Sop Tulang Lembu

Friday, July 06, 2012




Assalamualaikum,
Alhamdulillah syukur hari ni dah habis saya berpuasa, tak lama lagi aje kita akan menyambut Ramadhan al Mubarak. Banyak artikel yang menceritakan tentang fadhilat dan kelebihan Ramadhan. Cuba kita singkapkan pula sejarah bulan Ramadhan ini. Seperti yang kita ketahui kitab suci Al-Quran diturunkan dalam bulan Ramadhan dan dalam bulan Ramadhan jugalah berlakunya perang Badar Kubra di mana Islam memperoleh kemenangan. Bulan ini juga adalah bila Nabi Muhammad saw mengambil semula Mekah dari tangan Musyrikin dan berakhirnya penyembahan berhala. Di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini juga terdapatnya malam Lailatul Qadar dimana malam tersebut adalah lebih baik dari 1000 bulan. Dan bulan ini juga dipilih untuk ibadah sebulan berpuasa dan sebagai bulan untuk ibadat-ibadat lain seperti Tadarus Quran.
Begitulah istimewanya bulan Ramadhan dan sejarah kenapa ia diangkat sebagai bulan yang istimewa buat seluruh umat Islam.


Okeylah dengan halwa minda tadi...,saja nak membangkitkan mood bulan puasa. Sekarang nak bercerita pasal menu hidangan di meja untuk hari ni pulak. Cukup simple...simple sebab kemudahan yang ada dapat membantu mempercepatkan proses memasak. Sop tulang lembu...lama tak makan apa-apa yang berasaskan sop tambah-tambah sop tulang lembu. Dengan cuaca yang tak berapa stabil tambah pulak dengan jerebu, rasanya eloklah menjamah sop kan.

Saya memilih menu Sop Tulang Lembu dari "Dapur tanpa Sempadan"  oleh Ben Ashaari klik Di Sini untuk menu ini.


BAHAN-BAHANNYA :-)
1.2 kg tulang lembu yang ada sisa daging
1 pokok daun ketumbar, potong kasar2
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih
2 1/2 inci halia*
5 ulas bawangputih*
1 camca besar bawang goreng*
3/4 camca besar lada hitam*
1 camca besar penuh biji ketumbar*
3/4 camca teh jintn kasar*
3/4 camca teh jintan halus*(*dikisar halus)
Air secukupnya
Garam secukup rasa
Hirisan daun sup, sebagai hiasan
Bawang goreng sebagai hiasan


CARA MEMBUATNYA :-)
1.      Tulang lembu dicuci bersih dan masukkan ke dalam periuk, masukkan kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang dan buah pelaga bersama2 bahan kisar halus dan juga daun ketumbar. Kacau rata dan masak hingga mendidih. Kemudian kecilkan api dan renih hingga daging lembut dan mudah ditanggalkan dari tulang (mungkin 1 atau 2 jam). Jika air berkurangan, tambah dengan air panas.
2.      Perasakan dengan garam, dan masak lagi sekejap. Rasa dan jika ok, boleh matikan api. Hidangkan bersama hirisan daun sup dan bawang goreng. Boleh dimakan begitu sahaja atau dihidangkan bersama mee hoon, mee kuning atau nasi impit...
3.      KAEDAH LAIN :- Satukan semua bahan untuk sup dalam periuk tekanan, tuang air sehingga menutupi bahan2 tadi. Tambah garam sedikit, kacau dan masak. Bila periuk bunyi ber"desir", kecil kan api dan masak selama 25 minit. Padamkan api, angkat periuk dan letak dibawah air mengalir sehingga hilang bunyi desiran. Buka dan kalau perlu tambah air sebagai kuah dan juga garam secukup rasa. Hidangkan...
Setiap kali saya gunakan peruik ni, rasa lain macam...maklumlah pressure nya amat tinggi. Harus hati-hati.


Okey, siap dah...bolehlah dimakan dengan mee atau nasi...tapi saya memilih untuk makan bersama kue teow...Sila...


No comments:

Post a Comment

Terimakasih atas komen yang segar

 
copywrite@2015 MyMintroomDESIGNER BLOGS