Assalamualaikum & Salam Sejahtera,
Sebenarnya semalam saya tergerak untuk menyiarkan sebuah artikel mengenai kematian tetapi memikirkan yang kita masih dalam mood raya dan hari ni pulak Hari Kemerdekaan Negara, jadi saya batalkan saja niat tersebut lalu menyiarkan artikel mengenai Jalur Gemilang. Tetapi apabila saya buka blog pagi tadi saya terpandang entri dari azurarahman lalu terus membawa saya ke Sini. Sebak bila baca kisah ni...sama-samalah kita sedekahkan Al Fatihah buat arwah dan moga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.
Dan secara kebetulan pula kelmarin, Radio Ipoh FM membicarakan tentang topik kematian melalui tajuk "Seandainya ku Tahu (Bila Ajalku)" bersama Ustaz Kazim Elias (UKE). Sesungguhnya, kematian tidak dapat kita elakkan. Kita juga tidak tahu bila kita mati dan kita juga tidak dapat tahu cara bagaimana kita mati. Semuanya telah ditentukan oleh Allah SWT. Tidak mengira usia dan bangsa. Kematian akan datang walaupun ketika kita dalam keadaan yang sihat.
Izinkan saya sharekan di sini artikel ini buat tatapan dan renungan kita bersama....
MALAM PERTAMA DI ALAM BARZAKH
Oleh : Amru Alhaz bin Adnan
Setiap detik pasti ada orang yang meninggal dunia dan pada setiap detik juga pasti ada bayi yang baru dilahirkan. Begitulah rutin kehidupan dunia ini. Yang hidup akan mati, yang pergi akan digantikan dengan yang baru. Kita di dunia adalah umpama seorang musafir yang singgah sebentar berteduh di bawah sebatang pokok. Kemudian dia akan meneruskan perjalanannya ke alam kubur ataupun alam barzakh. Menurut kamus Mukhtar al-Shahhah, oleh Abu Bakr al-Razi, barzakh bermaksud dinding pembatas antara dua benda. Berdasarkan (iktikad) Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, setiap manusia akan berada di dalam satu alam yang dinamakan alam barzakh. Ia terletak di antara alam dunia dan alam akhirat. Hal ini bersesuaian dengan firman Allah S.W.T di dalam surah Al-Mukminun ayat 99-100:
Kesudahan
golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di
antara mereka, berkatalah dia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula
di dunia) - supaya aku mengerjakan amalan soleh dalam perkara-perkara yang
telah aku tinggalkan". Tidak! Masakan kau akan dapat? Sesungguhnya
perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja yang mengatakannya, sedang
di hadapan mereka alam barzakh (dinding) hingga hari mereka dibangkitkan semula
(pada Hari Kiamat).
Seseorang
yang sudah mati dan berada di alam barzakh dapat menjangkakan sama ada dia akan
mendapat kenikmatan atau kesengsaraan di akhirat kelak. Perkara ini disebut
dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidzi, Rasulullah s.a.w
bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya
kubur itu ialah penginapan pertama antara penginapan akhirat, maka sekiranya
seseorang itu terlepas dari seksaannya, maka apa yang akan datang kemudiannya
akan lebih mudah lagi dan seandainya seseorang itu tidak terlepas (kandas)
daripada (seksaannya), maka yang akan datang sesudahnya akan lebih sukar
(keras, berat)."
Dr
A’idh Abdullah al-Qarni menulis di dalam sebuah bukunya yang cukup
terkenal bertajuk “Malam Pertama Di Alam Kubur”: Seorang penyair arab pernah
mendendangkan syairnya:
Aku
tinggalkan tempat tidurku pada satu hari, kemudian aku terserkap membisu. Aku
telah berpindah dari satu tempat menuju tempat lain. Aku berangkat pergi dari
ranjang tidur dalam istanaku menuju alam lain. Kubur adalah malam pertama. Demi
Allah katakanlah apa yang terjadi pada malam tersebut .Yang Allah pasti
mentakdirkannya pada setiap hamba.
Renungkanlah
bagaimana perjalanan seseorang manusia akan berakhir di dalam kubur. Al-Rifa’i
berkata: “ Setiap orang yang takut pada sesuatu pasti akan menghindarinya,
kecuali kubur. Tidak ada orang yang ingin lari daripadanya melainkan dia akan
datang kepadanya. Dia selalu menunggumu tanpa jemu, dan apabila engkau masuk ke
dalamnya, engkau tidak akan kembali selama-lamanya. Renungilah nasib saudaramu
yang kini telah dikuburkan: “Dahulu dia menikmati pemandangan yang indah, kini
matanya telah tertanggal, dahulu lidahnya petah bertutur, kini cacing tanah
telah memakan mulutnya. Dahulu dia sering tertawa, kini giginya hancur
terbenam.”
Umar
bin Abdul Aziz pernah berkata kepada beberapa orang sahabatnya di dalam
satu majlis, Wahai fulan! engkau telah melepasi satu malam, adakah pernah kau
terfikir tentang kubur dan penghuninya? Sekiranya kau tahu apakah keadaan
sebenar di dalam kubur, pasti kau tak akan berani mendekatinya. Pada
suatu ketika pula , Umar bin Abdul Aziz mengiringi jenazah saudaranya. Apabila
jenazah selamat dikebumikan, maka semua orang telah bersurai
kecuali beliau dan beberapa orang sahabatnya yang masih tidak
berganjak dari kubur tersebut. Tidak lama kemudia sahabatnya bertanya:
Wahai Amirul Mukminin, kau merupakan wali kepada jenazah ini, mengapa engkau
perlu menunggunya lagi sedangkan dia telah meninggalkanmu. Umar pun berkata: “
Ya, sesungguhnya kubur ini memanggilku dari belakang. Mahukah
kalian tahu apakah yang dikatakannya kepadaku: Mereka menjawab “ Sudah tentu
wahai Amirul Mukminin. Kubur ini memanggilku dan berkata, “ Wahai Umar bin
Abdul Aziz, mahukan aku ceritakan kepadamu apakah yang akan aku lakukan
kepada jenazah yang kau cintai ini? Ya, jawab Umar. Kubur itu menjawab:
Aku akan bakar kain kapannya, aku robek badannya, aku sedut darahnya serta aku
kunyah dagingnya. Mahukah
engkau tahu apa yang akan aku lakukan pada anggota badannya? Sudah tentu
jawabku. Aku cabut satu persatu dari telapak hingga ke tangan, dari tangan ke
lengan, dan dari lengan menuju ke bahu. Lalu aku cabut pula lutut dari pehanya,
Peha dari lututnya. Aku cabut lutut itu dari betis. Dari betis menuju ke
telapak kakinya.Setelah
mendengar penjelasan daripada kubur itu, Umar pun menangis dan berkata.”
Ketahuilah sahabatku, umur dunia hanya sedikit. Kemuliaan di dalamnya adalah
kehinaan. Pemuda akan menjadi tua dan yang hidup akan mati. Celakalah mereka
yang tertipu olehnya. Celakalah aku, bagaimana keadaanku ketika bertemu
malaikat maut, saat rohku meninggalkan dunia? Keputusan apakah yang akan
diturunkan oleh Tuhanku. Dia terus menangis dan terus menangis, lalu
pergi. Tidak berapa lama kemudian beliau meninggal dunia.
Antara
syarat kemenangan dan kejayaan seorang hamba ialah mempersiapkan
diri menghadapi kematian dan menyedari bahawa dirinya akan menjadi penghuni
kubur. Tetapi ramai di kalangan kita mengabaikan peringatan dan ancaman yang
berbahaya ini. Jika pun kita mengingati kematian, itu pun hanya dilakukan
dengan sambil lewa. Tahukah saudaraku, mengapa ini berlaku. Hal ini berpunca
disebabkan hati kita yang terlalu cinta dan sibuk dengan perkara dunia sehingga
menyebabkan hati kita keras dan gelap dari cahaya.
Saudaraku
sekalian, jalan Allah tidak dapat kita tempuhi dengan telapak kaki tetapi ia
dapat ditempuh dengan kekuatan hati. Jika kita merasakan hati kita keras dan
beku rawatilah ia dengan penjelasan dahsyatnya kubur. Rawatilah hati kita agar
ia hidup kembali. Untuk merawat hati yang keras ini boleh dilakukan dengan
melaksanakan beberapa perkara:
Pertama- Memperbanyakkan membaca al-Quran dan
berzikir. Dengan cara ini hati menjadi hidup. Ketahuilah hati yang tidak pernah
ataupun jarang jarang membaca al-Quran adalah hati yang mudah terpengaruh
dengan tipu daya syaitan.
Kedua- Sentiasa merendah diri dan menangis
di hadapan Allah. Kita hendaklah bersikap kepada Tuhan sebagai seseorang yang
sangat memerlukan-Nya. Apabila kita ditimpa kesulitan, merintih dan berdoalah
kepada-Nya.
Ketiga – Menghadiri majlis-majlis ilmu.
Sedarilah, semakin tinggi ilmu agama seseorang semakin takut dia kepada
Tuhan-Nya. Di samping itu juga elakkan diri dari menghadiri majlis-majlis yang
tidak berfaedah dan membuang masa. Ini termasuklah majlis tari-menari dan
juga konsert-konsert hiburan yang melalaikan.
Keempat- Mengingati mati. Seseorang yang
sentiasa ingat akan kematian menyebabkan hatinya tertumpu kepada alam akhirat,
sekaligus meremehkan dunia dan tidak panjang angan-angan.
Kelima- Menziarahi kubur. Jika hati kita
tidak dapat disembuhkan dengan cara sebelum ini maka inilah cara yang
paling berkesan dalam mengubati hati yang keras. Rasulullah s.a.w
bersabda:
“Ziarahilah
kubur kerana ia akan mengingatkanmu kepada kematian”. (Riwayat Muslim)
Kesimpulannya,
jelaslah kepada kita bahawa kematian itu pasti, ia tidak tertangguh walaupun
sedetik. Disebabkan kedatangannya merupakan satu misteri maka manusia hendaklah
sentiasa berada dalam keadaan bersedia.
“Wahai
orang tua yang telah bongkok punggungnya dan dekat ajalnya, apakah engkau telah
bersiap sedia menghadapi malam pertama? Wahai pemuda gagah yang bergelimang
harta, pangkat dan kuasa, apakah engkau telah mempersiapkan diri
menghadapi malam pertama? Ia adalah malam pertama dengan dua wajah, mungkin
menjadi malam pertama bagi malam-malam syurga berikutnya, atau menjadi malam
pertama bagi malam-malam neraka selanjutnya. Sekian...
Menanti di Barzakh - oleh Far East
Sumber: Lirik Kami
Sumber: Lirik Kami
Ku merintih, aku menangis,
Ku meratap, aku mengharap,
Ku meminta dihidupkan semula,
Agar dapat kembali ke dunia nyata
Perjalanan rohku,
Melengkapi sebuah kembara,
Singgah di rahim bonda,
Sebelum menjejak ke dunia,
Menanti di barzakh,
Sebelum berangkat ke mahsyar,
Diperhitung amalan,
Penentu syurga atau sebaliknya
Tanah yang basah berwarna merah,
Semerah mawar dan juga rindu,
Tujuh langkah pun baru berlalu,
Seusai talkin bernada syahdu,
Tenang dan damai di pusaraku,
Nisan batu menjadi tugu,
Namun tak siapa pun tahu resah penantianku
Terbangkitnya aku dari sebuah kematian,
Seakan ku dengari,
Tangis mereka yang ku tinggalkan,
Kehidupan disini bukan suatu khayalan,
Tetapi ia sebenar kejadian
Kembali oh kembali,
Kembalilah kedalam diri,
Sendirian sendiri,
Sendiri bertemankan sepi,
Hanya kain putih yang membaluti tubuhku,
Terbujur dan kaku,
Jasad didalam keranda kayu,
Ajal yang datang dibuka pintu,
Tiada siapa yang memberi tahu,
Tiada siapa pun dapat hindari,
Tiada siapa yang terkecuali,
Lemah jemari nafas terhenti,
Tidak tergambar sakitnya mati,
Cukup sekali tak sanggup untuk ku mengulangi
Jantung berdegup kencang,
Menantikan malaikat datang,
Menggigil ketakutan gelap pekat dipandangan,
Selama ini diceritakan,
Kini aku merasakan,
Di alam barzakh jasad dikebumikan
Wassalam...
No comments:
Post a Comment
Terimakasih atas komen yang segar