Pages

Monday, September 29, 2014

Pecal Jawa

 

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Pecal merupakan makanan tradisi masyarakat Jawa. Rasanya seakan sama seperti Gado-gado. Antara perbezaan Pecal dengan Gado-gado adalah dari penyediaan kuahnya. Kuah Gado-gado menggunakan santan dan perlu dimasak tapi pecal tidak. Variasi bahan yang boleh dicampur untuk Gado-gado juga lebih banyak antaranya ketupat, keropok, telur rebus, ubi kentang dsbnya. Manakala Pecal lebih kepada sayur-sayuran. Apa-apapun kedua-duanya saya suka tetapi kalau diberi pilihan, saya lebih suka Pecal sebab kuahnya tak bersantan.  Kesedapan Pecal bergantung kepada kuahnya. Sedap kuahnya, sedaplah pecalnya kan.


Pecal ni antara juadah lazim saya sekeluarga semasa bulan puasa. Anak saya yang tak makan sayur pun boleh makan kalau dibuat Pecal. Sebelum ni memang kuahnya saya beli saja. Sepeket kecil tu bolehlah untuk sekali makan. Bulan puasa kami sekeluarga memang tak makan nasi sewaktu berbuka. Cuma makan yang berat selain nasi seperti mee, rojak dsbnya. Nasi cuma untuk sahur.  Semangkuk Pecal dan kuih-muih memang dah mencukupi. Dah terbiasa begitu sebab tak mahu kekenyangan sangat sewaktu tarawih.


Agak lama jugak tergerak nak buat sendiri kuah pecal ni. Tapi baru-baru ni aje saya tergerak nak menggugel resepinya. Banyak yang saya selongkar resepinya hampir serupa. Antara bahan yang perlu ada ialah ubi cekur yang saya rasa fungsinya untuk mewangikan kuah pecal tersebut.
Ubi cekur juga banyak mengandungi khasiatnya yang tersendiri seperti melegakan batuk, melegakan kembung perut dan perut yang memulas, membuang angin disamping khasiat-khasiat lain. Saya tak ada ubi cekur jadi saya abaikan saja. Alhamdulillah, masih sedap kuah pecal ni walaupun tanpa ubi cekur. Berbaloi dan tak rugi mencuba. Resepi di bawah ni boleh dapat untuk 3-4 kali makan bergantung kepada kuantiti sayuran. Kalau nak buat sikit bolehlah dikurangkan separuh dari resepinya. Okay, jom kita semak resepinya.

Pecal Jawa

Bahan (agak-agak lah banyak mana nak buat):

Jantung pisang – rebus, potong kasar, toskan airnya
Kangkung – potong, celur dan toskan
Kacang panjang – patah-patahkan 1 inci dan celur sekejap, toskan
Timun -  hiris batang mancis
Sengkuang-  hiris batang mancis
Tauhu - goreng dan potong kecil
Taugeh - Celur sekejap, toskan
Telur rebus – belah 4 (opt-saya letak sebab nak tarik minat anak makan)

Bahan untuk kuah :
 
300 g kacang tanah – saya guna kacang yang skinless
20 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
2 inci belacan, dibakar
3-4 inci isi cekur – goreng,  saya tak letak
3 camca besar udang kering, rendam 10 minit dan toskan
15-20 tangkai cili kering, kerat dan cuci, toskan
Jus asam jawa – saya bancuh secawan air dengan 2 ketul sebesar syiling 50 sen asam jawa.
6-7 sdb gula melaka yang di cincang kasar
Garam dan gula secukup rasa

Cara:

Untuk kuah:

1) Kacang tanah digoreng dengan sedikit minyak hingga garing dan rangup, buang kulit dan kisar hingga betul-betul hancur. Ketepikan.
2)Udang kering digoreng hingga garing, angkat dan toskan. Bawang merah dan bawang putih, digoreng sehingga garing, angkat dan toskan. Goreng juga cili kering hingga garing, angkat dan toskan. Kemudian kisar semua bahan yang digoreng tadi dengan air asam dan gula melaka. Satukan bahan yang dikisar ke dalam kacang tanah yang telah dikisar tadi dan gaul sebati. Seimbangkan rasa. Kalau masih kurang manis, tambah gula pasir. Kalau terlalu pekat, tambah air. Kuah perlu sederhana cair dan perlu ada rasa pedas, masam, masin dan manis (manis kena lebih sikit). Kacau rata dan ketepikan.

Cara penyediaan:

Susun semua bahan-bahan sayur untuk pecal dalam bekas, tuang kuah secukupnya dan gaul rata. Sedia di hidang.
 

Kuah Pecal yang readymade selalunya amat manis bagi saya. Kalau buat sendiri kita boleh mengawal kandungan gula di dalamnya. Alhamdulillah, anak dan suami pun berpuas-hati dan suka dengan rasa Pecal homemade ni. Sedang elok saja rasa masam, masin, manis dan pedasnya. Lepas ni boleh lah buat sendiri saja kan?

Selamat Mencuba!

1 comment:

Terimakasih atas komen yang segar