Hukum meletak sesuatu yang berunsur patung dalam kenderaan.
Bolehkah kita meletakkan sesuatu yang berunsur patung di dalam
kenderaan? (bukan untuk tujuan permainan, tetapi perhiasan). Contohnya:
key chain yang ada patung kangaroo, patung koala dan sebagainya.
Jawapannya:
Patung atau anak patung adalah objek yang sinonim dengan kanak-kanak
bahkan orang dewasa samada lelaki mahupun perempuan turut menggemarinya.
Bahkan menjadi satu ‘kekurangan’ apabila sebahagian daripada kita tidak
mampu tidur tanpa memeluk dan menyentuh anak patung ini. Lantas kerana
kesukaan dan minat yang mendalam ini, kita meletakannya dalam rumah
sebagai hiasan dan kadang-kadangn menjadi objek kenang-kenangan hasil
pemberian sahabat karib dan rakan taulan yang mempunyai signifikan
tersendiri.
Memperkatakan tentang patung dan anak patung ini, beberapa ulama
terkenal dunia masakini mempunyai pandangan masing-masing berhubung
patung dan anak patung ini. Antara ulama tersohor adalah Prof. Dr. Yusuf
al-Qaradawi, Syeikh Jaadal Haq Ali Jadal Haq dan Syeikh ‘Atiah al-
Saqr.
Mengenai hukum orang Islam memiliki patung, al-Qaradawi di dalam “Fatawa
Muasirah” berkata Islam sememangnya mengharamkannya, sama ada patung
tersebut berbentuk manusia mahupun patung berbentuk haiwan atau
binatang-binatang. Pengharaman itu menjadi lebih kuat jika patung itu
merupakan makhluk yang disanjung tinggi seperti raja, nabi sepertimana
Nabi Isa a.s. di kalangan orang Kristian dan lembu di kalangan orang
Hindu.
Menurut beliau,terdapat satu jenis patung saja yang diharuskan dalam
Islam untuk dimiliki, iaitu patung atau anak patung berbentuk mainan
anak-anak. Ini berdasarkan kepada sebuah hadith Rasulullah SAW. yang
menceritakan bahawa isteri baginda yang masih kecil, Saydatina Aisyah RA
cenderung dan suka bermain patung.
Selain daripada itu Syeikh Gadul Haq, Bekas Syeikh al-Azhar,
mengutarakan pendapat yang sama dengan Dr. Yusuff al-Qaradawi yang mana
beliau membenarkan patung untuk pendidikan seperti patung mainan
anak-anak dan berpendapat harus hukumnya bagi patung separuh tubuh dan
mudah rosak yang diperbuatkan daripada tepung (atau bahan-bahan lembut
spt plastesin dll).
Syeikh ‘Atayyah al-Saqr dalam fatwanya, pula berpendapat bahawa patung
dan anak patung bagi tujuan permainan kanak-kanak, patung cepat rosak
dan patung separuh badan adalah dibenarkan.
Menurut Syeikh ‘Atayyah al-Saqr lagi, Imam Malik berpendapat harus
hukumnya memiliki patung yang lengkap seperti seorang manusia, tetapi
dengan syarat ia berlubang walaupun sangat kecil. (untuk mencacatkannya)
. Manakala Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad mengenakan syarat patung
lengkap itu mesti mempunyai lubang yang besar. Ini termasuk juga patung
mannequin yang digunakan untuk mempamerkan pakaian di butik-butik dan
gedung-gedung pakaian.
Secara dasarnya, ulama bersepakat bahawa patung dianggap harus jika ada
faedah seperti untuk mainan anak-anak dan dan dianggap haram jika
digunakan untuk penyembahan.
Merujuk juga kepada fatwa Negeri Kedah Darul Aman; Mengukir/membuat
patung –patung manusia dan binatang adalah haram kecuali untuk permainan
kanak-kanak atau bagi tujuan pendidikan , pembelajaran atau
pengetahuan. Pekerjaan membuat patung mainan dan pendidikan adalah harus
pada syarak.
Dr. Yusoff al-Qardhawi sekali lagi dalam Bukunya Halal dan Haram Dalam
Islam menyebutkan bahawa Islam mengharamkan dalam rumahtangga Islam
meliputi masalah patung. Sebab adanya patung dalam suatu rumah,
menyebabkan Malaikat akan jauh dari rumah itu, padahal Malaikat akan
membawa rahmat dan keredhaan daripada Allah SWT untuk isi rumah
tersebut.
Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:
"Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya ada patung." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ulama-ulama berkata: Malaikat tidak akan memasuki rumah yang terdapat
patung, karena pemiliknya itu menyerupai sifat orang kafir, di mana pada
kebiasaannya mereka akan meletakkan patung dalam rumah-rumah mereka
untuk diagung dan disembah.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
"Sesungguhnya orang yang paling berat siksaannya nanti di hari kiamat,
yaitu orang-orang yang menggambar gambar-gambar ini. Dalam satu riwayat
dikatakan: Orang-orang yang menandingi ciptaan Allah." (Hadith Riwayat
Bukhari dan Muslim)
Dan Rasulullah SAW menjelaskan dengan terperinci dalam sebuah hadithnya:
"Barangsiapa yang membuat gambar (patung), nanti pada hari kiamat dia
akan dipaksa untuk meniupkan roh padanya; padahal dia selamanya tidak
akan mampu meniupkan roh itu." (Riwayat Bukhari)
Sumber dari,
Ustaz Mohamad Shukry Sulaiman
Ahli Panel MUIS
http://qawanitadanperkahwinan.blogspot.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Terimakasih atas komen yang segar