Selamat Berpuasa & Jangan Tak Sahur...

Thursday, July 19, 2012

 Assalamualaikum & Salam Sejahtera,
     Salam mesra semuanya. Alhamdulillah, bulan yang di tunggu iaitu bulan Ramadhan sudah begitu hampir. Tinggal beberapa jam saja lagi tahulah kita puasa esok atau lusa. Oleh itu "Selamat menyambut Ramadan" semoga kita semua dirahmati Allah dan terus dikurniakan keberkatan olehNya. Puasa adalah ibadah yang melambangkan keikhlasan. Jika seseorang itu benar-benar berpuasa, tanda adanya keikhlasan yang besar dalam penghayatan Islamnya, Insyaallah. Semoga kita dapat terus menguatkan semangat untuk memperbanyakkan amalan yang baik di bulan Ramadhan dan salah satu amalan yang baik & sunnah yang digalakkan ialah bersahur itu sendiri.
1.    Sahur itu adalah sunnah. Sekalipun ia tidak diwajibkan, namun amat-amat digalakkan. Bahkan ia dijadikan pembeza antara sahur muslim dan sahur Yahudi. Sabda Nabi s.a.w:

 “Pembeza antara puasa kita dan puasa Ahli Kitab adalah makan sahur”. (Riwayat Muslim).

     Maka, kita berpuasa kerana ingin mengabdikan diri kepada Allah dan kita berlumba-lumba melakukan perkara yang disukai Allah pada bulan Ramadan ini, maka ikutilah sunnah Nabi s.a.w termasuk dalam bersahur. Besarnya rahmat Allah, sehingga seseorang yang bangun bersahur agar dia bertenaga esok harinya ketika berpuasa, dihitung sebagai ibadah yang diberi ganjaran.

2. Allah jadikan keberkatan dalam bersahur. Sabda Nabi s.a.w :
“Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Barakah adalah sesuatu yang mustahak dalam kehidupan ini. Insan mungkin memiliki berbagai perkara, tetapi jika ianya tidak diberkati Allah, maka segala kebaikan yang diharapkan akan hilang. Mencari keberkatan adalah suatu yang teramat penting dalam hidup ini. Dalam sahur itu ada keberkatan buat puasa yang bakal dilaksanakan dan kehidupan individu yang berpuasa secara umumnya. Semoga kita memperolehinya.

3. Bersahur itu terhasil dengan memakan apa-apa makanan yang halal, atau meminum apa-apa minuman yang halal. Sabda Nabi s.a.w:
“Sesiapa yang ingin berpuasa maka bersahurlah dengan sesuatu” (Riwayat Ahmad, disahihkan dengan syawahid).
Berdasarkan hadis, kita digalakkan bersahur dengan tamar. Nabi s.a.w bersabda:
“Sebaik-baik sahur orang mukmin ialah tamar”. (Riwayat Abu Daud, Ibn Hibban dan al-Baihaqi, sanadnya sahih).
Maka dengan ini, kita bukan sahaja digalakkan berbuka puasa dengan tamar, kita juga digalakkan untuk bersahur dengan tamar. Maka, ambillah sekurang-kurangnya sebiji tamar semasa bersahur semoga mendapat pahala tambahan.

4. Kita disunnahkan untuk melewatkan sahur. Perkataan sahur itu sendiri merujuk kepada akhir malam atau sepertiga akhir malam. Ini seperti firman Allah:
“Pada waktu sahur mereka memohon keampunan” (Surah Ali ‘Imran: 17).
Bersahur terlalu awal bukanlah sesuatu yang digalakkan sebaliknya disunnahkan melewatkannya.
Kata Zaid bin Thabit: “Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh)”. Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama antara sahur azan dan sahur tersebut?”. Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menunjukkan bahawa betapa lewatnya sahur Nabi s.a.w. Jika 50 ayat dibaca, kadarnya lebih kurang beberapa minit. Di tempoh itulah Nabi s.a.w menghentikan sahur untuk bersiap menuju solat.

5. Waktu sahur berlanjutan sehinggalah masuknya waktu subuh. Andaian bahawa puasa itu mesti bermula sepuluh atau dua puluh minit sebelum subuh adalah tidak tepat. Hadis Zaid di atas tadi, bukan menunjukkan sahur itu wajib berhenti kadar 50 ayat sebelum azan, tetapi menunjukkan amalan Nabi s.a.w yang dilihat oleh Zaid. Buktinya, Aisyah r.a menyebut:
“Sesungguh Bilal azan pada waktu malam (azan pertama Subuh, sebelum masuk waktu). Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menunjukkan pada zaman Nabi s.a.w ada dua kali azan bagi waktu subuh. Ini seperti yang diamalkan di kebanyakan dunia Islam terutamanya Mekah dan Madinah. Azan pertama sebelum masuk waktu, ia dilaungkan oleh Bilah bin Rabah. Azan kedua, oleh sahabat Nabi s.a.w yang merupakan seorang buta, beliau Abdullah ibn Ummi Maktum. Maka Nabi s.a.w mengizinkan seseorang yang hendak berpuasa itu makan sehingga azan kedua, iaitu masuk waktu subuh yang sebenar, maka barulah berhenti.

6. Al-Quran sendiri menjelaskan tentang hal ini dengan menyatakan (maksudnya):
“Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam” (Surah al-Baqarah: 187).
Maka penentu bagi waktu terakhir sahur adalah masuknya waktu subuh yang sebenar, bukan beberapa minit atau belasan minit sebelum subuh. Dalam riwayat Muslim, Nabi s.a.w bersabda:
    
7. Maka berdasar al-Quran dan hadis-hadis di atas, juga pelbagai riwayat yang lain, maka waktu ‘imsak’ yang sebenarnya bermula apabila masuknya waktu subuh, bukan beberapa minit atau belasan minit sebelum subuh. Maka, apabila seseorang bangun bersahur dan didapati waktu subuh belum masuk sekalipun hanya tinggal beberapa minit, dia tetap boleh memakan sahurnya sehinggalah masuknya waktu subuh.


8. Bersahur di samping membantu kita untuk lebih cergas semasa berpuasa, ia juga mendidik seseorang untuk bangun pada sepertiga yang akhir malam. Ini kerana waktu tersebut adalah waktu yang mempunyai kelebihan untuk ibadah dan dimustajabkan doa serta istighfar. Dalam hadis, Rasulullah s.a.w bersabda:
“Tuhan kita Yang Maha Berkat dan Agung turun setiap malam ke langit dunia, ketika hanya tinggal sepertiga malam yang akhir. Lalu berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepadaKu, akan Aku perkenankan untuknya. Sesiapa yang meminta kepadaKu, akan aku berikanNya. Sesiapa yang memohon keampunan kepadaKu, akan Aku ampunkannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
9. Puasa adalah proses mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. Jika seseorang itu berpuasa serta mengikuti sunnah-sunnah bagi seseorang yang berpuasa, maka mudah-mudahan mencapai hakikat taqwa. Ia akan mendidik diri dengan berbagai kebaikan yang lain, termasuklah qiyamullail atau ‘bangun malam beribadah’. Sahur, salah satu program penting yang jika dihayati dengan baik, membentuk jika menjadi insan yang menghampirkan diri kepada Allah.

Sumber: Dr. Maza

     Bila baca penjelasan dari Dr Maza, teringat peristiwa lucu berkenaan sahur yang berlaku pada abang ipar saya. Maklumlah mereka dah bersara dan tinggal di kawasan kampung. Mata pun dah agak rabun tambah pulak nak bangun sahur. Bila terjaga, tengok jam baru pukul 4.45 pagi, jadi kakak ipar pun siapkanlah juadah untuk bersahur. Cara menyiapkan tu tak adalah tergesa-gesa sebab baru pukul 4.45, masih sempat lagi, sejam lagi nak Suboh. Lagipun anak-anak dah besar-besar dan tinggal berasingan jadi tinggal mereka berdua aje, jadi siapkan untuk makan berdua tak lah sesusah mana pun kan. Masa makan tu pulak biasalah, sahur, slow lah suapnyakan siap sembang-sembang lagi. Tengah dok menyuap, dengar bunyi motor dok lalu-lalang. Mereka pun hairan lah. Bila buka tingkap, aik kenapa orang dah balik dari masjid. Laaa...dah Suboh. Rupa-rupanya, bila kakak ipar tengok jam tadi tu bukannya pukul 4.45 pg tapi dah 5.45 pagi dan dah Azan Suboh pun. Maklumlah mata dah tak berapa terang tambah pulak waktu awal pagi, tengok jam pun dah tersalah. Nak buat macamana kan, bukan sengaja. Terus berhenti makan je lah jawabnya.
     Bagi anak bujang saya yang sorang ni, Alhamdulillah, dari sekolah rendah lagi, setakat ni dia tak ada masalah nak bangun sahur. Senang je gerakkan dia. Macamana senang bangun nak ke sekolah macam tu lah juga bila nak sahur. Cuma selera dengan tak selera makan je lah, tu bergantung pada juadah yang disediakan.  Kalau dah tak selera langsung, teguk air milo pun jadi.
    Selamat Berpuasa saya ucapkan sekali lagi, sama-samalah kita tingkatkan amalan dibulan yang penuh keberkatan ini dan berusaha mengelakkan pembaziran dengan mengawal nafsu mata ya....Maklumlah bila berpuasa apa aje yang dipandang dek mata semuanya nampak sedap. Alhamdulillah, puasa tahun lepas walaupun masih bekerja boleh katakan 3/4 bulan saya masak sendiri juadah untuk berbuka. Untuk berbuka kami tak makan nasi, cuma kurma, sejenis kuih dan juadah berat lain yang bukan nasi sebab kalau nasi terlalu kenyang sangat, takut tersengguk-sengguk kat surau. Jadi nasi adalah menu wajib waktu sahur saja. Tahun ni, bila dah aktif semula berblog, banyak juga resepi yang boleh dicuba. Semuanya menarik, tapi suami dah pesan awal-awal, jangan membazir udah le..
    Okay, Wassalam...jumpa lagi esok....Insyaallah...

3 comments:

  1. hehehe sakan lena..
    andin Raamadhan menghampiri..
    hari ni nk msk pe cu?

    meme pesan tk yah msak, de pasar mlm..

    SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN...

    ReplyDelete
  2. Salam..,hari ni wat sop tulang kambing ngah..

    ReplyDelete
  3. Pasar malam kat sini tak brp kow, lama dah tak gi.

    ReplyDelete

Terimakasih atas komen yang segar

 
copywrite@2015 MyMintroomDESIGNER BLOGS