Bazaar Ramadan 10 - Walaupun makan yang masam tapi muka mesti sentiasa berseri tau...

Tuesday, July 31, 2012



Assalamualaikum & Salam Sejahtera,


Bertemu lagi di pagi Selasa di bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan ini. Harap semuanya sihat –sihat belaka disamping meneruskan ibadah puasa. 

Semalam seperti biasa aktiviti saya memenuhkan peti ais dengan stok-stok baru dengan bahan-bahan untuk dimasak untuk 3-4 hari ni. Biasanya saya akan beli barang dapur pada hari Isnin dan Khamis setiap minggu. Dan bahan yang saya beli tu mengikut menu yang saya dah plan nak masak untuk 3-4 hari.

Sebelum saya ke Mydin semalam (salah-satu tempat yang saya selalu pergi untuk beli barang dapur sebab murah dan tak sampai 5 minit je driving), saya dah skodeng beberapa blog untuk plan menu apa nak dimasak.  Bila dah “decide”  apa yang nak dimasak, saya akan senaraikan barang/bahan berkaitan yang perlu dibeli dan senarai tu di “group” kan mengikut “section” atau kategori supaya kita tak perlu ulang ke tempat yang sama kat supermarket tu dek kerana terlupa nak beli sebab berada di bahagian bawah senarai dimana kita tak perasan. Bila kita rancang dengan baik barulah kita tak habiskan masa yang banyak di kedai atau di supermarket dan yang paling penting kita tak beli barang yang tak di kehendaki. Betul tak?  Barulah boleh “shopping effectively” dan jimat masa.

 Kadang-kadang kena ada back up plan pulak tu, chewah. Contohnya semalam saya ada hati nak buat Mango Lassi sebab teringin sesangat nak minum disamping menambahkan “vitamin intake”.  Minggu lepas bila keinginan tu tak ada, berlambak mangga kat Mydin tu tapi semalam jangan kata mangga, kulit  mangga pun tak nampak. “Back up”  plan saya ialah nak buat sirap limau + asam boi. Jadi saya belilah limau kasturi dan asam boi, Mango Lassi ni carry forward ke hari lain lah pulak kan. Itulah serba sedikit tips/cara nak jadi “DO” cemerlang hi hi.


 
Okay, semalam iftar kami hasil dari skodengan saya ke Dapur Ibundo. Disebabkan kami jarang ambil nasi waktu berbuka, jadi alternatif makanan beratnya adalah dari “family” mee atau yang serupa dengannya. Hari tu saya dah cuba Mee Goreng Kari dari Dapur Inbundo, semalam saya cuba pulak Mee Udon Lemak Tomyam, resepi dari Dapur Ibundo jugak. Memang resepi dari Dapur Ibundo ni kebanyakannya mudah dan ringkas tapi sedap. Tak ketinggalan dengan Mee Udon Lemak Tomyam ni, memang terangkat!! Anda patut cuba sebab selain rasanya yang lemak-lemak masam, penyediaannya juga amat mudah dan ringkas. Saya kongsikan resepinya disini pulak kalau ada yang nak mencuba.

Mee Udon Lemak Tomyam
Sumber: Dapur Ibundo

Bahan:

2 bungkus mee udon – saya buat 1 ½ bungkus untuk 3 orang
2 ulas bawang merah ditumbuk
1 ulas bawang putih ditumbuk
4 sudu besar (jangan diratakan) pes tomyam
10 ekor udang
2 ekor sotong dipotong gegelang
Ayam di potong kecil – ini saya tambah
beberapa kelopak sawi
beberapa kelopak kubis panjang
1 batang celery dipotong-potong
1000 ml air – saya buat 750 ml
1000 ml santan daripada 1/2 biji kelapa – saya letak 200 ml santan pekat
Daun limau purut – 2 ini saya tambah
Hirisan halia sedikit – ini saya tambah
Serai 1 dititik – ini saya tambah
Perahan limau nipis sebiji – ini saya tambah

Cara:

Tumbuk lumat bawang putih dan bawang merah.  Panaskan sedikit minyak dan tumis.
Masukkan pes tomyam. Tumis sekejap.  Masukkan udang,ayam dan sotong.
Masukkan air dan santan serta daun limau purut, hirisan halia dan serai.
Apabila kuah masak, masukkan sayur-sayur dan mee udon.  Kacau sebentar dan padamkan api.
Siap. Kalau suka super pedas, titikkanlah cili api sebanyak mana yang mahu.
Sebelum hidang, masukkan perahan limau nipis kalau suka.

Mee Udon ni kalau kat Mydin dia letak kat bahagian fishball/fishcake.  Dan jangan lupa baca arahan penyediaan yang ada kat peket mee udon tu untuk dapatkan hasil yang memuaskan ya.

Disebabkan tomyam ni dah masam saya tak buat lah air asam boi, saya cuma buat air cincau (perabih stok cincau yang tinggal lagi separuh) dan saya dinginkan dalam “fridge” dari tengahari. Jadi tak perlu letak kiub ais.


 
Kuih / manisannya pula saya  buat kuih serimuka yang resepinya saya pilih dari blog  Mat Gebu dimana beliau ambil resepi ini dari 1001 Resepi olahan Kak Ida, dan ingin  saya kongsikan pula di blog saya ni.   Resepi-resepi dalam blog Mat Gebu yang saya cuba sebelum ni memang tak pernah mengecewakan saya, jadi nanti saya nak skodeng lagi hi hi.

KUIH SERIMUKA
Rujukan: Mat Gebu
Sumber: 1001 Resepi (oleh Kak Ida)

BAHAN LAPISAN BAWAH :
300 gram beras pulut (mat guna 350 gram)
200 ml santan cair (mat lebih kan 2 camca besar)
1 helai daun pandan, disimpul
1 camca teh garam

BAHAN LAPISAN ATAS :
300 ml santan
3 biji telur (mat guna gred B) - saya guna 2 bj telur gred A
4 helai daun pandan, potong kecil
180 gram gula pasir
4 camca teh tepung jagung
2 camca besar + 1 camca teh tepung gandum
Beberapa titik pewarna hijau

CARA :
Pulut dicuci, kemudian rendam semalaman atau sekurang-kurangnya 3 jam. Sementara itu alas loyang bulat berukuran 9 inci dengan plastik bersih, sapu sedikit minyak pada plastik tadi. 

Toskan pulut dan alih ke dalam loyang, ratakan. Bancuh santan dengan garam dan kacau rata. Tuang ke dalam pulut tadi dan letak daun pandan.
 
Kukus selama 25 - 30 minit. Keluarkan daun pandan, gemburkan pulut dengan garfu dan tekan pulut tadi hingga padat, guna kan daun pisang untuk menekan permukaan pulut tadi hingga padat (mat guna penekan kek lapis yang mat masukkan dalam plastik bersih). Sambung kukus untuk 10 minit lagi.
 
Sementara itu, untuk lapisan atas, kisar santan dengan daun pandan, kemudian tapis untuk mendapatkan jusnya. Kemudian bancuh dengan semua bahan-bahan untuk lapisan atas (custard), kacau perlahan dengan whisk hingga gula larut dan tapis ke dalam bekas tahan panas. 

Tenggekkan atas air mendidih dan kacau hingga bancuhan kelihatan pekat sedikit.
Berhati-hati tuang atas pulut tadi, tutup permukaan loyang dengan aluminium foil dan sambung kukus selama 25 minit lagi. Biar kuih betul-betul sejuk sebelum dipotong untuk hidangan...

Permukaan atasnya memang lembut dan sedap, cukup lemak dan manisnya. Anda harus mencuba resepi ni. Tak susah membuatnya. Yang lama sikit cuma bab rendam pulut dan mengukus je. Tapi itupun tak membazirkan tenaga pun….cuma perlu tunggu sambil buat kerja lain atau tidur...tapi jangan lupa set alarm ye..nati kering pulak air kukusan tu.



No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas komen yang segar

 
copywrite@2015 MyMintroomDESIGNER BLOGS