Aidil Adha ku di KL

Wednesday, October 31, 2012



Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Baru nak entry pasal Raya. Raya hari tu kami balik ke KL ( bukan Kuala Lumpur tapi Kampung Lasah) di Sungai Siput, Perak. Kami balik petang Khamis. Beraya bersama kakak ipar dan keluarganya sahaja. Cuma dua buah keluarga tapi cukup meriah. Ibu tak beraya bersama kali ni kerana beraya bersama abang ipar yang sulung di Kundang, Sg. Buloh. 

Walaupun cuma dua buah keluarga saja kali ni tapi macam-macam idea yang datang. Apa lagi semuanya perihal makan. Yang terpampang kat atas tu menu untuk pagi raya. Lewat petang raya tu pulak kami buat kuih Limas ( Tepung Pelita tradisi).  Kak Azie dok tercari resepi kuih Limas ni, sebab resepi yang ada dalam Google semuanya yang guna tepung beras yang dimasak. Resepi Kuih Limas ni cuma guna tepung gandum. Saya pun lebih suka resepi yang guna tepung gandum ni sebab bila makan terasa gula yang cair dalam tepung tu. Lupa lak nak ambil gambarnya. Ingatkan Limas ni nak di buat sarapan untuk pagi esoknya tapi tak sempat sebab dah habis malam tu jugak.

Sarapan pagi Sabtu cuma makan apa balance yang ada...anak-anak remaja pakat goreng telur mata makan ngan nasi. Saya pun goreng cekodok pisang sebab pisang banyak...aik cekodok pun habis juga...Alhamdulillah. Lepas tu ada lak yang teringin makan roti jala. Daging korban...ku korbankan buat kari untuk cicah roti jala. Masa tu dah dekat tengahari...jadi roti jala tu buat hidangan minum petang. Tengahari pulak buat masak tempoyak ikan kembong, gulai pisang dan rebus pucuk manis + betik muda...cicah sambal belacan...pergh!!! Habis buat roti jala, dok melepat pisang pulokk dah daun pisang banyak lebih....tapi tang ni saya dah pengsan dah....tertidor kat tengah rumah...tido2 ayam aje..."excited" mana boleh lena kan...

Malamnya, masing-masing dah keletihan dan yang penting...kekenyangan. Kami pun dah nak balik malam Sabtu tu sebab Ahadnya Kiki ada program ngan kengkawan. Dah dekat jam 11.30pm kami bertolak balik ke Ipoh dan sampai jam 12.30 malam.

Begitulah program Raya Haji kami tahun ni...yang diatur serta dirancang oleh saya...Mak Anjang...hi hi...Bak kata anak-anak sedara...kalau tak ada Mak Anjang tak syiokkk lah...hi hi masuk lif angkat sendiri...tapi memang betul pun kalau tak ada saya, kakak ipar kata dia memang tak masak apa-apa pun sebab kebetulan suaminya pun "dalam pantang" kerana pembedahan kecil di mata kanan minggu lepas.

Apa-apa pun 2 hari beraya di kampung memang "happening"...

Wassalam...

Banana Cupcake with Honey Cinnamon Frosting

Tuesday, October 30, 2012



Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Apa khabar teman semua?  Bagaimana dengan Raya Haji yang baru berlalu? Semoga semuanya berjalan lancar seperti yang di rancang. Saya pun demikian juga. Alhamdulillah, segala yang dirancang bersama kakak ipar berjalan dengan lancar.  Walaupun menu yang kami sediakan ringkas tapi tetap meriah. Maklumlah bila dah berkumpul ramai-ramai di kampung, ada aje benda yang nak dibual dan ada saja yang kena sakat.  Nanti saya entrikan kemudian ya...

Okay...lama jugak rasanya tak menampilkan apa-apa masakan kat rumah ni. Hampir seminggu rasanya. Lamalah tu kan, sambil tu saya kena kemas sikit rumah yang agak berhabuk ni :). Dan lama jugaklah tak jengah ke rumah teman-teman.., Insyaallah jika ada kelapangan saya akan jengah dan balas balik kunjungannya ya...


Balik dari kampung Sabtu lepas, banyak juga kakak bekalkan pisang awak. Bila dah blend, dapat dalam 12 cawan @ 6 bekas isi Taufoofa tu. Lepas ni kena lah fikirkan apa resepi nak dihabiskan pisang lecek ni. Ini resepi pertama - Banana Cupcake with Honey Cinnamon Frosting. Resepi ini saya perolehi dari Martha Stewart.

Mula-mula nak buat banana cupcake yang simple aje tanpa apa-apa toping sebab tak ada stok kacang atau coklat chips. Bahan banyak tak ada dan lagi agak malaassss nak ke mart. Tapi bila google terjumpa pulak resepi yang ringkas ni.

Tapi saya ubahsuai sedikit mengikut selera, kesediaan bahan dan juga kesesuaian oven yang saya gunakan.  Saya bakar pada suhu 130 Celcius selama 20-25 minit. Dan saya juga putar gula dan marjerin sehingga kembang sebelum masukkan bahan basah yang lain dan juga campuran tepung.


Banana Cupcake with Honey Cinnamon Frosting 

Ingredients:

1 1/2 cups all-purpose flour, (spooned and leveled)
3/4 cup sugar - I reduced a bit
1 teaspoon baking powder
1/2 teaspoon baking soda
1/4 teaspoon salt -  I skipped due to use margerine ( salted )
1/2 cup (1 stick) unsalted butter, melted - I used melted margerine
1 1/2 cups mashed bananas (about 4 ripe bananas), plus 1 whole banana, for   garnish (optional)
2 large eggs - I used 1 large egg
2 tbs fresh milk - this I added
1/2 teaspoon pure vanilla extract - I used banana essence

Directions:

Preheat oven to 175 degrees C. Line a standard 12-cup muffin pan with paper liners. In a medium bowl, whisk together flour, sugar, baking powder, baking soda, and salt.

Make a well in center of flour mixture. In well, mix together butter, mashed bananas, egg, fresh milk and vanilla. Stir to incorporate flour mixture (do not overmix). Dividing evenly, spoon batter into muffin cups. ( I beat the sugar and margerine until fluffy, add the egg, mashed banana, fresh milk and vanilla essence (banana essence) continue beating, end by adding with mixture of flour and mix well .

Bake until a toothpick inserted in center of a cupcake comes out clean, 25 to 30 minutes. Remove cupcakes from pan; cool completely on a wire rack. Spread tops with Honey-Cinnamon Frosting. Just before serving, peel and slice banana into rounds, and place one on each cupcake, if desired.

Honey Cinnamon Frosting:

Ingredients:

1 1/4 cup confectioners' sugar
1/2 cup (1 stick) unsalted butter, room temperature
1 tablespoon honey
1/8 teaspoon ground cinnamon

Directions:

In a medium bowl, using an electric mixer, beat confectioners' sugar, unsalted butter, honey, and ground cinnamon until smooth, 4 to 5 minutes.


Banana Cupcake with Honey Cinnamon Frosting 
Sumber: Martha Stewart
Olahan: mymintroom
  
Bahan:

1 1/2 cwn tepung gandum, (sukat rata)
3/4 cwn gula ( saya kurangkan sedikit)
1 tsp baking powder
1/2 tsp baking soda
1/4 tsp garam - saya tak letak sebab guna marjerin
1/2 cwn (1) butter yang tak bergaram, cairkan - saya guna marjerin yang dicairkan
1 1/2 cwn pisang yang dilecek (anggaran 4 bj pisang yang masak ranum) dan 1 bj pisang utk hiasan (optional)
2 bj telur - saya guna sebiji sahaja sebab saya tambah susu segar
2 tbs susu segar - ini saya tambah
1/2 tsp essen vanilla  - saya letak essen pisang

Cara:

Panaskan oven pada 175 degree C. Sediakan  12 cawan muffin dan susun atas dulang pembakar yang dilapik kertas minyak. 

Dalam mangkuk, ayakkan bersama tepung, gula, baking powder, baking soda dan garam. Buatkan lubang ditengah-tengah dan campurkan butter/marjerin, pisang lecek, telur dan essen vanilla/essen pisang. Kacau sebati campuran tepung ( jangan terlebih kacau). Sudukan adunan ke dalam cawan muffin sehingga separuh penuh. ( Saya pukul gula dan marjerin hingga kembang, masukkan telur, pisang lecek, susu segar dan essen pisang, pukul lagi, akhir sekali masukkan tepung sedikit demi sedikit dan gaul rata)

Bakar selama 25-30 minit dan apabila lidi yang dicucuk dibahagian tengah ditarik keluar kelihatan bersih bermakna kek telah cukup masak. Keluarkan cupcake dari atas dulang dan sejukkan di atas redai. Sapukan atau paipkan dibahagian atas cupcake dengan Honey-Cinnamon Frosting menggunkan piping. Sebelum dihidang boleh juga hiaskan dengan pisang mentah yang dipotong bulat dan letak di tengah-tengah frosting.

Honey Cinnamon Frosting:

Bahan:

1 1/4 cwn gula ising
1/2 cup (1 stick) butter tanpa garam - saya guna marjerin
1 tbsp madu
1/8 tsp serbuk kayu manis - saya letak 1 tsp

Cara:

Dalam mangkuk sederhana, pukul gula, marjerin, madu dan serbuk kayu manis sehingga gebu anggaran 4-5 minit. Boleh juga letak pewarna jika suka (saya letak sedikit pewarna kuning) dan gaul sebati sebelum paipkan ke atas cupcake.


Memang yummy Banana Cupcake ni...sesuai untuk dijamu waktu minum petang atau sebagai dessert mahupun sebagai hidangan sarapan pagi.


Wassalam...

Labaik Allahuma Labaik...

Thursday, October 25, 2012


 
" Labaik Allahuma labaik. Labaika laa syariikalaka labaik. Innal hamda wani'mata lakal walmulk. Laa syariikalak. (Aku datang kepada MU ya Allah, aku datang. Aku datang dengan tidak mensyirikkan Engkau, aku datang. Sesungguhnya segala kepujian kepada Engkau, segala nikmat dari Engkau dan kerajaan kepunyaan Engkau. Tiada sekutu bagi Engkau)"


Assalamualaikum & Salam Sejahtera, 

Hari ni tak ada apa-apa entri tentang makanan atau masakan...cuma dikesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha.

Kepada teman-teman yang pulang ke kampung, berhati-hati semasa memandu dan semoga selamat sampai ke destinasi masing-masing.

Buat teman-teman yang mengerjakan haji...semoga dipermudahkan segala urusan dan memperolehi haji yang mabrur...

Wassalam...

Panduan Solat Sunat Aidil Adha

Wednesday, October 24, 2012



Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Solat Sunat Hari Raya Aidil Adha dua rakaat adalah sunat muaakkad, yang dilakukan pada waktu pagi 10 Zulhijah. Ia merupakan penghormatan dan kesyukuran kepada umat Islam yang sedang mengerjakan ibadah Haji di Tanah Suci Makkah. Solat Sunat Aidil Adha (Hari Raya Korban) digalakkan diawalkan waktunya bagi memberi lebih banyak masa untuk penyembelihan haiwan koban.

Cara Melaksanakan Solat Aidil Adha:-

1.  Niat:

اُصَلِّىْ سُنَّةَ عَيْدِ اْلاَضْحَى رَكْعَتَيْنِ (إِمَامًا / مَأْمُوْمًا) لِلَّهِ تَعَالَى
Daku bersolat sunat Aidil Adha, dua raka’at (imam / makmum) kerana Allah Ta’ala.

2.  Pada rakaat pertama:

a.  Selepas mengucapkan lafaz Takbiratul-ihram dan membaca doa Iftitah, bertakbirlah (اَلله ُ اَكْبَرُ) sebanyak 7 X dan diselangi bacaan Tasbih:

سُبْحَانَ اللهِ  وَالْحَمْدُ لِلَّهِ  وَلآ اِلَهَ اِلاَّ الله ُ وَالله ُ اَكْبَرُ  وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ اِلاَّ بِاللهِ الْعَلِىِّ الْعَظِيْمِ

Maha Suci Allah dan segala kepujian bagi Allah. Tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar. Tiada daya dan upaya melainkan dengan kekuatan yang Maha Tinggi lagi Maha Agong.

b. Setelah bertakbir dan bacaan tasbih ke-tujuh, bacalah surah al-Fatihah dan surah al-Qaf atau al-A’laa atau Al-Khafiruun.

c. Lakukan rukun seterusnya seperti solat biasa.

3.  Rakaat ke-dua:

a.  Bangun dari sujud, bertakbir (اَلله ُ اَكْبَرُ) sebanyak 5 X, diselangi lagi tasbih seperti rakaat pertama.

سُبْحَانَ اللهِ  وَالْحَمْدُ لِلَّهِ  وَلآ اِلَهَ اِلاَّ الله ُ وَالله ُ اَكْبَرُ  وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ اِلاَّ بِاللهِ الْعَلِىِّ الْعَظِيْمِ

Maha Suci Allah dan segala kepujian bagi Allah. Tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar. Tiada daya dan upaya melainkan dengan kekuatan yang Maha Tinggi lagi Maha Agong.

b. Membaca Al-Fatihah dan Al-Ghaasyiyah atau Al-Ikhlas.

c. Teruskan sebagaimana solat yang lain sehingga selesai salam ke-dua.

Khutbah Aidil Adha:

Khatib membacakan dua Khutbah Hari Raya Korban selepas solat Aidiladha yang mengandungi pengertian sambutan Aidiladha, pengajaran penyembelihan korban dan ibadat Haji.

Khutbah pertama didahului dengan 9 kali takbir ( اَلله ُ اَكْبَرُ )  manakala pada permulaan khutbah ke-dua 7 kali takbir dan pada kedua-dua takbir itu diikuti dengan bacaan:

لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَالله ُ أَكْبَرُ، اَلله ُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ
Tiada Tuhan melainkan Allah. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagi Allah segala kepujian.

Takbir:

Suasana hari Tasyrik bersamaan Hari Raya Korban ini hendaklah dihiasi dengan takbir, tasbih, tahlil, tahmid, beristighfar dan perbanyakkan membaca al-Quran serta memperhatikan maknanya, terutama selepas setiap solat fardu.

Takbir adalah slogan seluruh umat Islam. Umat Islam boleh bersatu jika mereka benar-benar mengamalkan apa yang terkandung dalam takbir ini. Mereka disatukan oleh kalimah tauhid. Dengan takbir (Allahuakbar), dapat membina keagungan dan kehidupan. Slogan ‘Allahuakbar’. turut dapat menakutkan musuh dan kaum Muslimin telah mencapai kemenangan dalam peperangan Badar.

Ketika mula menyembelih binatang atau berkorban disunat mengucapkan juga ‘Allahuakbar’.

Pada Hari Raya Haji terutamanya disunatkan bertakbir setiap kali selepas solat fardu, bermula dari Subuh pada Hari Arafah (9 Zulhijjah) sehingga waktu Asar pada 13 Zulhijjah.

Takbir Raya:

اَللهُ أَكْبَرُ اَللهُ أَكْبَرُ اَللهُ أَكْبَرُ، لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ وَالِلَّهِ الْحَمْدُ  -  × 5/3
اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلاً، لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُوْنَ، لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ اْلأَحْزَابَ وَحْدَهُ، لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ وَالِلَّهِ الْحَمْدُ  

Allah Maha Besar sebenar-benar agung, segala pujian bagi Allah. Maha suci Allah pada waktu pagi dan petang, tiada Tuhan yang disembah melain-kan Allah. Dan kami tidak menyembah melainkan kepada-Nya dengan ikhlas hati. Baginya agama walaupun dibenci oleh orang kafir. Tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa. Ia membenarkan janji-Nya, membantu hamba-Nya, memuliakan tentera-Nya dan Dia sendiri menewaskan pakatan musuh.

Banyakkan membaca doa Nabi Yunus:

لآ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنْ الظَّالِمِيْنَ

Tiada Tuhan melainkan Dikau (Allah)! Maha Suci Dikau! Sesungguhnya daku ini dari golongan orang yang aniaya.

Adab Solat Sunat Hari Raya:

1.  Pada Aidil Adha, disunatkan tidak makan terlebih dahulu sampai selesai Solat Aidil Adha.

2. Pada Hari Raya Aidil Adha, boleh dikumandangkan takbir  sejak Subuh hari Arafah (9 Dzul Hijjah ) hingga akhir hari Tasyriq ( 13 Dzulhijjah ).

3.  Makmum yang ‘masbuq’ harus menyempurnakan sendiri solatnya sesuai sifat Solat Hari Raya itu. Iaitu bagi mereka yang terlambat tiba di tempat solat dan mendapati jemaah sedang solat, ia jangan pulang pula, tetapi bergabunglah dan ikutilah, kemudian tambahilah sebanyak rakaat yang tertinggal.

4.  Apabila mereka mendapati jemaah telah selesai solat, maka kerjakanlah Solat Hari Raya Aidil Adha sebanyak dua rakaat; jangan ragu, jangan malu dan kerjakanlah hingga selesai.  Bila selesai Solat Hari Raya Aidil Adha, duduklah dan dengarlah khutbah dengan khusyuk.

5. Disunatkan mendengar khutbah dengan penuh minat dan jangan meninggalkan lapangan masjid sebelum khatib turun dari mimbar, kecuali kerana hal-hal yang sangat memaksa.

6.  Bagi kaum wanita yang dalam keadaan haid, mereka dianjurkan ikut ke lapangan, ambil tempat di bagian pinggir, lalu mendengar khutbah Aidil Adha, demi syiarnya Islam.

7.  Bila hari raya bertepatan dengan hari Jumaat, kewajipan solat Jumaat gugur bagi yang telah Solat Hari Raya sehingga cukup mendirikan Solat Zuhur sahaja.

8.  Adapun imam dan orang yang tidak Solat Hari Raya diharuskan solat Jumaat.

Hikmah Aidil Adha:

Hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan.

Meninggalkan perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah seperti maksiat, kesombongan, pertengkaran, bermasam muka dan sebagainya.

 Sumber: Shafiqolbu

Wassalam...

Puding Karamel lagii....



Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Puding ni buat minggu lepas, tak ingat hari apa tapi ada satu hari tu memang tak hujan seperti hari-hari yang lain. Cuaca pun agak panas sikit. Tekak tu pulak teringin nak makan puding yang paling simple dan mudah.

Resepinya ada Di Sini tapi kali ni saya kurangkan sukatan gulanya sebab rasanya sukatan yang asal ni terlalu manis buat kami sekeluarga.


Wassalam...

Mee Kari lagiii...

Tuesday, October 23, 2012




Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Banyak kali dah buat mee kari. Salah satunya Di Sini. Memang feveret. Tak suka yang lemak dan yang pekat, jadi selalunya saya guna satu cawan santan pekat sahaja. Buat hari Jumaat lepas..sempat menjamu kakak ipar dan keluarganya yang datang bermalam di rumah sebab suaminya akan menjalani pembedahan kecil di mata.

Mee Kari

Bahan untuk Kuah :

400 g rangka ayam - potong kecil, basuh dan toskan
1 cawan santan pekat
2 keping fish cake – hiris ikut suka
1 peket fishball – potong dua setiap satu
Sedikit tauhu pok @ tauhu sponge
1.5 liter air (anggaran ) - tambah jika perlu
2 sudu besar jus asam jawa 
Garam secukup rasa
2 sudu kecil gula perang

Bahan tumis:

1 kuntum bunga lawang *
1 batang kulit kayu manis *
3 biji buah pelaga *
2 biji bunga cengkih *
6 ulas bawang merah – kisar *
4 ulas bawang putih  - kisar *
1 inci halia  - kisar *
3 sudu besar udang kering - basuh dan kisar *
1 tangkai daun kari
2 sudu makan cili - kisar
3 sudu rempah kari daging

Bahan dimakan bersama:
  
Sedikit puchok goring / fish cake yang digoreng - dicelur
Sawi - dicelur
Taugeh  - dicelur
Telur rebus – potong 2
Cili merah/hijau - hiris
1 peket mee kuning – dicelur

Cara:

Panaskan minyak, tumis bahan tumis yang bertanda * hingga naik  bau.

Masukkan cili kisar, serbuk kari dan daun kari. Tumis hingga rempah garing & pecah minyak.

Masukkan rangka ayam dan gaul sebati, biarkan seketika (anggaran 10-15 minit). Kacau selalu supaya rempah tak hangus atau melekat pada dasar periuk . Masukkan air. Bila dah didih, masukkan santan pekat, air asam jawa dan air hingga mendapat kepekatan yang dikehendaki.

Perasakan dengan garam dan gula. Setelah kuah mendidih, masukkan fish ball, fish cake dan tauhu pok.

Biarkan kuah mereneh seketika sebelum dimatikan api dapur.

Masukkan mee kuning dan bahan-bahan yang dimakan bersama ke dalam mangkuk. Tuang kuah kari ke dalamnya. Sedia dinikmati semasa panas.


Wassalam...

Karipap Ros

Monday, October 22, 2012



Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Selamat pagi semua. Dah sarapan? Sarapan apa ya pagi ni? Saya nasi goreng jer...
Karipap ni cerita semalam buatnya. Kali terakhir buat karipap pada bulan puasa lalu Di Sini. Selalunya bila buat pastri untuk kulit karipap saya guna resepi seperti dalam link ni lah. Guna minyak panas bersama air putih aje untuk pastri yang rangup. Tapi bila tengok Izah buat guna air sejuk yang diletak ketul ais, agak menarik. Lepas tu Mas pun buat guna resepi yang sama, saya tertarik untuk mencuba. Ternyata hasilnya memang tak mengecewakan, kulit pastrinya rangup dan lembut. Beberapa jam lepas goreng pun kulitnya tak lembik dan masih lembut dan rangup. Mula-mula saya goreng, risau jugak sebab bila tekan sikit permukaan kulitnya rasa keras, tapi bila saya bukak dan ngap, wow...lembutnya. Bila suami nak makan , masa dia pegang, dia kata kenapa kulitnya keras, tapi bila dia ngap, keningnya terangkat sikit...hah, saya kata, sekarang keras ke lembut...dia senyum aje. Terkena sudaa....

Saya teringat pada siri masakan Barefoot Contessa baru-baru ni. Chef ni pun gunakan air dari peti ais untuk buat kulit pastrinya. Katanya, butter/marjerin yang digaul dengan tepung seperti serbuk roti tu untuk kerangupan pada pastri dan air sejuk tu pula supaya pastri lembut. Dan penting untuk simpan dulu doh dalam peti sejuk paling kurang 1/2 jam hingga sejam sebelum dicanai, bukan saja untuk memudahkan doh di canai tapi juga untuk mengekalkan kelembapan/kandungan air yang terperangkap di dalam doh tersebut. Bila di goreng atau di bakar, air/moisture yang terperangkap dalam doh tu akan berubah menjadi wap/stim lalu melembutkan pastri setelah di goreng/dibakar.

Masa saya goreng karipap ni, saya dengar ada bunyi berdesir macam bunyi masa kita kukus kuih tu.. Itulah bunyi air yang menjadi stim bila karipap di goreng...tak caya nanti dengar betul-betul bila menggoreng. Minyak pula mesti betul-betul panas baru mula menggoreng macam pesan tuan punya resepi ni ya. Kulit pastrinya memang berlapis-lapis macam kata Mas. Lapisan luarnya nipis dan ada gelembung-gelembung hasil dari menggaul tepung dengan marjerin hingga jadi serbuk roti tadi. Lapisan tengahnya rangup hasil dari minyak panas yang dicurahkan ke dalam tepung dan lapisan yang dalam sekali tu lembut hasil dari air sejuk yang dicampur ketul ais.

Okay, panjangnya explaination. Saya memang suka tengok rancangan yang ada explain pasal teknik-teknik dalam masakan antaranya macam rancangan Good Eats. Masak pun kena tahu teknik juga kan...


Intinya pulak, masa saya mula-mula baca entri Izah, saya tak perasan yang intinya tak guna apa-apa bawang pun. Bila saya nak buat semalam, baru saya perasan. Emmm, Kiki sukalah sebab tak ada bawang. Saya cuma tambah setangkai daun kari yang dikisar sekali dengan ikan bilis dan udang kering. Memang yummy inti dia.

Okay,,,apa-apa pun Terimakasih Ros dan Izah kerana share resepi yang bukan saja mudah malah sedap ni.

Karipap Ros
Sumber: Izah Daut
Resepi Asal: Ros (Jintan Manis)

Bahan untuk Pastri yg rapuh:

400gram tepung gandum
1/2 cawan minyak
2 sudu besar marjerin – saya guna butter
1/2 cawan air sejuk ( letak kiub ais)
Garam

Untuk Inti:

1 biji keledek saiz besar ( boleh dinganti dengan kentang)*5-6 biji sederhana kentang
1/2 gengam ikan bilis ( boleh ganti dengan daging atau isi ayam)
2 sudu besar udang kering
2 sudu besar serbuk kari * saya letak 3 sudu besar
1 sudu besar cili kisar *saya letak 2 sudu besar
*Izah tambah isi ayam semangkuk – saya tak letak
Garam secukupnya
3 sudu kecil gula perang – ini saya tambah
Setangkai daun kari (blend bersama ikan bilis & udang kering) – ini saya tambah

Cara:

Buat Doh Pastri dulu:

Campurkan sedikit garam dalam air sejuk, masukkan marjerin di dalam tepung gandum dan sebatikan, kiranya akan jadi seperti berketul-ketul halus, macam serbuk roti, panaskan minyak dan curah di dalam tepung tadi, dengan menggunakan sudu, kacau ke seluruh adunan.

Selepas itu curahkan air sejuk tadi dan uli hingga menjadi doh, air jangan masuk semua, kira agak-agaklah kelembutan doh tu, setelah menjadi doh dan doh pemukaan doh agak licin, masukkan doh ke dalam plastik bersih dan perap di dalam peti ais lebih kurang 1 hingga 2 jam, langkah ini penting bagi mendapatkan doh yang rangup dan senang untuk di canai nanti. Sementara itu boleh buat inti karipap.

Buat Inti Karipap:

Potong dadu ubi kentang dan rendam dalam air, blender udang kering dan ikan bilis hingga hancur, ketepikan. Panaskan minyak dan tumis cili kisar, dan pes serbuk kari hingga garing.

Kemudian masukkan bahan yang di blender tadi dan kacau sebati, akhir sekali masukkan ubi dan 1 cawan air, kacau selalu dan biarkan hingga ubi empuk, sesuaikan rasa, masukkan garam, setelah masak dah inti agak kering, tutup api dan sejukkan.

Proses Mengelim:

Keluarkan doh dari peti ais, dan bahagikan doh pada bahagian kecil, ikut lah nak buat karipap bentuk ape, bulat ke, love ke, bentuk biasa ke, kemudian terap doh bentuk bulat dengan menggunakan tapak tangan dan isikan inti keledek tadi, kelim seperti biasa.
Kalau nak guna acuan pun boleh. Ulang langkah tadi hingga doh habis.

Panaskan minyak, pastikan minyak betul-betul panas dan tidak menggunakan api yang terlalu besar, goreng hingga keperangan.

Angkat dan sedia untuk dihidangkan.


Wassalam...

Thai Kaeng Som Pla - Eksperimen pertama....

Friday, October 19, 2012



Assalamualaikum & Salam Sejahtera, 

Cuaca redup aje hari ni...rasanya tengahari nanti mesti hujan jugak macam semalam.

Semalam saya suka sangat. Nak tahu sebab apa? Dah lama saya cari dan nak cuba resepi Kaeng Som Pla sampai terpaksa minta tolong adik Ija cayang tolong carikan resepinya yang asli. Terimakasih sangat kat adik Ija sebab susah payah tolong cari sampai tolong tunjukkan sekali resepi dan cara masaknya.

Pertama kali saya makan Kaeng Som Pla ni kat Restoren Koh Sa Mui di Ipoh ni. Suami yang order dan suruh rasa, sebab dia pun pernah makan sebelum tu kat jamuan makan malam di restoren yang sama. Sedap sangat katanya. Memang sedap dan terangkat. Kiki pun suka. Rupanya macam singgang yang biasa kita makan tapi rasanya...hish...susah ceritalah...memang sedap. Dengan masamnya, masinnya, pedasnya..rasa manisnya kat hujung-hujung aje...semua cukup...hish.. susah ceritalah...tapi memang sedaplah! Senang cerita.

Jadi sambung balik kat kenapa saya suka sangat? Ha...,semalam cubaan pertama untuk mendapatkan rasa Kaeng Som Pla yang betul-betul sama macam yang dijual kat restoren tu dah hampir. Kata suami "you are there". Hii suka sangat. Tapi sebelum tu maaflah dik Ija sebab akak tak tiru 100% resepi yang adik bagi tu. Bukan apa, Kaeng Som Pla yang akak makan kat restoren tu warnanya kuning macam singgang, jadi akak kena adjust lah kalau tak suami takkan kata sama punya kan.

Masa masak ni, entah berapa kali akak rasa kuah dia untuk dapatkan rasa yang betul-betul atau hampir sama ngan rasa Kaeng Som Pla kat restoren tu. Mula-mula memang tak sama langsung, lepas tu akak start adding asam boi, rasa lagi...tak sama, ...,lepas tu tambah cuka pulak...dekat dah...lepas tu tambah perasa ikan bilis lak...tambah lagi cuka, asam boi..., last kali baru dapat rasa dia...

Tapi yang akak tahu, masa makan kat restoren tu rasa halia dan serai dia memang kuat. Tu sebab akak letak banyak serai dan halia. Tak payah letak daun kesom atau bunga kantan ya...tak perlu pun...daun limau purut pun tak perlu sebenarnya sebab rasa halia dan serai yang kuat tu akan overpower bau daun limau purut tu...

Memang sedap. Akak hirup kuah dia sampai licin..bila dah habis baru terasa pedasnya...melaha kata orang Nogori. Nasib baik ada puding karamel lebih kelmarin. Bolehlah hilangkan rasa pedas tu.

** Gambonya akak ambik masa ikan dalam kuali lagi...hari dah petang sangat, 6.30pm dah semalam.


Jadi, lepas ekperimentasi dan try and error masuk itu dan ini, dibawah nilah resepinya. Kawan-kawan, cubalah..memang berbaloi. Serious sedap sangat.
Nanti nak buat lagi, try guna jus limau nipis sebagai ganti air asam jawa...

Thai Kaeng Som Pla
Olahan: mymintroom

Bahan:

1 ekor ikan siakap
½ cawan air asam jawa *
5 biji asam boi *
2 sudu besar cuka – opt *
2 sudu besar sos ikan *
½ kiub perasa ikan bilis Knor – opt *
2 serai – dititik *
2 cm halia – dihiris *
Serbuk kunyit – opt (kalau kuah kurang kuning) *
4 helai daun limau purut – opt *
2 sudu kecil gula perang *
Garam secukupnya *
2 cawan air *

Bahan yang di kisar/tumbuk:

1 keping isi ikan merah – rebus dan ambil air rebusannya (anggaran 2 cawan)
8 biji bawang merah
5 biji bawang putih
10 biji cili api Thai @ cili api kampung
½ inci kunyit hidup
2 serai potong nipis
2 inci halia potong kecil
1 sudu kecil belacan

Cara:

Isi ikan ditumbuk bersama bahan tumbuk yang lain.

Masukkan air dan air rebusan bersama bahan tumbuk ke dalam kuali dan masak hingga didih. Bila dah didih, kecilkan api dan renehkan.

Masukkan bahan bertanda * dan terus renehkan hingga kuah betul-betul masak.

Masukkan ikan. Masak dengan api perlahan. Seimbangkan rasa dan bolehlah tutupkan api.

Boleh juga campur dengan sayur seperti timun atau bendi kalau suka.


Wassalam...

 
copywrite@2015 MyMintroomDESIGNER BLOGS