Tuesday, July 31, 2012

Bazaar Ramadan 10 - Walaupun makan yang masam tapi muka mesti sentiasa berseri tau...



Assalamualaikum & Salam Sejahtera,


Bertemu lagi di pagi Selasa di bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan ini. Harap semuanya sihat –sihat belaka disamping meneruskan ibadah puasa. 

Semalam seperti biasa aktiviti saya memenuhkan peti ais dengan stok-stok baru dengan bahan-bahan untuk dimasak untuk 3-4 hari ni. Biasanya saya akan beli barang dapur pada hari Isnin dan Khamis setiap minggu. Dan bahan yang saya beli tu mengikut menu yang saya dah plan nak masak untuk 3-4 hari.

Sebelum saya ke Mydin semalam (salah-satu tempat yang saya selalu pergi untuk beli barang dapur sebab murah dan tak sampai 5 minit je driving), saya dah skodeng beberapa blog untuk plan menu apa nak dimasak.  Bila dah “decide”  apa yang nak dimasak, saya akan senaraikan barang/bahan berkaitan yang perlu dibeli dan senarai tu di “group” kan mengikut “section” atau kategori supaya kita tak perlu ulang ke tempat yang sama kat supermarket tu dek kerana terlupa nak beli sebab berada di bahagian bawah senarai dimana kita tak perasan. Bila kita rancang dengan baik barulah kita tak habiskan masa yang banyak di kedai atau di supermarket dan yang paling penting kita tak beli barang yang tak di kehendaki. Betul tak?  Barulah boleh “shopping effectively” dan jimat masa.

 Kadang-kadang kena ada back up plan pulak tu, chewah. Contohnya semalam saya ada hati nak buat Mango Lassi sebab teringin sesangat nak minum disamping menambahkan “vitamin intake”.  Minggu lepas bila keinginan tu tak ada, berlambak mangga kat Mydin tu tapi semalam jangan kata mangga, kulit  mangga pun tak nampak. “Back up”  plan saya ialah nak buat sirap limau + asam boi. Jadi saya belilah limau kasturi dan asam boi, Mango Lassi ni carry forward ke hari lain lah pulak kan. Itulah serba sedikit tips/cara nak jadi “DO” cemerlang hi hi.


 
Okay, semalam iftar kami hasil dari skodengan saya ke Dapur Ibundo. Disebabkan kami jarang ambil nasi waktu berbuka, jadi alternatif makanan beratnya adalah dari “family” mee atau yang serupa dengannya. Hari tu saya dah cuba Mee Goreng Kari dari Dapur Inbundo, semalam saya cuba pulak Mee Udon Lemak Tomyam, resepi dari Dapur Ibundo jugak. Memang resepi dari Dapur Ibundo ni kebanyakannya mudah dan ringkas tapi sedap. Tak ketinggalan dengan Mee Udon Lemak Tomyam ni, memang terangkat!! Anda patut cuba sebab selain rasanya yang lemak-lemak masam, penyediaannya juga amat mudah dan ringkas. Saya kongsikan resepinya disini pulak kalau ada yang nak mencuba.

Mee Udon Lemak Tomyam
Sumber: Dapur Ibundo

Bahan:

2 bungkus mee udon – saya buat 1 ½ bungkus untuk 3 orang
2 ulas bawang merah ditumbuk
1 ulas bawang putih ditumbuk
4 sudu besar (jangan diratakan) pes tomyam
10 ekor udang
2 ekor sotong dipotong gegelang
Ayam di potong kecil – ini saya tambah
beberapa kelopak sawi
beberapa kelopak kubis panjang
1 batang celery dipotong-potong
1000 ml air – saya buat 750 ml
1000 ml santan daripada 1/2 biji kelapa – saya letak 200 ml santan pekat
Daun limau purut – 2 ini saya tambah
Hirisan halia sedikit – ini saya tambah
Serai 1 dititik – ini saya tambah
Perahan limau nipis sebiji – ini saya tambah

Cara:

Tumbuk lumat bawang putih dan bawang merah.  Panaskan sedikit minyak dan tumis.
Masukkan pes tomyam. Tumis sekejap.  Masukkan udang,ayam dan sotong.
Masukkan air dan santan serta daun limau purut, hirisan halia dan serai.
Apabila kuah masak, masukkan sayur-sayur dan mee udon.  Kacau sebentar dan padamkan api.
Siap. Kalau suka super pedas, titikkanlah cili api sebanyak mana yang mahu.
Sebelum hidang, masukkan perahan limau nipis kalau suka.

Mee Udon ni kalau kat Mydin dia letak kat bahagian fishball/fishcake.  Dan jangan lupa baca arahan penyediaan yang ada kat peket mee udon tu untuk dapatkan hasil yang memuaskan ya.

Disebabkan tomyam ni dah masam saya tak buat lah air asam boi, saya cuma buat air cincau (perabih stok cincau yang tinggal lagi separuh) dan saya dinginkan dalam “fridge” dari tengahari. Jadi tak perlu letak kiub ais.


 
Kuih / manisannya pula saya  buat kuih serimuka yang resepinya saya pilih dari blog  Mat Gebu dimana beliau ambil resepi ini dari 1001 Resepi olahan Kak Ida, dan ingin  saya kongsikan pula di blog saya ni.   Resepi-resepi dalam blog Mat Gebu yang saya cuba sebelum ni memang tak pernah mengecewakan saya, jadi nanti saya nak skodeng lagi hi hi.

KUIH SERIMUKA
Rujukan: Mat Gebu
Sumber: 1001 Resepi (oleh Kak Ida)

BAHAN LAPISAN BAWAH :
300 gram beras pulut (mat guna 350 gram)
200 ml santan cair (mat lebih kan 2 camca besar)
1 helai daun pandan, disimpul
1 camca teh garam

BAHAN LAPISAN ATAS :
300 ml santan
3 biji telur (mat guna gred B) - saya guna 2 bj telur gred A
4 helai daun pandan, potong kecil
180 gram gula pasir
4 camca teh tepung jagung
2 camca besar + 1 camca teh tepung gandum
Beberapa titik pewarna hijau

CARA :
Pulut dicuci, kemudian rendam semalaman atau sekurang-kurangnya 3 jam. Sementara itu alas loyang bulat berukuran 9 inci dengan plastik bersih, sapu sedikit minyak pada plastik tadi. 

Toskan pulut dan alih ke dalam loyang, ratakan. Bancuh santan dengan garam dan kacau rata. Tuang ke dalam pulut tadi dan letak daun pandan.
 
Kukus selama 25 - 30 minit. Keluarkan daun pandan, gemburkan pulut dengan garfu dan tekan pulut tadi hingga padat, guna kan daun pisang untuk menekan permukaan pulut tadi hingga padat (mat guna penekan kek lapis yang mat masukkan dalam plastik bersih). Sambung kukus untuk 10 minit lagi.
 
Sementara itu, untuk lapisan atas, kisar santan dengan daun pandan, kemudian tapis untuk mendapatkan jusnya. Kemudian bancuh dengan semua bahan-bahan untuk lapisan atas (custard), kacau perlahan dengan whisk hingga gula larut dan tapis ke dalam bekas tahan panas. 

Tenggekkan atas air mendidih dan kacau hingga bancuhan kelihatan pekat sedikit.
Berhati-hati tuang atas pulut tadi, tutup permukaan loyang dengan aluminium foil dan sambung kukus selama 25 minit lagi. Biar kuih betul-betul sejuk sebelum dipotong untuk hidangan...

Permukaan atasnya memang lembut dan sedap, cukup lemak dan manisnya. Anda harus mencuba resepi ni. Tak susah membuatnya. Yang lama sikit cuma bab rendam pulut dan mengukus je. Tapi itupun tak membazirkan tenaga pun….cuma perlu tunggu sambil buat kerja lain atau tidur...tapi jangan lupa set alarm ye..nati kering pulak air kukusan tu.



Monday, July 30, 2012

Bazaar Ramadan 9 - Kalut sungguh lah...



Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Selamat menjalankan tugas kepada yang sedang bertugas. Semoga hari ini dan hari yang mendatang akan terus menceriakan anda semua ya.
Semalam hari yang agak kalut buat saya. Kami g Parkson did some shopping. Balik dah nak dekat 3 pm. Lepas Dzuhor rasa letih lah pulak, tertidur sampai 5 pm. Bangun, lepas solat Asar terus ke "office"  macam biasa.  Iftar semalam, buat Mee Goreng, Sop Ayam dan sedikit kuih Buah Melaka  untuk berbuka.
Mee goreng kali ni saya skodeng dari Dapur Ibundo, Mee Goreng Kari. Saya dah skodeng dari pagi sebenarnya. 90% dari bahannya pun ada cuma nak beli mee dan fishcake aje dari kedai mamak. So saya "materialised" kan aje lah.


Mee Goreng Kari 
Sumber : Dapur Ibundo


Bahan:

1 bungkus mee kuning
1 sudu besar cili kering
1 sudu besar rempah kari daging
1 sudu besar sos tomato
1 sudu besar kicap cair
3 ulas bawang merah dihiris nipis
1 ulas bawang putih dihiris nipis
10 ekor udang
1 keping dada ayam dihiris kecil
5 biji fish ball dibelah dua ( saya tak letak )
1 keping fish cake dihiris nipis
2 tangkai sawi dipotong
3 helai kelopak kubis panjang dipotong
segenggam tauge ( saya tak letak sebab anak tak makan )

Bahan sampingan:
daun sup dan daun bawang untuk ditabur
1 biji tomato didadu kecil untuk ditabur
2 biji limau kasturi dibelah dua
bawang goreng

Cara:

Panaskan minyak dan tumis bawang merah dan bawang putih.
Masukkan cili dan rempah kari. Tumis sehingga garing.
Masukkan ayam dan udang.  Bila masak, masukkan pula sos tomato. Bubuh sedikit air kalau perlu.
Masukkan sayur dan mee.
Goreng sekejap dan angkat.
Taburkan  dengan bahan sampingan


 Itulah dianya Mee Goreng Kari. Ada kelainan sebab guna serbuk kari. Habis kami 3 beranak sental & sambung makan sampai habis Tarawih. Terimakasih buat Ibundo kerana berkongsi resepi yang menarik dan sedap ni. Ada banyak lagi resepi mee dalam blog Dapur Ibundo ni. Nanti saya nak cuba resepi yang lain pulak.

Sop ayam ni sebenarnya tak ada pun dalam plan untuk berbuka hari ni tapi last minute suami mintak buatkan sebab dua-tiga hari ni dia tak sihat, teringin lah tu nak makan sop. Saya tanya nak sop tu masam dan pedas ke sebab kami sekeluarga memang suka sop yang ada sedikit masam dan pedas. Dia kata ok. Jadi saya main campak-campak je lah dalam periuk sebab last minute request. Halba campuran yang selalu letak dalam kari pun saya campak jugak ke dalam periuk. Tapi hasilnya emm yum yum...

Sop Ayam EZee
Bahan:

Ayam 1/2 ekor (potong kecil) - ayam ni saiz kecil aje
Bawang merah 3 bj - kisar
Bawang putih 3 bj - kisar
Halia 1 inci - dititik *
Serai 1 - dititik *
Kulit Kayu manis 1*
Bunga lawang 1*
Bunga cengkih 3*
Buah Pelaga 3*
Halba campuran 1 sudu teh - kisar *
Serbuk lada hitam - 1/4 sudu teh 
Kiub ayam Knorr - sesedap rasa kalau suka
Air 1 liter @ cukup untuk 3 org makan.
Garam, gula secukup rasa
Ubi kentang 1 - potong kecil
Perahan limau nipis dari sebiji limau - kalau suka
Cili api 6 biji - kalau suka pedas
Bawang goreng, daun sop untuk tabur. 
Cara:

Panaskan minyak. Tumis bawang merah dan bawang putih yang dikisar hingga naik bau.
Masukkan bahan bertanda *. Tumis lagi.
Masukkan ayam dan lada hitam. Kacau & biarkan hingga separuh masak.
Masukkan air & bila dah didih bolehlah masukkan cili api kalau suka pedas.
Letak garam,kiub ayam dan gula secukup rasa.
Masukkan ubi kentang.
Terus renehkan.
Bila kentang dah empuk, boleh lah perahkan limau dan taburkan bawang goreng serta daun sop dan sedia untuk di hidang.


Disebabkan kesuntukan masa dan keadaan yang tak mengizinkan, cuma gambo yang kat atas tu aje lah yang sompek eden capture buat kenangan.


Wassalam....




Sunday, July 29, 2012

Bazaar Ramadan 8 - Jauhnya gi berbuka!!



Lenggang lenggok kanan dan kiri
Joget Kelate nama diberi
Pusing kanan dan pusing kiri
Luar gebu dalam manis sekali
Kuih Cek Mek Molek nama diberi
Make molek-molek deh, lidah terbakar nanti


Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Bertemu lagi di pagi Ahad. Semoga terus ceria dan sihat sejahtera hendaknya agar dapat meneruskan ibadat puasa dengan lancar dan sempurna. Kalau bukan bulan puasa ada yang plan nak hayun kayu golf di pagi Ahad ni. Tapi kalau di bulan puasa ni, emm, cari bantal lagi syiok kot...

Semalam saya ke sebuah kedai Cina kerana nak membeli sesuatu. Lama jugak masa saya habiskan di kedai tu. Akhirnya dapat juga barang yang saya idamkan. Bila tiba masa nak bayar di kaunter (kaunternya dijaga oleh anaknya dan tauke kedai tu berdiri di sebelah anaknya), selesai saja mebuat bayaran, bila anaknya menyerahkan barang yang dibeli dan baki wang, dia berkata " Saya jual ya  kak "? Aik, jawab saya, "You pun tahu nak cakap apa?"
Budak tu senyum aje tapi bapa dia (tauke kedai) mencelah, "Mestilah, nanti jual-beli tak sah".
Saya senyum aje dan terus beredar. Tapi dalam hati berkata, emm, "Inilah indahnya Malaysia & indahnya Islam kerana agamanya cukup mudah."

Okeylah, iftar semalam biasa-biasa saja. Tapi jauh juga saya merantau untuk berbuka semalam hi hi. Bukan senang. Kuihnya di Kelantan, makan di S'pore dan minum di Bandung.

Jom gi Kelate dulu deh. Kenapa agaknya ya, namanya Cek Mek Molek. Resepinya cukup simple. Makan satu dah terasa kenyang.  Ini makanan gantian nasi masa zaman Jepun dulu gamaknya. Saya tengok ada beberapa versi untuk mengadun kuih ni, ada yang suruh lecek & adun sebaik saja ubi empuk maksudnya masa masih panas-panas lagi & ada juga yang suruh adun selepas ubi tu sejuk. Ada juga yang suruh adun aje tapi tak cakap pun masa panas atau masa dah sejuk.Terpulanglah pada yang empunya diri. Saya pula ikut resepi dari blog Lina.

KUIH CEK MEK MOLEK  
Sumber: Lina
Bahan: (dapat 10 biji Cek Mek Molek)

400-450gram ubi keledek (2 cawan keledek lecek)
1 cawan tepung gandum @ secukupnya
Gula putih
Minyak masak untuk mengoreng
   
Cara:

Ubi keledek direbus hingga empuk ( masukkan sedikit garam ).Biarkan ubi keledek rebus sejuk,kemudian lecek halus.
Masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit, adun hingga boleh dibentuk (jangan masukkan terlalu banyak tepung, nanti kuih akan menjadi keras).
Bahagikan adunan kepada 10 bahagian, bulat-bulat (besar sikit dari bola pingpong), leperkan masukkan setengah sudu kecil gula di tengah.
Kemudian bentukkan seperti kuih cekmek molek.
Goreng dengan api sederhana hingga kuning keemasan.
 

Note:

Pastikan ubi keledek betul-betul sejuk,barulah masukkan tepung.kalau masih suam-suam akan menambahkan penggunaan tepung. Nanti kuih keras pulak.
Jika adunan masih melekat ditangan, sapukan tangan dengan tepung supaya kuih boleh dibentuk.
Berhati-hati kalau makan cekmek masa masih panas sebab gula cair masih panas di dalam..nanti melecur pulak lidah.


Dah sampai S'pore. Yang ni lak kenapa orang panggil Mihun S'pore. Ada siapa-siapa tahu? Cer citer cer citer. Resepi dah lama dalam simpanan tapi tak tahu pulak siapa yang empunya. Rasanya, saya copy dari kengkawan dulu.


Mihun Singapore

Bahan: 

1 bungkus bihun - direndam dulu
300g daging - dipotong kecil (kalau daging yang liat, rebus dulu dan air rebusan bolehlah diguna semasa menggoreng mihun untuk melembutkannya)
3-4 keping fish cake
sayuran campur - boleh guna lobak, kobis, terpulang
3 sudu makan cuka
6 ulas bawang putih
1 sudu makan lada hitam / lada putih
2 biji tomato - potong nipis atau belah 4 pun boleh
garam dan gula secukupnya
cili api- potong nipis atau kisar kasar-kasar + kicap sebagai sos 
 

Cara: 
Lada hitam bersama bawang putih ditumbuk halus
Panaskan minyak, goreng daging hingga lembut, bubuh air jika masih liat. Kalau guna daging yang dah rebus, tak payah goreng lama-lama. 
Masukkan fish cake, dan goreng lagi. Kemudian masukkan lada dan bawang putih yang dikisar tadi, goreng hingga naik bau, boleh di tambah sedikit air atau air rebusan untuk melembutkan bihun nanti. Kemudian masukkan cuka.
Kemudian masukkan pula sayuran campur dan gaul. Masukkan gula dan garam secukup rasa.
Masukkan bihun, gaulkan hingga bihun masak.
Apabila bihun masak, tabur tomato, gaul sekejap dan tutup api.
Sedia dihidang bersama sos kicap (sambal kicap).


Dah kenyang makan, rasa nak minum pulak. Jom gi Bandung nak?  Masa beli barang kat kedai Mamak depan taman macam biasa, ternampak cincau yang terletak kat depan kedai tu, berkilau hitamnya dan melambai-lambai je pada saya. Saya beli seketul.  Bila balik rumah, terus masak air gula letak pewarna merah sikit & daun pandan. Pastu letak susu sejat sebab air gula dah manis tak leh pakai susu pekat. Lepas tu masuk dalam fridge. 


Emm, merata saya pergi semalam untuk berbuka. Alhamdulillah...
Jumpa lagi....Wassalam.

Saturday, July 28, 2012

Bazaar Ramadan 7


Ayam berkokok di pagi hari
Alangkah indahnya suasana
Tak lama lagi Aidil Fitri
Sambutlah dengan sederhana


Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Apa khabar semua? Sabtu datang lagi. Wah, mana yang bekerja dan “off” di hari Sabtu tentu akan mengambil kesempatan untuk membuat sedikit persiapan awal bagi menyambut Aidil Fitri yang bakal menjelma. Pusat tumpuan membeli-belah dah tentu sesak lagi hari ni. Mana yang ambil upah menjahit tu, tentulah masa akan terus di habiskan dengan menjahit baju. Teringat pada arwah bonda dulu, masa aktif menjahit, sebaik saja sahur, terus menjahit sampai tiba waktu memasak untuk berbuka bagi mencari pendapatan lebih untuk belanja raya. Begitu jugalah yang mengambil tempahan kuih raya. Ada yang dah berhenti mengambil tempahan supaya boleh fokus pada melunaskan tempahan pulak.  Jadi, tak adalah masalah tak sempat nak buat kan? Ha, para pesara pulak, mesti masa di habis kan pagi ni dengan berkebun di persekitaran rumah. Tak pun, hari Sabtu atau hujung minggu ni lah anak-anak dan cucu-cucu akan balik untuk berbuka bersama kan? 

Saya cadangnya nak balik kampong hari ni, tapi suami masih sibuk pulak dengan kerja, tambahan pulak kurang sihat, macam nak demam tu, jadi mungkin terpaksa dibatalkan cadangan tu. Tapi tak tahu lah kot saat-saat akhir dia ajak balik pulak. Lagi pun bukannya jauh, 40 minit perjalanan aje.


 Sedapnya rasa Tepung Pelita
Kuih tradisi kesukaan semua
Sudah seminggu kita berpuasa
Tak lama raya menjelma


Wah, baru seminggu puasa dah sibuk nak raya saya ni kan? Apa-apapun mood kena ada, barulah meriah dan ceria sentiasa. Tak gitu?

Setiap hari saya pasti takkan lepas dari melawat blog Cik Azlita  masammanis untuk mengintai apakah juadah yang sesuai untuk disediakan. Kalau ikutkan juadah yang dipamirkan dalam blog beliau semuanya bukan saja menarik tapi nampak sedap (memang sedap pun). Tepung pelita ni memang dah lama teringin nak makan. Selalunya saya dapat merasa yang “homemade” kalau kami balik kampung berbuka di rumah mak @ kakak ipar di Perlop, Sg Siput. Kakak ipar ni Puan Razilah memang pakar masak. Apa aje yang dimasaknya mesti sedap. Resepi semuanya dalam kepala aje. Tepung pelita ni pulak kami akan buat banyak-banyak dan gotong royong untuk buat sampannya. Supaya bentuk sampannya sekata, kami gunakan blog kayu empat segi atau kotak mancis pun boleh. Lepas tu “staple” aje, tak payah guna lidi.


Semalam sewaktu saya jenguk blog Cik Azlita, aduss…walaupun Tepung Pelitanya cuma dalam bekas kaca kecil, tapi tetap nampak “menggiurkan” hi hi. Lepas tu jenguk pulak blog Kak Jee, emm, ni tak boleh jadi ni. Mana aci, saya pun nak jugak, tapi kalau beli kat bazaar belum tentu kena dengan selera. Bazaar yang jual ni yang betul-betul sedap pun nun…di Sg. Siput, yang jual tu pun  kawan kepada kakak ipar saya Puan Razilah jugak. Saya tengok santan kat dalam fridge masih ada ngan-ngam secawan. Bahan-bahan yang lain memang ada stok.  Dan saya pun tak ada kuih lain yang dibuat semalam, jadi saya pun terus cuba buat resepi ni dapat betul-betul 3 gelas kecil cukup lah untuk kami 3 orang. Lepas sejuk terus masuk fridge. Memang menyentuh qolbu betullah;  lemak,  dingin pas tu bila makan cair dalam mulut..cubalah tuan-tuan & puan-puan resepi ni pasti tidak mengecewakan walaupun bukan resepi Tepung Pelita yang ori. 

TEPUNG PELITA 

Dari: Azlita (masammanis)
By: Rina Mohd Dom, Kajang
Rujukan : Kak Jee

Lapisan hijau

1 cawan tepung beras
1 sudu besar tepung jagung
1 cawan gula
7 cawan air daun pandan
sedikit pewarna hijau ~ kalau warna daun pandan tidak mencukupi

Larutkan bahan2 atas hingga sebati 
kemudian jerang atas dapur guna api sederhana sehingga mendidih dan berkilat. 
Padam api dan curahkan bancuhan dalam bekas2 atau sampan daun pisang. 
Tepikan.

Lapisan Putih (Santan)

¾ cawan tepung beras
½ sudu besar tepung jagung
7 cawan santan
½ sudu kecik garam

Larutkan bahan2 dan jerang atas api sederhana sehingga mendidih dan berkilat. 
Padam api dan curahkan atas lapisan hijau. 
Sejukkan seketika sebelum dimasukkan ke dalam fridge.

Bahan-bahan ni memang boleh dapat banyak, tapi saya buat tak sampai separuh pun sebab santan cuma 1 cawan je ada. 


 
Stok Mihun pun ada banyak. Memang mihun ni saya selalunya ada stok. Bila tengok resepi Mihun Goreng Ciliapi kat dalam blog masammanis lagi, apa lagi saya pun terus nak cuba. Memang sedap resepi ni walaupun simple dan mudah disediakan. Tak sampai setengah jam siap. Setuju betul dengan Cik Azlita kita. Terimakasih Ita kerana memudahkan kerja masak saya semalam untuk 2 resepi yang menarik dan ringkas. Tapi maaf ya...sebab C&P aje resepi, biasalah orang rajin ;.


MIHUN GORENG CILI API
Dari:masammanis
By : Chef Hanieliza
Rujukan : Buku masakan 1 Hari 1 Resepi



Bahan:
 

1 bungkus bihun ~ direndam dengan air dan toskan
200 gm sotong ~ dihiris nipis (saya guna ayam)
100 gm udang ~ dibuang kulit
200 gm sawi ~ dipotong pendek (saya guna salad sebab tak ada stok sayur)
200 gm kobis ~ diracik ( saya tak letak, tiada stok )
1 batang lobak merah ~ dipotong halus (
saya tak letak, tiada stok )
3 keping tauhu ~ digoreng dan hiris nipis ( saya tak letak, tiada stok )
1/2 cawan air
3 sudu makan minyak masak
Garam secukup rasa - saya letak gula sedikit

Bahan Hiris atau Kisar
 

20 biji cili api - kalau tak suka pedas sila kurangkan
3 biji cili merah
2 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
3 sudu makan udang kering


Cara:

Panaskan minyak dan tumiskan bahan yang dikisar sehingga wangi
Masukkan sotong dan udang, kacau rata
Apabila masak masukkan garam dan air
Masukkan kubis, lobak merah,sawi dan mihun
Kacau rata hingga sebati
Gaul rata sehingga mihun lembut
Rasakan garamnya
Semasa menghidang taburkan hirisan daun bawang dan cili merah.
 

Makan Mihun aje pun tak syiok jugak. Dalam mihun dah ada ayam dan udang & saya cuma letak sayur salad (potong nipis-nipis supaya nampak macam kobis hi hi).  Terpaksa buat macam ni sebab nanti ada yang tension nak asingkan sayur masak makan. Jadi saya pun buat lah Mix Salad supaya lengkap nutritisi nya cewah.Simple aje. Saladnya suka hati lah nak letak sayur dan buah-buahan yang anda suka, jangan letak pucuk ubi ngan buah doyan udah le. Yang saya buat ni, kombinasi salad, brokoli,tomato ceri &  strawberi. Saya tambah cili merah dan cili hijau untuk pedas. 

Mix Salad Dressing

2 sudu teh olive oil
1 sudu besar cuka
3 sudu besar mayonis
      2 sudu besar sos tomato
      Sedikit serbuk lada hitam & garam kalau suka.



Iftar 6, saya berpesta dengan buah epal. Semalam saya berpesta dengan buah tembikai lah pulak. Masa ke supermarket, tak tahu nak beli buah apa, bila terpandang buah tembikai, saya tengok ada yang comel lote sesuai lah untuk keluarga kecil macam kami.  Saya pun terus beli. Saya pernah kongsikan fakta tentang khasiat buah tembikai Di Sini. Setengah dari buah tu saya juskan dan lagi setengah saya jel kan dia untuk santapan lepas Tarawih. Maka jadilah dia, jus & jelly. Resepi Jelly Tembikai ni saya pinjam dari JuwitaFariz yang dimuatkan oleh beliau dalam Kongsi Resepi.


Jelly Tembikai
Oleh: Juwita Fariz

Bahan Lapisan Bawah:

4 g serbuk agar-agar ( jika inginkan lebih lembut boleh buat 3g)
400 ml air
3 sudu besar gula ( mengikut kemanisan masing-masing dan kemanisan buah tembikai)
100 ml jus tembikai yang ditapis dari buah tembikai ( ditapis ambil air sahaja hampasnya jangan buang)
sedikit pewarna merah

Cara :
 Masukkan air, gula dan serbuk agar-agar didalam periuk.
* Setelah sebati masukan jus tembikai yang telah ditapis dan pewarna jika warna kurang terang.
* ketepikan sehingga sejuk sedikit dan dimasukkan kedalam acuan yang bersesuaian.

Bahan Lapisan Atas:
2 g serbuk agar-agar
50 ml air
250 ml hampas tembikai yang ditapis
3 sudu besar gula ( mengikut kemanisan masing)

Cara:

* Masukkan air, gula dan serbuk agar-agar didalam periuk.
* Setelah sebati masukan hampas tembikai .
* Masak sebentar dan ketepikan sehingga sejuk sedikit.
* Apabila lapisan bawah didalam acuan telah keras sedikit boleh lah dimasukkan lapisan ini.
* sejukkan didalam peti sejuk.
 

 Akhir kata salam penuh keceriaan dari saya dan semuga hari-hari yang mendatang akan menjanjikan hari yang penuh dengan kemanisan buat anda semua.

Wassalam....


Friday, July 27, 2012

Bazaar Ramadan 6


Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

      Sedang buat apa tu? Kepada yang bekerja..., selamat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi disamping meneruskan ibadah puasa. Para penjawat awam pulak mesti bersemangat sebab dapat bonus raya nanti...ringan lah sikit beban tu kan.
      Diam tak diam dah masuk hari ke 7 kita berpuasa. Esok dah masuk minggu ke 2. Para ibu-bapa pulak ada yang dah mula berkira-kira budget untuk buat persiapan raya, beli baju raya untuk anak-anak dan diri sendiri. Tak ada lah terburu-buru nanti. Tapi ada jugak yang lebih suka beli di saat-saat akhir untuk dapatkan harga rendah. Saya, awal-awal lagi 2 hari sebelum puasa dah beli baju melayu untuk Kiki sebab nanti kalau tunggu puasa, kesian dia ke sana ke mari nak pilih-pilih baju. Puasa, tentu letih, mulalah buat muka monyok. Tu sebab kami lebih suka beli 2-3 hari sebelum puasa. Untuk kami, kemudian pun tak apa. Kuih raya? Saya dah lama tak buat sendiri kuih raya. Tak tahu lah pulak kot tahun ni nak buat balik. Tunggu dan tengok mood lah jawabnya.
     Semalam, iftar kami simple aje..Nasi Goreng Pattaya. Semua bahan dah ada tak payah beli. Itu yang betulnya. Resepinya saya pilih dari Kongsi Resepi oleh Reen Khan.

    
Nasi Goreng Pattaya 


Bahan-bahan :

Sepinggan nasi putih sejuk ( Saya buat untuk 3 orang makan dalam secawan nasi beras Herbal Ponni, jadi kena adjust bahan-bahan yang lain ikut sukatan nasi)
1 sudu besar minyak masak
1 biji bawang merah besar + 3 ulas bawang putih diblend
1 mangkuk kecil isi ayam
3 sudu besar sayur campur 
3 tangkai cili padi diketuk
1 sudu kecil serbuk lada hitam
1 sudu kecil kicap 
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos cili
2 biji telur ayam - untuk bungkus nasi
Garam & kiub ayam secukup rasa

Cara untuk nasi goreng :

1.Panaskan minyak
2.Tumis bawang yang diblend hingga naik bau
3.Masukkan isi ayam, kacau hingga masak
4.Masukkan sos tiram, kicap, sos cili
5.Masukkan garam & gula secukup rasa
6.Masukkan sayur campur & cili padi
7.Masukkan nasi
8.Taburkan serbuk lada hitam & kacau hingga sebati
9.Angkat

Proses membungkus nasi dengan telur:

1.Gunakan kuali berasingan dari kuali yang diguna untuk menggoreng nasi.
2.Panaskan kuali dan masukkan 1 sudu besar butter
3.Ratakan butter hingga keseluruh permukaan kuali
4.Bila butter betul-betul panas, masukkan 2 biji telur yang telah di pukul.letak sedikit garam dan  secara berpusingan bermula dari atas hingga ke tengah kuali. Pastikan telur rata dan menipis di dalam kuali. Proses ini mengambil masa yang amat singkat.
5.Masukkan nasi yang digoreng tadi ke bahagian tengah telur yang masih  dalam kuali.
6. Hujung telur dilipat menjadi 4 penjuru. Proses ini sama seperti menbuat murtabak
7. Ambil pinggan kosong, telungkupkan di atas telur dan terbalikkan kuali dan sambut nasi goreng yang berbungkus nasi secara berhati-hati.

   

     Sejak puasa ni rasa macam kami kurang makan sayur-sayuran dan buah-buahan. Jadi semalam, surf punya surf ternampak resepi ni - Kerabu epal yang menggunakan Epal Hijau. Apa-apa pun resepi yang menggunakan epal hijau mesti sedap kan..., mengingatkan rasanya yang masam-masam tu pun dah terkecur air liur ni. Jadi nak tak nak kena buat lah jugak walaupun kena start enjin kereta untuk ke mart.  Penyediaannya amat mudah. Racik-racik, perah jus limau, boh gula dan garam. Kalau ada "food processor" lagi cepat. Resepi ni guna bunga kantan, tapi kalau tak ada bunga kantan pun tetap sedap kot. Resepinya saya intip dari Kongsi Resepi jugak oleh Lina,yang mana sumbernya dari Kak Nor yang mendapatkan resepi asalnya dari Hanieliza. Memang sedap kerabu ni.  Resepi ini guna 2 biji epal tapi tak dinyatakan saiz epal tu. Saya buat 3 biji epal, dapat 3 mangkuk kecil, satu untuk suami dan satu untuk saya. Kiki tak makan kerabu-kerabu ni jadi ada lebih semangkuk. Balik surau, saya belasah lagi sampai habis mangkuk yang ke-3. Memang sodappp & terangkat!! Saya sarankan pada yang belum cuba...cubalah resepi ini. Pasti tak mengecewakan.

KERABU EPAL HIJAU  
 

Bahan:

2 bj epal hijau
1/2 btg lobak merah
5 biji tomato ceri dibelah
2 bj cili merah (saya letak 1 bj)
2 bj cili hijau (saya letak 1 bj)
1/2 labu bwg besar
1 kuntum bunga kantan
1 batang serai (linapg tambah)
1 pokok daun ketumbar - saya tak letak sebab tiada stok
1 bj lemon (diambil jusnya)- saya guna limau nipis
1 sudu kecil gula
garam secukup rasa

Cara:

Epal dan lobak merah disagat atau diracik panjang.
Semua bahan lain dihiris.
Gaulkan semua bahan dan tuangkan jus limau kasturi
Kacau rata dan rasakan masamnya
Sedia dihidangkan


     
      Epal ada lebih dari buat kerabu, jadi saya juskan saja buat minuman berbuka. Buat awal-awal dan simpan dalam fridge jadi tak payah guna ais kiub. Blend 3-4 biji epal dengan 3 gelas air, tapis,& tambah gula sucukup rasa. Masuk dalam fridge.


          Pemanis mulut ni makan lepas balik Tarawih. Tengok gambo Puding Strawberi ni dalam Kongsi Resepi yang disumbangkan oleh DapurIbundo agak simple dan menarik. Coklat tu sepatutnya gelap lagi tu tapi sebab kamera congkiakan jadi coklatnya nampak tak berapa gelap.


PUDING STRAWBERI 

Lapisan bawah:
 
Agar-agar serbuk satu peket (100 gm)
(Pastikan beli yang ada logo halal jakim)
Susu segar perisa strawberi 1 liter
Air 2 liter
Gula  1 cawan.
Strawberi beberapa biji ikut suka

Blender strawberi dengan sedikit air (ambil sedikit daripada 2 liter air itu). Masukkan ke dalam periuk bersama bahan yang lain.  Masak sehingga agar-agar dan gula larut. Matikan api. Apabila agak suam, masukkan ke dalam bekas.

Lapisan atas:
 
1 liter susu segar
100 gm coklat masakan
2 sudu besar agar-agar serbuk

Masukkan semua ke dalam periuk dan biarkan larut.  Matikan api bila dah masak.  Letak atas lapisan strawberi yang dah keras tu.  Jangan lupa cakar sikit lapisan bawah tu dengan garpu.

Kandungan bahan dalam resepi ni agak banyak, jadi saya buat cuma anggaran cukup untuk kami 3 orang.


“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka” (Riwayat Muslim).


“Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan”. (Surah al-`Araf:31).

Sumber: Dr Maza.