingga rempah naik minyak.

Tambah air asam jawa, agak-agak supaya tidak terlampau masam tapi ada rasa masam.

Masukkan ketulan ayam.

Setelah ayam separuh masak, masukkan semua kacang dhal yg direbus dan juga yg ditumbuk. Gaul rata.

Masukkan semua sayur-sayur yg telah dipotong. Tambah garam secukup rasa.

Tambah air mengikut kepekatan yg disukai. Kemudian, tambahkan santan secukupnya (jangan sampai kuah menjadi terlampau putih). Masak sehingga mendidih dan tutup api. Pastikan ubi kentang & karot sudah lembut.


Raya kat kampung baru ni, kakak ipar (Pn Razilah) buat Nasi Kukus yang dimakan bersama Ayam Goreng Berempah serta kari sayur campur & sambal.  Nasi kukus tu sedap betul lah, rasa tak puas lak makan hari tu. Rasanya sesuai jugak makan Nasi Kukus dengan Ayam Masak Hitam & Dalca yang saya buat ni. Saya pun skodeng lah blog Linapg untuk resepinya sebab pernah ternampak resepi ni kat blog beliau.





Nasi Kukus

Sumber:  Linapg

 

Bahan:

 

2 cawan beras panjang AAA (sy guna beras biasa je)
2 cawan air ( sy masuk air sama paras dgn beras )
Daun pandan simpul – saya tambah

Cara:
 
Basuh beras dan rendamkan beberapa jam

Masukkan beras dan air bersama daun pandan ke dalam loyang dan kukus sehingga naik wap dan nasi masak (20-25min) 

Sebenarnya ada lagi resepi Nasi Kukus versi yang lain dalam blog Linapg ni. Contohnya macam resepi ini yang terdapat Di Sini tapi disebabkan kesuntukan masa, saya cuma ikut resepi mudah seperti di atas saja.

Wassalam...