Sop Tulang Kambing

Tuesday, July 10, 2012


Assalamualaikum,
     Pagi tadi ada perjumpaan di sekolah untuk taklimat Penilaian Berasaskan Sekolah @ PBS. Sistem ini bermula untuk pelajar Ting. 1 tahun ni bermakna dengan perlaksanaan ssistem ni tak adalah lagi PMR pada 2014 tapi SPM masih ada. Penilaian akan di buat sepanjang tahun dan tidak lagi "exam oriented". Banyak juga input yang diberi oleh Cikgu Zainal dan ramai juga ibu-bapa yang hadir untuk mendapatkan penjelasan lanjut tentang sistem baru ni. Jadi tak lah nanti ibu-bapa ketinggalan dengan perkembangan anak-anak melalui sistem baru ni kan. Taklimat yang bermula tepat jam 10.30 pagi seperti yang dijadual, selesai jam 12 tengahari. Selesai saja, saya pun balik dengan Kiki sekali.
     Sebelum pergi ke taklimat tadi, saya intai dalam fridge masih ada stok tulang kambing yang dibeli bersama tulang lembu minggu lepas. Tulang lembu dah disopkan Jumaat lepas. Hari ni giliran tulang kambing ni pulak. Semalam tanya suami hari ni nak buat sop tulang tapi tulang kambing, dia kata wokey..(wokey je kalau bab makan tak cerewet janji "edible" dan "healthy"). Jadi sop tulang kambing ni akan di pasangkan dengan roti. Yang paling sesuai roti benggali, tapi biasalahkan bila tak dicari roti ni memang bersepah kat kedai depan tu tapi hari ni satu kedai pun tak jual. Jadi saya ganti dengan roti putih 1 Malaysia ni je lah., isinya nampak padat harap-harap sesuai dicicah dengan sop nanti.
Putihnya roti ni...

     Bercakap pasal kambing, ramai yang tak makan daging kambing termasuklah saya suatu ketika dulu. Tapi sejak saya rasa kurma kambing yang bagi saya paling sedap yang pernah saya makan disebuah kenduri kambing eh kenduri kahwin saya terus jatuh cinta dengan daging kambing. Dari kurma, kari, panggang dan sop semua saya bedal. Ramai pula yang kata kambing penyebab darah tinggi...Emm saya pun pernah beranggapan demikian tetapi setelah membaca dari sumber-sumber yang boleh dipercayai saya turut yakin dengan khasiat daging kambing. Cuma bila kita makan janganlah berlebihan, sebab apa-apa pun yang kita makan tak boleh berlebih-lebihan kan? Kalau nak tahu lebih lanjut khasiat daging kambing bolehlah  klik Di Sini. Banyak lagi artikel tentang khasiat daging dan susu kambing yang boleh di"google". Tapi saya cuma kongsikan yang ini.
     Terus saja ke resepi Sop Tulang Kambing yang saya realisasikan dari My Resepi oleh Kak Fida.

 Bahan-bahan ( 4 - 6 orang )
  • 1 kilo tulang kaki kambing/ekor lembu * - potong kecil(utk ekor) dan cuci bersih
  • 1 helai daun pandan *
  • 1 batang serai *- dititik
  • 1  ibu jari halia*- diketuk
  • 2 biji bawang besar - dikisar
  • 3 ulas bawang putih - dikisar
  • 1 ibu jari halia - dikisar
  • 1/2 biji buah pala - di tumbuk halus
  • 1/2 sb lada hitam - ditumbuk halus 
  • 1/2 st biji ketumbar (ini saya tambah)
  • daun sup dan daun bawang - dihiris untuk tabur
  • bawang goreng - untuk tabur
  • garam secukup rasa
  • minyak masak untuk menumis
  • Kentang, Carrot, Celery - (celery saya tak letak sebab tiada stok)
  • BAHAN TUMIS:-hirisan bawang merah dan bawang putih,kulit kayu manis,cengkih,pelaga.
  • Secukup air untuk merebus tulang dan untuk kuah
Cara-cara
  1. Rebus tulang bersama bahan-bahan yang bertanda* dengan secukup air hingga daging pada tulang empuk.
  2. Panaskan sedikit minyak didalam periuk dan tumis bahan-bahan tumis hingga wangi dan masukkan bahan-bahan yg dikisar dan ditumbuk halus dan kacau rata hingga terbit minyak dan masukkan rebusan tulang bersama secukup supnya,kacau rata dan tambahkan garam secukup rasa.
  3. Masukkan kentang, carrot.celery dan masak hingga sayur-sayuran empuk.
  4. Ketika menghidang, tabur daun sup dan daun bawang yang dihiris dan juga bawang goreng.
  5. **Tulang kaki kambing/ekor lembu boleh diganti dengan tulang rusuk atau isi daging lembu ikut selera.Satu petua untuk dikongsi bersama,ketika merebus daging jangan bubuh garam sebab daging akan lamba empuk. Saya gunakan pressure cooker. Ikut langkah 1, masukkan bahan dalam langkah 2 dan rebuskan dalam pressure cooker. Bila dah bunyi berdesir, kecilkan api dan terus rebus hingga 25 minit. Lepas tu baru masukkan Kentang, Carrot & Celery dan masak lagi hingga sayur empuk. Dan sebab guna pressure cooker saya letak garam sekali sebab rasa tak mesra daging ngan garam tu kalau letak kemudian.  Silakan....

No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas komen yang segar

 
copywrite@2015 MyMintroomDESIGNER BLOGS